Artikel oleh : Shamsul Yunos
Konsep Niro dari 2013 Frankfurt Motor Show jadi model produksi akhirnya. Walaupun lakaran konsep itu dituruti hanya secara kasar dari pandangan sisi, ianya setia kepada idea SUV kompak masa depan yang berkuasa hybrid.
Berbeza dengan Toyota dan Honda yang memilih untuk merekabentuk model hybrid dengan gaya tersendiri, Kia Niro kelihatan seperti SUV biasa dan kita hanya sedar tentang kuasa hybrid bila melihat lencana nama.
Kia menobatkan Niro sebagai HUV ataupun Hybrid Utility Vehicle dan menurut VP perancang produk Kia Motors Amerika Utara, Orth Hendrick, ia dikatakan berjaya mengenai sasaran kecekapan penggunaan bahanapi, keseronokan pemanduan, fleksibel dari segi penggunaan dan gaya yang moden tetapi tidak pelik.
Kia Niro ialah sepupu Hyundai Ioniq yang menggunakan platform kereta-eco sepenuhnya kumpulan Hyundai-KIA dan berkongsi banyak komponen. Hyundai menawarkan Ioniq sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya, hibrid bercas, ataupun hibrid biasa tetapi Kia Niro hanya dilengkapi dengan kuasa Hibrid biasa buat masa ini.
Niro menggunakan sistem pacuan roda depan dengan bantuan motor elektrik yang menyalurkan kuasa melalui kotak gear dual-klac enam-kelajuan generasi kedua yang baru dibangunkan. Bateri Lithium-Ion Polymer yang mampu menghasilkan 1.56 kiloWatt sejam (kWh) diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Kia mensasarkan kecekapan bahanapi 4.7 liter/100km, ini menjadikannya sangat kompetitif dengan Toyota Prius.
Pemandu Niro akan dibantu oleh Eco-Driver Assistance System yang boleh mencadangkan strategi pemanduan yanhg menggunakan bahanapi minima. Sistem ini menggabungkan sistem navigasi dan Cruise Control untuk menjangka penggunaan tenaga dan melaraskan penggunaan bahanapi dengan malklumat tentang bukit dan cerun yang terdapat dalam sistem GPS. Niro dijangka dilancarkan di Amerika Utara pada suku ketiga tahun ini dan maklumat harga akan disebarkan apabila tarih pelancaran semakin hampir.
KOMEN TERKINI