ARKIB

KATEGORI

Buletin

Kerjasama strategik Proton dan Geely dimuktamadkan – Boyue bakal SUV pertama Proton

Views

Satu lagi sejarah era baharu industri automotif negara tercipta hari ini dengan menyaksikan DRB-HICOM Berhad telah menandatangani Perjanjian Muktamad yang menyaksikan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) dari China memegang 49.9 peratus ekuiti Proton Holdings Berhad. DRB-HICOM turut menjual keseluruhan sahamnya dalam Lotus Advance Technology Sdn Bhd kepada ZGH dan Etika Automotive Sdn Bhd. Perjanjian ini termeterai 30 hari selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Dasar di Putrajaya bulan lalu.

Majlis telah disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, bersama Brig. Gen. (K) Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi DRB-HICOM dan Pengerusi ZGH, Li Shufu. Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar menandatangani bagi pihak DRB-HICOM manakala An Conghui, Presiden Geely Holding Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group pula mewakili ZGH. Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

ZGH merupakan pemilik Volvo Cars dari Sweden, The London Taxi Company dan kereta jenama Geely, adalah rakan kongsi yang tepat untuk Proton. Usahama ZGH Proton kini mampu mensasarkan pasaran kenderaan penumpang ASEAN yang lebih besar dan Proton akan menjadi hab Asia tenggara untuk Geely. Status Proton sebagai kereta Nasional kini terjamin kerana DRB-HICOM masih merupakan pemegang saham majoriti dan tumpuan utama kini untuk membawa jenama Proton kembali sebagai kereta terlaris di Malaysia.

BACA >> Geely Boyue – Bakal SUV pertama Proton?

Penjualan Lotus pula adalah bagi membolehkan tumpuan khusus diberikan kepada segmen pasaran kenderaan penumpang yang lebih luas. Pengeluar kereta United Kingdom tersebut telah diambil alih oleh Proton pada tahun 1996, dan beberapa model keluaran Proton mendapat manfaat daripada teknologi milik Lotus. Perancangan pada masa depan adalah meningkatkan pelancaran model baharu dan juga meningkatkan kapasiti bagi memaksimakan daya tarikan jenama ikonik tersebut.

ZGH mula mendapat perhatian dalam industri automotif global pada tahun 2010, kerana membeli syarikat Sweden, Volvo Cars. Walaupun pada mulanya dipandang sinis oleh banyak pihak terutamanya di Eropah, namun selepas membuat pelaburan besar, Volvo berjaya mencatatkan keuntungan operasi sebanyak US $1.25b pada tahun 2016, yang tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1927. Syarikat The London Taxi Company juga sedang mengalami proses pemulihan dan ZGH akan melabur sebanyak US $370m bagi menghasilkan Black Cabs versi elektrik.

Di China, Geely berjaya menjual kira-kira 760,000 unit kenderaan pada 2016, dua kali ganda dari jualannya pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini didokong oleh populariti segmen SUV di negara itu. SUV Geely Boyue terbukti sangat popular di China dan telah berjaya dijual sejumlah 109,000 unit pada 2016. Sehingga Mei tahun ini, sejumlah 103,000 unit Boyue telah berjaya dijual. Boyue bakal menjadi model pertama hasil kerjasama strategik antara Proton dan ZGH selain menjadi SUV pertama keluaran Proton.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply