ARKIB

KATEGORI

Ulasan Pandu Uji

Pandu uji: Nissan Navara Selesa dan mantap di laluan lasak

Views

 

Artikel oleh Shamsul Yunos

Segmen pikap di Malaysia terus berkembang dan ianya menjadi popular kerana kenderaan jenis ini lebih dikenali sebagai pilihan gaya hidup bagi mereka tinggal di bandar tapi yang mahukan keupayaan mengangkat barang dan merentasi laluan lasak sebagai imej lebih dari realitinya. Kebanyakkan pengeluar pikap mula menala lori mereka bagi memenuhi keinginan koboi bandar yang mahukan kenderaan yang bergaya dan menonjol.

Sistem pacuan empat roda, kunci diff dan pacuan gear rendah adalah fungsi yang boleh dikira sekunder dalam senarai keutamaan pembeli urban. Masalahnya, pikap adalah kenderaan praktikal yang dihasilkan untuk pasaran komersil ataupun professional dan ia perlu bersaing dengan model pikap lain untuk masuk ke tapak binaan dan sebagainya.

Apa pun sebuah pikap mesti boleh membawa sekurang kurangnya 500 kilogram barang dan tahan digodek dan dikongsi oleh ramai pemandu. Nissan Navara yang baru dilengkapi dengan sistem gantungan yang agak canggih, iaitu double wishbone di depan dan multilink di belakang dengan spring gelung. Double wishbone di depan memang pernah kita dengar tapi spring gelung dan multilink untuk gandar belakang memang satu kelainan.

Pikap selalunya menggunakan gandar hidup dan spring daun kerana kombinasi ini menjanjikan ketahanan dalam konteks kegunaan lasak di tapak binaan ataupun sebagai pengangkut barang, terutamanya untuk pikap kabin tunggal. Keputusan untuk menggunakan spring gelung menjadikan Navara antara pikap yang paling selesa di mana mana pun.

Walaupun kami pandu laju di laluan ladang kelapa sawit, ia tidak melambung penumpang, sebaliknya ia menyerap kebanyakkan perubahan permukaan jalan dan ini menjadikan kabin Navara tempat yang tenang di sepanjang masa. Penggunaan spring gelung juga memberikan Navarra satu kelebihan yang agak unik – artikulasi gandar yang agak ekstrem.

navara 2

Tak pelik pun sebenarnya kerana spring gelung memang membolehkan pergerakan gandar yang lebih bebas, sebab itulah Land Rover Defender menggunakan spring gelung di setiap penjuru. Walaupun kami tak cukup berani nak bawak kereta ni masuk ke laluan balak Ulu Tembeling atau mana mana tapak binaan untuk menguji keupayaan laluan lasak, tapi kami telah menguji artikulasi gandar di sebuah ladang kelapa sawit.

Saya nak mengaku yang saya tak berani bawa Navara atau sebarang pikap atau 4×4 ke laluan lasak tanpa teman sebab saya pernah sangkut dalam lumpur di tapak binaan masa mula mula menguji kereta pada pertengahan tahun 1990an dulu. Serik dengan lumpur sampai sekarang. Untuk menguji keupayaan di laluan licin kami pergi ke satu lokasi rahsia di tengah tengah Kuala Lumpur.

Lokasi rahsia ini merupakan bukit berumput yang akan menjadi licin bila hujan turun. Saya juga pernah tersangkut di sini ketika menguji Nissan Frontier dulu. Dengan sistem pacuan empat roda diaktifkan pada kelajuan rendah dengan kunci diff, saya dapatlah merasa sedikit keupayaan 4×4 Navara ini dan untuk seorang koboi bandar saya rasa ianya adalah lebih daripada cukup.

Secara teknikalnya sistem pacuan Navara ini bermula dengan enjin turbodiesel 2.5 liter yang menghasilkan 190PS kuasa dan 450 Newton kilasan. Daya yang dihasilkan sampai ke tayar melalui kotak gear automatik tujuh kelajuan. Spesifikasi ini agak mengujakan dan membolehkan Navara berdiri segak bersaing dengan Ford Ranger yang kini amat popular sebagai pikap gaya hidup.

Semasa sessi pandu uji media yang diaturkan oleh Nissan, kami dapat memandu Navara di laluan yang lebih ekstrem, iaitu cerun berlumpur yang agak curam dan ia ternyata tidak dapat menyekat laluan pikap ini. Kalau anda seorang peminat offroad ekstrem, rasanya lebih mudah untuk mengubahsuai Navara bagi menambah artikulasi gandar dengan gelung lebih panjang ataupun kombinasi gelung dan penyerap hentakan kembar berbanding dengan pikap yang menggunakan spring daun.

13467510_10153506755692105_608878153_o

Sebagai koboi bandar, kabin merupakan faktor penting dalam membuat keputusan membeli pikap dan keselesaan yang terhasil dengan menggunakan spring gelung di belakang meletakkan Navara ini di tangga yang tinggi dari segi keselesaan. Nissan juga melengkapkan Navara dengan apa yang mereka gelar kerusi sifar graviti, konsepnya ialah kerusi yang melekap di badan kita dengan sempurna sehingga setiap otot dan tulang terasa seperti disokong oleh kusyen. 

Realitinya tak lah sehebat itu tapi kerusi sifar graviti memang selesa dan banyak membantu dalam keadaan laluan yang tidak rata. Tambahan pula kabin Navara dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk butang penghidup enjin, skrin besar di konsol tengah, skrin pelbagai fungsi di papan pemuka utama yang memaparkan pelbagai maklumat tentang penggunaan kenderaan.

Navara juga memaparkan rekabentuk papan pemuka yang agak moden dan dinamik serta direkabentuk dengan kepelbagaian ruang menyimpan barangan. Ia juga dilengkapi dengan sistem kawalan iklim zon kembar automatik dan lubang angin belakang yang menjanjikan keselesaan penumpang depan dan belakang. Penghawa dingin belakang ini merupakan faktor penting untuk mereka yang membeli pikap untuk kegunaan harian keluarga.

13453400_10153506755752105_248647115_o

Kesan peninggalan DNA komersil masih kelihatan dalam Navara kerana tak mungkin Nissan akan menggunakan plastik yang lebih lembut semata mata untuk varian koboi bandar. Sebenarnya kalau semuanya ditukar menjadi macam kereta, hilanglah daya penarik sebagai kenderaan lasak. Setelah menguji Navara selama empat hari dan mendengar pendapat pemilik dan pemandu pikap yang lain kami dapat katakan bahawa model ini telah berjaya memenangi hati pemandu yang mahukan sebuah kenderaan yang selesa untuk kegunaan keluarga dan pada amatan kami inilah model paling selesa sekarang.

Sebagai pemandu mungkin anda lebih teruja dengan kuasa Duratorq dari Ford dan sebagai peminat offroader mungkin anda kepingin kelasakan Toyota Hilux dan jika anda mahukan penjimatan Isuzu D-Max sentiasa menunggu sementara Mitsubishi Triton pula menggamit mereka yang mahukan gaya. Inilah masalah utama Navara, ianya kompeten dalam semua aspek tetapi hanya betul betul menyerlah dari segi keselesaan penumpang.

Kita boleh katakan bahawa ia pakej kompromi yang tidak ada kekurangan yang terlalu mencolok mata. Kita juga boleh katakan inilah kedudukan biasa untuk Nissan kerana secara keseluruhannya Nissan kompeten dalam pelbagai aspek tetapi ia tidak menonjol berbanding dengan pesaingnya. Kami berikannya 7.5 dari sepuluh.

pandu uji - nissan navara 2016

KLIK UNTUK BESARKAN

navara 1 navara 2 13467510_10153506755692105_608878153_o 13460881_10153506755782105_2116138582_o 13453400_10153506755752105_248647115_o 13509709_10153506755762105_1853340090_o 13509564_10153506755652105_634732375_o 13467805_10153506755727105_155681119_o 13460821_10153506755697105_1633337673_o 13492819_10153506755667105_1766525843_n navara 3 navara 4 navara 5 navara 6 navara 7 navara 8 navara 9 navara 10  navara 11 navara 12

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply