ARKIB

KATEGORI

Buletin

Jenama kereta Korea berjaya ‘tapau’ Porsche dari segi kualiti

Views

Malang berganda buat Jerman. Bukan setakat pasukan bolasepak Jerman tumpas di tangan Korea Selatan 2-0 di Kazan malam tadi, rupa-rupanya kualiti kereta Porsche pun dah kena ‘tapau’ lebih awal dengan jenama Korea. Bloomberg telah mengeluarkan artikel mengenai perkara tersebut kira-kira seminggu yang lalu dan kami sengaja nak kaitkannya dengan demam Piala Dunia yang sedang melanda seluruh planet bumi ketika ini.

Menurut Bloomberg, jenama pengeluar kereta dari Korea seperti Genesis, Kia dan Hyundai berjaya mengatasi Porsche dan mengambil alih tiga tempat teratas dalam kedudukan ranking yang dikeluarkan oleh J.D. Power menerusi kajian tahunan kualiti kereta baharu. Porsche hanya berjaya menduduki di tangga yang ke-empat di belakang trio tersebut.

Genesis yang merupakan cabang kereta mewah Hyundai Motor Co. berada di kedudukan teratas dengan hanya 68 masalah dilaporkan dari setiap 100 unit kenderaan. Ia diekori rapat oleh Kia dan Hyundai dan secara tidak langsung gandingan trio K-Pop ini berjaya mengambil alih kedudukan pengeluar dari Jepun seperti Toyota and Honda. Kedua-dua jenama Jepun itu kini berada di bawah purata dalam Kajian Kualiti Awal 2018 yang berdasarkan kepada kaji selidik pengguna selepas 90 hari pemilikan.

Kebanyakan kereta di pasaran Amerika Syarikat lebih andal dengan purata masalah setiap 100 unit kenderaan menurun berbanding tahun lalu. Masalah yang biasa dilaporkan adalah seperti isu reka bentuk terutama sekali yang berkaitan elektronik seperti sistem audio yang tidak menepati apa yang pemilik mahu dan ia tidak boleh diperbaiki dengan hanya menghantar ke pusat pengedar seperti kerosakan lain, sebagai contoh kebocoran minyak.

Masalah mekanikal tidak lazim seperti dulu tetapi kerosakan sistem infotainmen merupakan masalah yang paling tinggi dan isu rekabentuk komponen ini lebih membuatkan pemiliknya ‘naik hantu’. Jenama Korea dan Porsche berada di ranking tertinggi kerana mereka hanya mengeluarkan sistem elektronik dan infotainmen yang lebih ringkas dan cuba mengelak dari yang lebih rumit yang mendorong kepada masalah perisian dan kekeliruan.

Jenama Volvo yang dimiliki Zhejiang Geely Holding Group Co. hanya menduduki tempat ke-29 daripada 31 jenama dalam kajian tersebut, dengan sistem infotainmen yang lebih rumit merupakan punca utama kepada isu pengalaman pengguna manakala Jaguar dan Land Rover yang kini di bawah kumpulan Tata Motors Ltd. turut menghadapi isu yang sama dan berada di dua tempat yang tercorot.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply