ARKIB

KATEGORI

Buletin

Cukai jalan tidak boleh diperbaharui jika inflator beg udara Takata tidak ditukar – UMW Toyota Motor sokong usaha kerajaan

Views

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) pengedar kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia mengumumkan sokongannya terhadap kesungguhan kerajaan dalam menangani isu penggantian beg udara Takata. Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke telah mengarahkan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tidak membenarkan pembaharuan cukai jalan jika kenderaan tidak menggantikan modul yang terjejas.

Penggantian modul inflator sistem beg udara SRS Takata adalah perlu kerana degradasi propelan dalam modul yang boleh menyebabkan beg udara pecah semasa mengembung. Ini boleh mengakibatkan kepingan logam tajam disembur ke arah pemandu dan / atau penumpang hadapan, menyebabkan kecederaan serius atau kematian. Kecacatan ini menjejaskan berjuta-juta kenderaan di seluruh dunia yang dibuat sejak 15 tahun yang lalu oleh pengeluar kenderaan yang berbeza.

Encik Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor berkata, Toyota Motor Corporation telah secara aktif menangani isu ini sejak tahun 2013. Kenderaan yang terjejas telah dikenal pasti dan pengedar di seluruh dunia telah dimaklumkan untuk memulakan Kempen Servis Khas untuk menggantikan modul inflator udara secara percuma. Setakat ini, 91 peratus kenderaan Lexus yang berusia di bawah 3 tahun dan 53 peratus kenderaan Toyota yang berumur bawah 6 tahun telah menggantikan modul inflator. Pelbagai kenderaan Toyota yang terjejas adalah yang dikeluarkan dari 2001-2014 dan 2007-2016 untuk kenderaan Lexus.

UMWT seterusnya memberi jaminan kepada pelanggan bahawa usaha telah dibuat untuk meminta pemilik yang terlibat untuk membawa kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah bagi menggantikan modul secara percuma dan surat pemberitahuan telah dihantar. UMWT berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan atas keprihatinannya dan akan menyokong sepenuhnya inisiatif ini.

UMWT turut menggesa mana-mana pihak yang terlibat dan pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan untuk menghubungi mereka supaya tidak ada isu-isu berkaitan dengan pembaharuan cukai jalan berhubung dengan perkara ini. Penyemak VIN (Nombor Pengenalpastian Kenderaan) di laman sesawang toyota.com.my telah dicipta untuk membolehkan pemilik Toyota menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam sebarang kempen servis khas termasuk penggantian modul inflator beg udara Takata.

Pelanggan terjejas perlu memberikan butiran nombor perhubungan mereka untuk membolehkan wakil selepas jualan menghubungi mereka untuk mengatur temu janji bagi menggantikan modul inflator yang terjejas. Selain pemeriksa dalam talian, pemilik Toyota juga boleh mengetahui tentang Kempen Servis Khas yang lain dengan menghubungi talian bebas tol Toyota di 1800-8-TOYOTA (869682).

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply