ARKIB

KATEGORI

Buletin

BMW M2 Coupé baharu diperkenalkan, RM 498,800 seunit

Views

Sempena BMW Malaysia Open 2016, BMW Group Malaysia turut memperkenalkan BMW M2 Coupé baharu, sebuah sports Coupé premium pacuan roda belakang berprestasi tinggi yang dilengkapi teknologi M TwinPower Turbo dan suspensi M Sport talaan khas.

Ketua Jualan BMW Group Malaysia, Raymond Tan berkata, “BMW M2 Coupé baharu ialah sebuah kereta yang sangat istimewa dan dihasilkan dalam jumlah yang terhad di seluruh dunia.”

BMW M2 Coupé baharu menampilkan generasi terkini teknologi M TwinPower Turbo melalui enjin enam silinder. Ia juga menyerlahkan aspek dinamik menerusi garis badan yang maskular, rim aluminium bersaiz 19 inci yang eksklusif serta sistem ekzos sport berkembar.

Ciri-ciri utama M pada kereta ini dijelaskan lagi menerusi ruang dalaman, teknologi motor seperti suspensi ringan M Sport yang diperbuat daripada aluminium, transmisi klac berkembar M tujuh kelajuan, brek kompaun M dan M Dynamic Mode.

Rekabentuk

Jentera Coupé ini diinspirasikan daripada sejarah sukan bermotor BMW. Unjuran hadapan yang pendek, bonet, tapak roda panjang, bingkai tingkap belakang klasik BMW Hofmeister dan elemen reka bentuk signatur M jelas mengukuhkan lagi ekspresi dinamiknya M2 Coupé.

Bahagian hadapan BMW M2 Coupé baharu dipasang dengan kidney grille signatur BMW dengan palangnya dicat hitam. Apron hadapan yang rendah bersama inlet pengambilan udara besar direka untuk meningkatkan lagi keupayaan proses penyejukan. Bilah-bilah trapezoidal dan Air Curtains pada bahagian luar direka untuk menawarkan aerodinamik yang optimum.

Elemen reka bentuk M yang lain termasuklah rim aluminium bersaiz 19 inci dengan jejari berkembar M, serta arca roda yang kelihatan cukup kemas di bahagian hadapan dan belakang. Ia turut dilengkapi dengan apron belakang yang lebar disepadukan dengan penyerap udara dan corong ekzos berkembar BMW M kemasan krom berkilat.

BMW 02

Prestasi

BMW M2 Coupé baharu dikuasakan oleh enjin 3.0 liter enam silinder dengan teknologi M TwinPower Turbo, pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, kawalan aci sesondol Double-VANOS dan kawalan injap boleh ubah Valvetronic. Ia mampu menjana sehingga 370hp dan tork 465Nm serta tork maksimum 500Nm dalam tempoh singkat menggunakan fungsi overboost.

Dipadankan dengan kotak gear klac berkembar M tujuh kelajuan bersama Drivelogic dan fungsi Launch Control, BMW M2 Coupé mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 4.3 saat. Coupé berprestasi tinggi ini mencatatkan penggunaan minyak cuma 7.9l/100km dan emisi CO² sekitar 185 g/km.

BMW M2 Coupé hadir bersama pakej BMW EfficientDynamics yang komprehensif untuk mengurangkan penggunaan bahan api dengan signifikan. Ia merangkumi ciri pemulihan semula tenaga brek, stereng kuasa elektromekanikal, fungsi Automatic Start/Stop, reka bentuk ringan yang pintar, sistem kawalan auxiliary khusus bergantung kepada situasi, pam aliran bahan api dan satu unit pembeza (differential) belakang dengan tempoh pemanasan optimum.

Gandar hadapan dan belakangnya juga menampilkan rekaan aluminium ringan yang diambil daripada model BMW M3 dan BMW M4, selain rim tempaan aluminium bersaiz 19 inci bersama beberapa gabungan saiz tayar telah berjaya mengurangkan berat jentera ini.

Active M Differential yang dikawal secara elektronik membantu mengoptimumkan cengkaman dan kestabilan ketika mengubah haluan. Sementara Dynamic Mode M dengan sistem Dynamic Stability Control pula menawarkan keseronokan pemanduan dengan membenarkan tayar untuk melakukan drift secara terkawal di atas trek.

BMW 03

Ruang dalaman

Ruang dalaman BMW M2 Coupé baharu dilengkapi dengan tempat duduk sports dibalut kulit, perehat kaki M dan sokongan lutut pada konsol tengah, stereng sports M dan tuil gear M. Kemasan pintu dan tuil gear dibalut dengan kemasan Alantara. Sil pintu, tombol gear, stereng dan kaunter rev pula dilekatkan dengan logo M.

BMW ConnectedDrive membolehkan pemandu menggunakan aplikasi inovatif seperti GoPro yang membolehkan pemandu merekodkan pusingan terpantas di atas trek dengan satu kamera yang dipasang pada papan pemuka. Corak pemanduan individu seperti pecutan dan poin membrek akan dianalisa melalui aplikasi M Laptimer dan maklumatnya boleh dikongsi menerusi e-mel atau Facebook.

Navigation System Professional pula dilengkapi visual 3D yang lebih realistik di kawasan bandar. Satu slot kad SIM disediakan membolehkan pelanggan mengakses rangkaian perkhidmatan BMW ConnectedDrive tanpa memerlukan telefon pintar. Sebagai contoh, Concierge Service yang membolehkan pemandu memilih lokasi-lokasi menarik dan membuat tempahan restoran atau hotel ketika memandu.

Ciri Emergency Call akan memastikan keselamatan maksimum dan ia akan diaktifkan melalui beg udara apabila berlaku kemalangan. Kad SIM yang terbina dalam akan menghantar tahap keseriusan kemalangan, risiko kecederaan penumpang dan lokasi kenderaan ke Pusat Panggilan BMW secara automatik.

Maklumat tersebut akan digunakan untuk menghantar bantuan kecemasan dan Pusat Panggilan akan terus berhubung dengan mangsa sekiranya perlu. Fungsi panggilan kecemasan secara manual juga membolehkan bantuan pantas diberikan kepada pengguna jalan raya yang lain yang mungkin terlibat dalam kemalangan.

BMW M2 Coupé didatangkan dalam warna biru metalik (Long Beach Blue Metallic) sahaja. Harga di atas jalannya tidak termasuk insurans ialah RM 498,800. Ia hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama lima tahun BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar.

BMW 04 BMW 03 BMW 02 BMW 01

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply