ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

Daihatsu Wake – MPV kecil yang membuatkan Anchan ternganga

Views

Betul la kata pepatah (bukan Fattah Amin ye), rambut sama hitam, hati lain-lain. Begitulah kami umpamakan perbezaan selera orang Malaysia dengan Jepun mengenai MPV kecil berbentuk kiub, yang bernama Daihatsu Wake. Jika di Malaysia model ini akan menjadi bahan sendaan atau ejekan dengan pelbagai gelaran seperti kereta bentuk mesin basuh, kotak kasut atau peti ais bergerak, lain pula kisahnya di negara kelahiran Ultraman Taro itu.

Model berbentuk begini sememangnya menjadi kegemaran mereka kerana walaupun bersaiz kecil, tetapi ia amat praktikal terutama sekali bahagian bumbungnya yang agak tinggi. Maka tidak hairanlah, model seperti Daihatsu Wake berjaya melunturkan keegoan seorang jejaka bernama Anchan, sehingga mulutnya sentiasa ternganga luas selepas gagal dalam pelbagai percubaan untuk mengatasi praktikaliti kenderaan ini (sila tonton video di atas).

Sejarah kereta kecil atau Kei Car di Jepun bermula sejak selepas era Perang Dunia Kedua sebagai kereta untuk orang awam. Antara model klasik yang popular pada ketika itu adalah Honda Life atau Mazda R360, namun sejak 2003, Suzuki Wagon R merampas takhta sebagai Kei Car paling laris di Jepun.

Daihatsu Motor Co., Ltd sememangnya pakar dalam pembuatan kereta kecil memperkenalkan Wake pada 10 November 2014. Wake juga mempunyai pasangan kembar yang dikenali sebagai Toyota Pixis Mega. Wake mula diperkenalkan buat pertama kali dalam bentuk konsep dengan nama Daihatsu Deca Deca semasa pameran Tokyo Motor Show 2013.

Dalam membangunkan Wake, Daihatsu memfokuskan kepada dua elemen penting iaitu “penglihatan yang lebih baik” dan “ruang bagasi yang lebih luas” dalam usaha mengembangkan kepelbagaian fungsi kereta kecil dan bertujuan untuk mewujudkan kereta mini jenis baharu yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk untuk kegunaan harian dan masa lapang.

Daihatsu Wake mempunyai lima fungsi menarik:

  1. Fine Vision – menawarkan penglihatan yang baik semasa duduk di kerusi pemandu
  2. Ultra-Space – ruang dalaman paling besar untuk kereta bersaiz mini
  3. Fun & Relax Drive Concept –  fungsi asas yang mudah dan keselamatan tanpa merasa kereta terlalu tinggi
  4. Miracle Luggage – keselesaan semasa menggunakan ruang bagasi
  5. Waku Waku Box – rekaan berbentuk kotak yang membuatkan anda rasa lapang dan pelbagai guna

Wake berukuran 3,395mm (133.7 inci) – panjang, 1,475mm (58.1 inci) – lebar, 1,835mm (72.2 inci) – tinggi dan jarak roda 2,455mm (96.7 inci). Ia dikuasakan oleh dua pilihan enjin, 658cc KF-VE tiga silinder sebaris DOHC DVVT berkuasa 52 PS dengan 60 Nm tork dan 658cc KF-DET tiga silinder sebaris DOHC IC turbo berkuasa 64 PS dengan 92 Nm tork. Kedua-duanya digandingkan dengan transmisi automatik CVT. Wake pacuan dua roda mampu mencatat penggunaan bahan api 25.4 kilometer untuk seliter petrol, manakala versi pacuan empat rodanya pula mencatat penggunaan bahan api 24.6 kilometer untuk setiap liter petrol.

Ia dilengkapi pintu jenis gelongsor di bahagian penumpang dan kerusi belakangnya boleh dilipat untuk mendapatkan ruang bagasi yang lebih. Dari segi keselamatan pula, Wake dibekalkan dengan dua beg udara untuk penumpang hadapan dan dilengkapi dengan kawalan cengkaman. Daihatsu Wake mempunyai lapan pilihan warna yang menarik dan dijual di Jepun dengan harga 1,35 juta Yen (RM 52,000) hingga 1,87 juta Yen (RM 72,000).

Kami jangka model ini tidak akan dijenamakan sebagai Perodua kerana setakat yang diberitahu hanya Myvi generasi ketiga dan SUV kompak D38L (kembar Daihatsu Terios baharu) yang sedang dirancang buat masa ini.

BACA >> Daihatsu Terios (D14N) generasi baharu bakal dilancarkan pada 2018

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply