ARKIB

KATEGORI

Buletin

MRT kini sedia untuk beroperasi

Views

Kurang dari seminggu lagi, Prasarana Malaysia Bhd akan berhadapan dengan cabaran terbaharu mengoperasikan 12 stesen MRT apabila jajaran Sungai Buloh-Kajang bermula 16 Disember ini. Jajaran ini bakal menjadi tunjang untuk rangkaian pengangkutan di Lembah Klang dan ia akan siap sepenuhnya pada Julai tahun hadapan.

Fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan sejauh 21 km akan bermula Jumaat minggu depan dan pada Julai 2017, 19 stesen lagi akan beroperasi dari KL Sentral (Stesen Muzium Negara) yang juga merupakan fasa kedua dan laluan penuh jajaran SBK sepanjang 51km. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman, mereka telah melaksanakan sesi intensif sejak 24 bulan yang lalu untuk mendapatkan kumpulan tenaga kerja yang sedia untuk mengendalikan MRT.

Empat set gerabak tanpa pemandu yang dibekalkan oleh Siemens telah pun diuji. Ia direka untuk beroperasi dibawah kondisi automasi sepenuhnya. Sistem tersebut tidak memerlukan bantuan manusia kerana ia telah diprogramkan. Namun, ketika kecemasan atau berlaku perkara yang tidak diingini, pemandu perlu masuk ke dalam kabin dan mengambil alih kawalan demi memastikan operasi dalam keadaan selamat.

Untuk Fasa pertama, sebanyak 30 set gerabak MRT telah pun diterima. Pelbagai ujian telah dilakukan demi memastikan kelancaran operasi tanpa sebarang gangguan dan ia merupakan syarat yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Ujian statik dan dinamik telah dilakukan bersama MMC-Gamuda KVMRT PDP Sdn Bhd yang merupakan rakan teknikal MRT Corp dan pembekal tren Siemens.

Secara keseluruhan, seramai 50 orang Pengawal dan lima Ketua Pengawal telah dilatih untuk bertugas semasa operasi mengikut syif. Untuk fasa pertama sejumlah 75 orang pegawai transit akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga mengikut syif dan mereka akan bersedia memberikan bantuan sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku. Apabila jajaran SBK dibuka sepenuhnya pada Julai 2017, seramai 31 orang Pengurus Stesen akan mula bertugas dan dibantu oleh 257 Pegawai Stesen mengikut syif.

Selain itu, Rapid Rail juga bakal beroperasi bersama 112 unit bas penghantar ke 16 laluan bas untuk fasa pertama yang merangkumi jarak sejauh 256.3 km. Tiga hingga lima buah bas akan beroperasi untuk setiap laluan dengan kekerapan setiap sepuluh minit. Bas tersebut dilengkapi tempat duduk yang selesa, mesra Orang Kurang Upaya dan dipantau oleh kamera litar tertutup (CCTV). Setiap bas boleh memuatkan sehingga 62 penumpang dengan kadar tambang rata RM1 setiap perjalanan tanpa had jarak.

Harga tambang MRT untuk perjalanan selama 30 minit dari Sungai Buloh ke Semantan telah ditetapkan pada RM3.90. Semasa waktu puncak, penumpang tidak perlu menunggu lebih dari 3.3 minit untuk mendapatkan tren yang seterusnya. Jika di luar waktu puncak pula, kekerapannya akan dikurangkan dari enam ke lapan minit.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

2 Comments

Leave a Reply