Penunggang muda sensasi negara berusia 17 tahun, Khairul Idham Pawi yang mewakili pasukan Honda Asia melakar kejutan apabila berjaya menjuarai kategori Moto3 saingan GP Argentina awal pagi tadi. Ia juga kemenangan sulungnya dalam kategori tersebut sejak mula beraksi pada saingan musim ini.
Buat pertama kalinya juga lagu Negaraku berkumandang dalam perlumbaan berprestij itu. Khairul Idham, yang bermula di petak ketiga berjaya mengatasi penunggang Honda, Jorge Navarro dari Sepanyol dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder yang menunggang jentera KTM dengan kelebihan 26 saat dalam saingan di litar basah.
Seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang beraksi cemerlang tidak bernasib baik apabila terjatuh ketika hampir tiba di garisan penamat. Jika tidak berkemungkinan kedudukan tempat pertama dan kedua milik pelumba Malaysia. Walaupun terjatuh, Adam yang mewakili pasukan Drive M7 SIC Racing Team tetap bangkit untuk menamatkan saingan di tempat ke-11. Saingan seterusnya bakal ke Litar Amerika di Texas Tengah, Amerika Syarikat hujung minggu ini.
Tahniah Khairul Idham Pawi! Anda membuatkan seluruh rakyat Malaysia bangga!
KOMEN TERKINI