ARKIB

KATEGORI

Buletin

Mercedes-Benz lancar dua versi trak pikap konsep X-Class

Views
New Mercedes-Benz X-Class Pickup Concept Trailer

Taukey taukey balak di Malaysia dan golongan kaya pasti tidak sabar menantikan kehadiran trak pikap ini kerana ia mungkin boleh menjadi pacuan baharu rasmi mereka apabila dilancarkan nanti. Pada mulanya kami hanya menyangka Mercedes-Benz akan mempertontonkan sebuah trak pikap konsep, namun mereka telah membuat kejutan dengan memperkenalkan dua versi trak pikap konsep X-Class – Stylish Explorer dan Powerful Adventurer di Stockholm.

Kedua-duanya membawa watak yang berbeza, Stylish Explorer tampil dengan imej premium dan sporty, manakala Powerful Adventurer dengan imej off-roader lasak. Trak pikap X-Class ini sebenarnya dibangunkan dari pelantar dan kerangka trak Nissan Navara dan Renault Alaskan. Walaupun Mercedes-Benz telah merombak hampir keseluruhan bentuk Nissan Navara, kita masih lagi dapat melihat struktur asal model penderma tersebut dengan ketara terutama bentuk tingkap dan bahagian sisi.

Versi Stylish Explorer mungkin memberi bayangan bentuk X-Class kab-kembar yang paling hampir dengan model produksi. Rekabentuk luarannya lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar dengan bumpar yang sporty dan rim aloi gergasi bersaiz 22 inci. Ruang dalamannya pula nampak mewah dengan papan pemuka yang mengikut gaya rekaan pada model Mercedes-Benz sedia ada, kemasan kulit serta pemilihan warna dua-tona yang memperlihatkan imej prestij.

New Mercedes-Benz X-Class Powerful Adventure Concept

Powerful Adventurer pula adalah versi yang lebih ganas dengan lega bumi yang lebih tinggi, tambahan pelapik badan dan lengkung tayar yang lebih lebar untuk menampakkan imej lasak serta penggunaan tayar dan rim off-road dan aksesori tambahan seperti takal (winch). Senang cerita versi Powerful Adventurer ini boleh dibawa masuk ke hutan dan mandi lumpur bila bila masa sahaja.

Apabila ia memasuki fasa pengeluaran nanti, model paling asas akan ditawarkan dengan pacuan roda belakang, dengan sistem pacuan empat-roda ditawarkan sebagai pilihan. Buat masa ini tiada maklumat lanjut mengenai penjana kuasa yang bakal menjadi jantung kepada X-Class nanti hanya pilihan enjin empat silinder petrol dan diesel. Model konsep ini pula dikuasakan oleh enjin diesel V6 yang mungkin ditawarkan pada varian paling mahal.

Dengan gandingan pacuan empat-roda, trak pikap ini cukup gagah dan mampu mengangkut bebanan sehingga 1.1 tan dan mampu menunda bebanan yang mencecah sehingga 3.5 tan. Model pacuan empat-roda juga didatangkan dengan gear rendah, perbezaan mengunci dan kawalan cengkaman termaju untuk membantu semasa berada dalam situasi off-road. Mercedes juga telah membuat penalaan semula kepada pegas McPherson di hadapan dan mengubah tetapan pada lima-penghubung di belakang.

Mercedes bakal melancarkan trak pikap X-Class di Eropah pada penghujung tahun 2017 dan model produksi untuk pasaran Eropah, Australia dan Afrika Selatan akan dikeluarkan oleh kilang Nissan di Barcelona, Sepanyol manakala untuk pasaran Amerika Latin ia akan dibina di kilang Renault di Cordoba, Argentina pada 2018.

New Mercedes-Benz X-Class Stylish Explorer Concept

KLIK UNTUK BESARKAN

mercedes-xc-7 mercedes-xc-6 mercedes-xc-4 mercedes-xc-3 mercedes-xc-2 mb-x-xlass-19 mb-x-xlass-12 mb-x-xlass-13 mb-x-xlass-20 mb-x-xlass-21 mb-x-xlass-15 mb-x-xlass-22 mercedes-xc-5 mb-x-xlass-24 mercedes-xc-1 mb-x-xlass-18 mb-x-xlass-10 mb-x-xlass-9 mb-x-xlass-3 mb-x-xlass-2 mb-x-xlass-8 mb-x-xlass-7 mb-x-xlass-6 mb-x-xlass-16 mb-x-xlass-17 mb-x-xlass-5 mb-x-xlass-4 mb-x-xlass-11

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply