ARKIB

KATEGORI

Buletin

Betulkah Geely berniat menyelamatkan Proton?

Views

Artikel oleh : Shamsul Yunos

Bukan kami tak nak keluarkan cerita awal sikit tapi kami sedang memikirkan apakah natijah usahasama Proton berdasarkan lawatan kami ke ibu pejabat dan pusat penyelidikan dan pembangunan Geely di Hangzhou dan Shanghai baru-baru ini. Dalam rangka lawatan tersebut kami didedahkan kepada pelbagai usaha Geely dari segi rekabentuk, penyelidikan teknologi masa depan dan pembangunan produk jangaka masa pendek dan juga panjang.

Dari segi teknologi memang jelas Geely sudah mula mencapai tahap yang boleh dibanggakan kerana mereka sudah mula menguasai teknologi pacuan hibrid dan elektrik di samping mengusahakan kenderaan tanpa pemandu. Namun apa yang lebih mengagumkan ialah wawasan pengerusi syarikat tersebut, Li Shufu yang mahu menjadi salah satu peneraju dunia automotif global dengan sasaran yang agak tinggi dan mungkin kita fikir terlalu sukar untuk dicapai.

Angka jualan dua juta unit menjadi sasaran jangka pendek tahun 2020 bagi mereka dan ini diikuti dengan perancangan menghasilkan kenderaan elektrik yang mampu bertahan sejauh 500 kilometer pada tahun yang sama. Dalam tempoh tujuh tahun lagi Geely yakin mereka boleh menghasilkan kenderaan autonomi tahap 4 walaupun ada kemungkinan besar kerangka undang-undang mungkin tidak boleh memuatkan lagi produk tersebut.

Autonomi tahap 4 bermaksud kenderaan tersebut boleh bermula dari satu titik dan sampai ke destinasi tanpa sebarang campur tangan manusia. Jika kita lihat dari perspektif teknologi industri dunia mungkin kita tidak kagum kerana ada syarikat yang menjanjikan kesemua ini dalam tempoh yang lebih singkat namun apa yang perlu kita ingat ialah Geely masih muda dengan usia 19 tahun. Syarikat lain yang membuat janji-janji ini semuanya sudah beroperasi sekurang-kurangnya 60-70 tahun.

Dengan rancangan masa depan yang padat, Geely dijangka tidak akan membuat kompromi dari segi kualiti, teknologi, rekabentuk mahupun kewangan dan rentak yang laju ini sudah tentu tidak akan diubah untuk mana-mana pihak sekalipun. Kami melihat bagaimana mereka mempercepatkan pembangunan jenama Lynk & Co dengan merekabentuk beberapa model secara serentak dan mengambil langkah tangkas dalam penghasilan platform serta penggabungan teknologi terkini didalam satu rekabentuk yang moden dan ranggi.

Langkah mereka begitu pantas sehingga pergerakan korporat ketinggalan sedikit, dimana segala teknologi sudah dihasilkan sebelum perkongsian pegangan syarikat Lynk & Co antara Geely Holdings, Geely Automotive dan Volvo Cars dimuktamadkan. Geely bukan sahaja berusaha ke hadapan dari segi teknologi dan penghasilan produk tetapi juga dari segi cara berniaga dan mengurus harta intelek mereka.

Mereka sedar bahawa masa depan dunia automotif berada dalam keadaan samar akibat kepantasan pembangunan teknologi masa kini dan ini akan memerlukan satu sistem yang lebih efektif untuk berkongsi teknologi dan maklumat. Mereka menubuhkan satu syarikat khas untuk menjadi penyimpan hak harta intelek yang asing dari jenama permotoran mereka boleh menawarkan teknologi yang dibangunkan tanpa menghadapi konflik kepentingan.

Mereka membayangkan yang perkongsian ini akan berlaku dengan syarikat dalam kumpulan dan juga syarikat luar dari kumpulan. Pihak manapun boleh menggunakan teknologi mereka asalkan perancangan mereka kukuh dan mereka mampu membayar untuk apa yang diinginkan. Kami akan perhalusi lagi pandangan ini melalui satu siri video lawatan ke Geely yang akan mula kami keluarkan dalam minggu ini. Jangan lupa untuk kerap melayari laman sesawang dan juga Facebook kami kerana video akan dimuatnaik sebaik sahaja ianya siap.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply