ARKIB

KATEGORI

Buletin

Honda pasang kereta hibrid di Malaysia

Views

Honda Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bahawa ia bakal menghasilkan kenderaan-kenderaan hibrid secara CKD (pemasangan tempatan), menjelang akhir tahun ini. Ini bermakna, Honda menjadi pengeluar automotif luar negara yang pertama di Malaysia mengeluarkan kenderaan hibrid. Buat masa ini Honda hanya mengeluarkan kenderaan tersebut di Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Berita itu diumumkan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Asian Honda Motor Co Ltd, Hiroshi Kobayashi ketika majlis perletakan batu asas saluran pengeluaran Line No. 2 di Kilang Honda di Pegoh, Alor Gajah, Melaka. Majlis tersebut turut dihadiri tetamu kehormat, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed.

Honda Malaysia telah mengeluarkan kenderaan dalam negara sejak tahun 2003. Penambahan saluran pengeluaran Line No. 2 untuk mengilang model-model hibrid adalah perkembangan yang wajar, selari dengan peningkatan permintaan terhadap kereta yang berteknologi terkini, bersih dan menjimatkan minyak di Malaysia. Honda merupakan perintis yang membawa teknologi hibrid ke Malaysia dengan memperkenalkan kenderaan hibrid pertama kepada rakyat Malaysia pada tahun 2007.

Honda Malaysia telah melabur sebanyak RM350 juta untuk pengembangan tersebut yang merangkumi bangunan, peralatan dan kemudahan. Saluran pengeluaran Line No.2 dijadual memulakan operasinya pada suku keempat tahun 2013 dan mampu menghasilkan 100,000 unit kenderaan setahun. Apabila kedua-dua saluran pengeluaran beroperasi, Honda Malaysia akan berupaya menghasilkan sehingga 800 unit kenderaan setiap hari, dua kali ganda berbanding jumlah pengeluarannya pada masa kini.

Kilang Pegoh yang telah dibesarkan itu akan memasang model-model secara CKD seperti Honda City, Civic, Accord, CR-V dan model hybrid pertama iaitu Jazz Hybrid. Kilang yang dibesarkan itu disempurnakan lagi oleh pembinaan Pusat Pemeriksaan Pra-Penghantaran (PDI) dan Litar Ujian Kualiti Kenderaan bernilai RM40 juta yang telah ditauliah pada 7 Julai 2012. Litar Ujian Kualiti Kenderaan baharu itu direka dengan zon-zon ujian dinamik dan keadaan jalan yang berbeza.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply