ARKIB

KATEGORI

Buletin

Nissan perkenal GRAND LIVINA facelift

Views

01 VIPs at the Launch of the New Grand Livina

Berita baik pada peminat model MPV! Nissan GRAND LIVINA facelift kini telah pun tiba dan telah dilancarkan oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) semalam. Model yang mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada Disember 2007 dan menjadi kenderaan pelbagai guna (MPV) bukan nasional terlaris di Malaysia.  Sejak pelancaran pertamanya pada 2007, kini  terdapat lebih 65,000 unit Nissan GRAND LIVINA di atas jalan di Malaysia hingga setakat ini.

Jika dilihat kepada aspek luarannya, Nissan GRAND LIVINA facelift tampil dengan gaya rekaan bahagian hadapan dan belakang yang lebih segar. Penampilan itu disempurnakan lagi dengan  rim aloi reka bentuk jejari-V, acuan pintu dan cermin sisi bersama lampu isyarat membelok LED bersepadu yang baru.

Kombinasi gril hadapan krom baharu bersama panel horizontal, garis-garis bampar hadapan agresif dan lampu utama yang ekspresif mencipta tanggapan “dinamik yang elegan”. Pada bahagian belakang, lampu baharunya diletakkan secara mendatar, sekali gus menyerlahkan pemantul-pemantul belakang yang membuatkan model ini kelihatan lebih lebar dan sporty.

01 New GL_IMPUL_Front

Sistem Kunci Pintar Nissan (i-Key) membolehkan pemandu dan penumpang masuk tanpa perlu mengguna kunci. Malah butang penghidup enjin juga ditawarkan pada Nissan GRAND LIVINA facelift. Dengan i-Key, pemilik Nissan GRAND LIVINA facelift boleh menikmati kemudahan dan keselamatan yang lebih baik kerana tidak perlu menggunakan kunci kawalan jauh ketika hendak masuk atau keluar daripada MPV bertempat duduk tujuh ini.

Skim warna dua tona untuk ruang dalaman serta fabrik baharu merupakan antara pembaharuan penting pada Nissan GRAND LIVINA facelift. Imej premiumnya diserlahkan lagi menerusi kluster meter visi baharu bersama Paparan Pelbagai-Maklumat (MID) yang melaporkan maklumat penting kenderaan seperti penggunaan bahan api dan jarak yang masih berbaki. Sebagai tambahan, stereng tiga jejari yang baru kini dilengkapi dengan butang yang membolehkan pengawalan unit audio 2DIN yang besar dan MID. Butang-butang kawalan ini juga diiluminasi agar mudah dioperasi pada waktu malam.

Satu ciri utama yang belum berubah adalah keselesaan GRAND LIVINA yang terbaik dalam kelasnya. Aspek itu dicapai menerusi rekaan tempat duduk dan penggunaan ruang yang bijak.  Sebagai contoh, hanya satu langkah sahaja diperlukan untuk melipat tempat duduk belakang tanpa perlu mengalihkan perehat kepala yang kini bersaiz lebih besar.

Nissan GRAND LIVINA facelift dikuasakan oleh unit enjin yang sudah terbukti menjimatkan minyak iaitu HR16DE atau MR18DE. Enjin empat silinder aluminium sepenuhnya ini adalah kompak dan ringan. Ia dilengkapi teknologi kawalan injap pemasaan yang menawarkan prestasi responsif, lebih lancar dan tahap penjimatan bahan api mendahului kelasnya. Stereng Kuasa Elektrik (EPS) pula memudahkan aspek pengendalian serta mengurangkan penggunaan minyak.

05 New GL_Interior

Aspek keselamatan juga telah ditingkatkan menerusi penambahan ciri pra-regangan dan pengehad bebanan tali pinggang keledar untuk pemandu dan penumpang, serta memenuhi piawaian ujian pelanggaran terkini UNECE. Dua beg udara SRS kini menjadi ciri standard, di samping  Binaan Zon Badan Nissan, Stereng Boleh Lipat, Electronic Brake-force Distribution (EBD), Brake Assist System (BA) dan Anti-Lock Braking System (ABS).

MPV ini hadir dalam tiga varian iaitu 1.6L Manual, 1.6L Auto, 1.8L Auto. Aksesori pilihan serta versi talaan IMPUL disediakan untuk  semua varian tersebut. Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Biru (Graphite Blue) yang baharu, Hitam (Diamond Black), Emas (Bronze Gold), Putih (Brilliant White) dan Perak (Tungsten Silver).

Nissan GRAND LIVINA facelift boleh didapati di kesemua pameran Nissan seluruh negara. Harga bermula daripada RM 86,880 (harga atas jalan) dengan jaminan selama 3 tahun ataupun 100,000km (yang mana terdahulu). ETCM mensasarkan untuk menjual 2,500 unit Nissan GRAND LIVINA facelift menjelang akhir tahun 2013. Para pelanggan boleh menikmati bayaran bulanan cuma sebanyak RM599 (tertakluk kepada terma dan syarat) untuk memiliki sebuah Nissan GRAND LIVINA facelift. Tempahan boleh dibuat di semua bilik pameran Nissan di seluruh negara.

BROSUR GRAND LIVINA facelift

KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

5 Comments

Leave a Reply