ARKIB

KATEGORI

Buletin

Honda bakal lancar Jazz petrol dan varian Sport Hybrid baharu – Tempahan kini dibuka

Views

Honda Malaysia kini membuka tempahan untuk model Jazz baharu dan ia bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua 2017. Dua varian akan ditawarkan, varian petrol dan Sport Hybrid. Untuk varian Sport Hybrid, penghantarannya dijangka bermula pada suku ketiga 2017. Malaysia juga merupakan satu-satunya negara di luar Jepun yang memperkenalkan varian Sport Hybrid dengan teknologi pintar baharu Pemanduan Dual-Klac (i-DCD). Kedua-dua model ini bakal membuat kemunculan buat pertama kali di acara Carlist.my MAA Drive, Test & Buy Event yang akan berlangsung pada 13-14 Mei 2017 di Pusat Konvensyen Setia City.

Jazz Hibrid dilengkapi dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang digabungkan dengan transmisi tujuh-kelajuan dual klac yang bersepadu dengan Motor Berkuasa Tinggi. Ia sekaligus membolehkan Jazz Hibrid ini membangunkan mod pemanduan Kenderaan Elektrik (EV) dan memanjangkan kuasa tenaga regeneratif yang seterusnya meningkatkan kecekapan bahan api kenderaan. Bateri Jazz Hibrid ini pula diperbuat daripada Lithium ion (Li-ion) yang mempunyai kapasiti lebih besar untuk prestasi yang lebih baik. Walaupun bersaiz lebih kecil dan ringan, ia mampu memberikan dua kali ganda output dan 1.5 kali lebih kapasiti tenaga apabila dicas sepenuhnya.

Varian Jazz petrol pula dijana oleh enjin 1.5L i-VTEC yang digabungkan bersama transmisi CVT menggunakan teknologi Honda Earth Dreams bakal tampil lebih bergaya dengan jeriji hadapan berkrom, rekaan bampar depan dan belakang baharu, rim aloi dua tona dan lampu nyalaan siang LED (DRL). Sistem Kemasukan Pintar dan Butang Penghidup Enjin akan menjadi ciri standard untuk kesemua varian. Tempat duduk separa-kulit dan kamera undur juga akan ditawarkan untuk memberi lebih keselesaan dan kemudahan kepada pemiliknya.

Selain itu, Jazz baharu turut dilengkapi dengan Ultra Seat dengan empat mod – Utility, Long, Tall dan Refresh. Dari segi keselamatan, Jazz baharu akan dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Sistem Brek-Anti kunci (ABS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), enam beg udara dan ISOFix.

Pengunjung gerai pameran Honda di acara Carlist.my MAA Drive, Test & Buy Event, berpeluang untuk melihat model-model ini secara lebih dekat dan membuat tempahan selain mendapatkan diskaun sehingga RM12,000. Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan termasuklah sesi pandu uji semua model Honda, cabutan bertuah, peraduan khas Facebook untuk pengunjung acara tersebut dan pameran mengenai servis dan teknologi turbo Honda. Selain itu pengunjung boleh mendapatkan lakaran potret yang dilukis oleh artis karikatur dan kanak-kanak turut berpeluang mewarna model Honda kegemaran mereka.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply