ARKIB

KATEGORI

Buletin

DEFTECH bina bas elektrik dengan pengecasan pantas yang pertama di Malaysia!

Views

DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM), telah diamanahkan untuk membina dan menyelenggara bas Putra NEDO EV yang merupakan Kenderaan Elektrik (EV) Super Quick Charge (SQC) yang pertama di Malaysia. Projek SQC ini adalah hasil daripada program pemindahan teknologi usahasama antara kerajaan Malaysia dan Jepun.

Memorandum Persefahaman projek ini telah ditandatangani oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dan New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO) Jepun. NEDO diusahakan oleh konsortium Jepun yang terdiri daripada Toshiba Infrastructure Systems & Solutions Corporation, PUES Corporation, Hasetec Corporation dan Oriental Consultants Global Company Limited. DEFTECH dijangka akan menjadi hab serantau bagi pengeluaran bas SQC EV pada masa hadapan.

Bas SQC EV menggunakan teknologi yang berbeza berbanding bas EV lain yang beroperasi di Malaysia dan mungkin di rantau ASEAN. Sistem pengecasan pantas Super Quick Charging (SQC) hanya memerlukan 10 minit untuk dicaj sepenuhnya antara setiap perjalanan (purata 30km) melalui overhead pantograph. Kebanyakkan bas komersial EV lain secara umumnya memerlukan tempoh semalaman untuk dicaj semula (dianggarkan 6-8 jam) untuk beroperasi secara optimum.

Ia mendapat sokongan penuh daripada pelbagai kementerian dan agensi antaranya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Projek ini juga adalah langkah pertama dalam menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai sebuah bandar hijau .

Setakat ini, 11 unit bas Setingkat EV akan dikeluarkan oleh DEFTECH dan sebanyak 8 unit bas telah pun diserahkan kepada PPj dan mula beroperasi, manakala baki 3 unit lagi dijadualkan akan dihantar pada tahun 2018. Bas Putra NEDO EV dikendalikan oleh Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (Nadiputra), iaitu anak syarikat milik penuh PPj, yang menjalankan perkhidmatan di kawasan Putrajaya.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply