ARKIB

KATEGORI

Buletin

HONDA MALAYSIA SASAR JUALAN 64,000 UNIT DAN 10 PERATUS KUASAAN PASARAN PADA TAHUN 2013

Views

Photo 2

Mengukuhkan penguasaan dalam segmen hibrid.
* Melancarkan model-model baharu pada setiap suku tahunan.
* Sasaran untuk meningkatkan jumlah Pusat 3S kepada 90 buah dalam tempoh 3 tahun.

Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia atau Syarikat) hari ini menganjurkan majlis Malam Media untuk meraikan pencapaian Syarikat yang terus kukuh pada tahun 2012, selepas bangkit daripada cabaran-cabaran yang dihadapinya sebelum ini. Bertemakan “The Future Starts Now”, Honda Malaysia turut berkongsi pencapaian-pencapaiannya sepanjang tahun 2013 dan memberikan sedikit sebanyak maklumat mengenai pelan agresifnya untuk 2013.

Syarikat telah menetapkan sasaran untuk mencapai jualan sebanyak 64,000 unit kenderaan dan perkongsian pasaran sebanyak 10 peratus pada tahun 2013. Ia juga berhasrat untuk mencatat jualan sebanyak 100,000 unit menjelang tahun 2017. Peneraju segmen kereta hibrid ini juga terus mengukuhkan posisinya selaku jenama No.1 dalam aspek kualiti dan kenderaan cekap tenaga.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Yoichiro Ueno dalam ucapannya berkata, “2013 merupakan tahun untuk kami melancarkan operasi pengukuhan dalam usaha peralihan ke arah pasaran yang semakin kompetitif. Kami kini sedang membina imej jenama yang lebih kukuh dengan agresif dan memaksimumkan segala usaha demi memperbaiki diri untuk pertumbuhan pada masa depan. Honda Malaysia juga menjajarkan fokusnya dengan strategi global Honda Motor dan mengukuhkan volum jualannya. Kami akan memperkenalkan model-model baharu yang menarik pada setiap suku tahunan, termasuklah tiga model CKD baharu.”

Ketiga-tiga model baharu itu akan membolehkan Honda Malaysia meningkatkan jualannya secara drastik. Peningkatan volum jualan tersebut disokong oleh kapasiti pengeluaran di kilangnya di Melaka yang akan ditingkatkan kepada 100,000 unit setahun sebaik sahaja saluran pengeluaran No.2 disiapkan.

Honda Malaysia juga mengukuhkan rangkaian 3S miliknya, selari dengan jumlah jualan yang semakin tinggi dan peningkatan bilangan kenderaan Honda di atas jalan raya. Jumlah pengedaran dijangka akan ditambahkan kepada 90 buah dalam tempoh tiga tahun di seluruh negara, berbanding dari 61 premis pada masa sekarang.

Photo 5

Rasionalisasi pengedaran juga akan dilaksanakan demi meningkatkan kemudahan, akses dan faciliti kepada para pengguna. Honda Malaysia melengkapkan usaha-usaha ini dengan pembangunan tenaga kerjanya menerusi peningkatan latihan kakitangan demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Syarikat tersebut juga mengadaptasi strategi Selepas Jualan yang komprehensif untuk meningkatkan imej jenamanya dan keyakinan pelanggan. Menambah baik perkhidmatan dan kepuasan pelanggan adalah fokus utama. Diikuti oleh penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan seperti ketuk badan dan cat kereta selain menguatkan asas perniagaan menerusi aspek automasi.

Secara keseluruhannya, Honda Malaysia berusaha ke arah menjadikan jenama Honda sinonim dengan produk-produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan yang mengagumkan.

Syarikat tersebut mengotakan janjinya pada permulaan tahun 2012 untuk bangkit dengan lebih kukuh. Di sebalik, cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapinya, Honda Malaysia telah menjual 34,947 unit kenderaan. Ia menjual lebih daripada 24,000 unit pada bulan Julai hingga Disember 2012, dan mencapai sebanyak 7.7 peratus kuasaan pasaran pada separuh tahun kedua lalu. Angka ini melebihi rekod jualan pada tahun 2010. Berikutan pencapaian rekod terbaik dengan jualan sebanyak 5,045 unit pada Julai 2012, Honda Malaysia kini semakin kukuh dan menutup tahun tersebut dengan jualan bulanan hampir 4,800 unit pada Disember 2012 yang merupakan ketiga paling tinggi dalam rekod selama ini.

Menerusi tawaran rangkaian model hibrid paling luas di Malaysia, Honda terus menerajui segmen hibrid apabila terdapat hampir 14,000 unit kenderaan hibrid Honda berada di atas jalan raya di Malaysia. Mengukuhkan posisinya sebagai perintis dan peneraju pasaran dalam segmen hibrid, Honda Malaysia menjadi pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang memasang model-model hibrid secara CKD pada November 2012. Model hibrid pertama yang dihasilkan di kilangnya di Melaka iaitu Jazz Hybrid CKD menambah satu lagi pilihan kenderaan yang cekap tenaga bersama ciri-ciri kompetitif pada harga berpatutan kepada pasaran. Syarikat kini benar-benar komited untuk menyokong kerajaan Malaysia dalam aspek teknologi-teknologi hijau dengan terus menawarkan lebih banyak kenderaan cekap tenaga ke pasaran Malaysia.

Melihat kepada pencapaian di sebalik keadaan mencabar yang terpaksa ditempuhinya pada tahun 2012, penanda aras untuk Honda Malaysia adalah lebih tinggi bagi tahun 2013. Syarikat menjangka untuk mengatasi prestasi sasaran jualan dan anugerah-anugerah yang diterima pada tahun lepas: dua anugerah Car of The Year Awards dan Best Hybrid Car Award yang dikalungkan kepada CR-Z, anugerah Best Sub-compact Passenger Car Award yang dimenangi oleh City, kedudukan No. 1 dalam Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) oleh pihak JD Power untuk komitmen ke arah memastikan kepuasan pelanggan yang dicapai oleh model Honda City dan Civic, dan anugerah model berkualiti tertinggi dalam skor keseluruhan yang dirangkul oleh Civic.

Honda City juga menggunguli rating keselamatan dalam ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN New Car Assessment Programme, ASEAN NCAP) baru-baru ini. Kereta sedan keluarga pilihan itu diberi penarafan lima bintang dalam aspek Perlindungan Penumpang Dewasa. Pencapaian sebanyak 81 peratus dalam aspek Perlindungan Penumpang Kanak-kanak dalam kalangan lapan kenderaan lain yang menjalani ujian sama.

Mengulas mengenai pelan Honda bagi tahun 2013, Ueno berkata, “Hala tuju kami untuk tahun 2013 akan menyumbang kepada visi Honda Malaysia 2020 di mana posisi peneraju teknologi mesra alam kami adalah kukuh dan tidak dapat disangkal. Kami juga membayangkan untuk mengimplementasikan teknologi hijau di Malaysia memandangkan penerimaannya akan bertambah baik. Honda Malaysia turut berhasrat menjadikan kos lebih kompetitif demi menawarkan produk dengan nilai jenama yang tinggi pada harga berpatutan.”

Honda Malaysia mengulangi komitmen terhadap perniagaannya di Malaysia menerusi pengenalan produk-produk yang inovatif dan menginovasi cara Honda beroperasi. Menurut Ueno, “Berbekalkan inovasi dan komitmen yang lebih kukuh, kami melihatkan 2013 sebagai mercu tanda penting. Kami akan terus berusaha untuk menjadi syarikat yang masyarakat mahu ia wujud dengan menawarkan produk-produk dan perkhidmatan berkualiti paling tinggi kepada pelanggan-pelanggan kami.”

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

2 Comments

Leave a Reply