ARKIB

KATEGORI

Buletin

Penjelasan Proton mengenai isu yang dibangkitkan oleh PEKEMA

Views

Pada 11 Februari 2018, Utusan Malaysia telah mengeluarkan artikel bertajuk, “Pengedar Bumiputera Proton Tertekan” yang mengutarakan beberapa isu dihadapi oleh PEKEMA dan ahlinya yang telah mendapat reaksi dari pelbagai pihak. Akhirnya, Proton tampil untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan itu. Berikut adalah intipati kenyataan media terbaharu dari Proton berhubung isu tersebut.

Pencarian Rakan Strategik Asing

  • Proton mengalami penurunan pada pegangan pasaran dan jumlah jualan sejak tahun 2000. Ini telah mempengaruhi keupayaannya untuk membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan, sekaligus menyebabkannya ketinggalan di belakang pesaingnya dari segi teknologi dan daya saing produk serta mempengaruhi pelaburan dalam membangunkan rangkaian, kakitangan dan kebolehan pembuatan syarikat.
  • Pelbagai pendekatan telah dicuba bermula dari perkongsian platform dengan jenama lain untuk membangunkan enjin dan transmisi sendiri demi mengurangkan pergantungan kepada alat-alat ganti yang diimport. Langkah ini memberikan hasil yang positif, namun jualan dan pegangan pasaran di Malaysia mahupun di pasaran asing semakin menurun.
  • Jika Proton mahu kembali pulih kepada kedudukan asalnya, pencarian Rakan Strategik Asing perlu dilakukan dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) telah dikenalpasti sebagai rakan kongsi strategik asing yang paling sesuai.
  • Geely dipilih atas beberapa faktor seperti jangkauan global, strategi perniagaan yang agresif dan pemilikan jenama automotif yang lain, terutamanya Volvo Cars yang membolehkan perkongsian teknologi dan pengembangan pantas jenama Proton.

Langkah-langkah yang diambil untuk memastikan pemulihan

  • Pelan pemulihan Proton merangkumi beberapa sudut, antaranya adalah penambahbaikan rangkaian pengedar, pengenalan rangkaian model-model baharu dalam beberapa tahun akan datang dan peningkatan kepuasan pelanggan melalui pengalaman penjualan dan perkhidmatan yang diperbaiki.
  • Peningkatan rangkaian pengedar Proton perlu setanding dengan cara jenama lain di Malaysia, di mana kebanyakan peniaga mereka menjual melalui cawangan 3S/4S. Setakat ini, kira-kira 70 peratus pusat jualan Proton masih lagi di tahap 1S yang hanya menjual kenderaan tanpa menawarkan servis selepas jualan. Faktor ini menghalang keupayaan Proton untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih premium.

Wakil Jualan Bertanggungjawab Untuk Meningkatkan Jumlah serta SSI

  • Hanya 30 peratus daripada rangkaian jualan Proton beroperasi dari pusat 3S dan 4S berbanding 64 peratus cawangan 3S and 4S yang dikeluarkan oleh dua jenama Jepun yang terkemuka.
  • Disebabkan kekurangan cawangan 3S/4S, Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) Proton mendapat jumlah skor yang rendah berbanding dengan syarikat automotif yang lain. Dengan adanya pelan untuk meningkatkan jumlah cawangan tersebut, Proton berharap agar skor bagi SSI dan CSI akan meningkat seiring dengan pertumbuhan jualan.
  • Cawangan-cawangan baharu ini akan bersatu dengan pelancaran pelbagai rangkaian model baharu Proton yang akan dibangunkan dengan penggunaan teknologi yang canggih. Ini akan mendorong Proton untuk bergerak dengan lebih jauh, memperkenalkan kumpulan pelanggan baharu kepada jenama yang sebelum ini berkemungkinan mempertimbangkan produk pesaing.

Menjelaskan kenyataan yang dibangkitkan oleh PEKEMA

Berikutan dengan kenyataan yang dibangkitkan oleh PEKEMA, Proton ingin menjelaskan mengenai perkembangan model perniagaannya.

  • Tempoh menaik taraf cawangan kepada cawangan 3S/4S telah dipanjangkan dari 2018-2020. Sasaran untuk tahun 2018 adalah untuk menambah bilangan cawangan 3S yang terletak di seluruh negara. Buat masa kini, hanya ada 30 peratus pengedar 3S/4S Proton di seluruh negara.
  • Proton memperkenalkan skim khas yang menawarkan sokongan pendahuluan untuk membantu pengedar menaik taraf ke premis baharu selain pengedar-pengedar ini turut akan menikmati margin tambahan pada kereta yang dijual selama sehingga tiga tahun.
  • Sebelum ini pengedar pengedar menikmati margin sebanyak 4 peratus berdasarkan jumlah bulanan sebanyak 40 unit yang telah dipersetujui bersama Proton untuk memenuhi syarat bagi insentif jualan mereka. Skim ini telah disemak semula dengan menurunkan halangan tersebut untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan keseluruhan bagi pengedar.
  • Skim insentif suku tahunan sepanjang tahun, di mana pengedar boleh memperoleh pendapatan tambahan dengan melangkaui sasaran jualan mereka turut diperkenalkan oleh Proton selain sokongan insentif negeri untuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pengedar.
  • Amalan industri di Malaysia adalah untuk syarikat automotif menuntut wang tunai sebelum penghantaran atau untuk menyediakan sehingga 14 hari kredit kepada pengedar. Proton telah memanjangkan tempoh ini sehingga 60 hari dengan terma dan syarat tertentu. Dengan berbuat demikian, pengedar akan mempunyai lebih masa untuk memindahkan stok semasa mereka tanpa perlu bimbang akaun mereka akan disekat.
  • Proton telah memutuskan untuk memansuhkan Sistem Bayaran Selepas Pendaftaran (PAR) kerana tidak dipraktikkan oleh syarikat automotif lain di Malaysia. Buat masa ini, Proton membiayai sebanyak RM650 juta setahun untuk pengedarnya. Jika meneruskan PAR, jumlah yang perlu dibayar kepada Proton oleh para pengedar akan meningkat dan boleh mengganggu aliran tunai syarikat.
  • Berhubung dengan promosi jualan kepada pelanggan flit korporat, Proton akan meneruskan pakej istimewa kepada pelanggan korporat yang berminat, persatuan, organisasi dan institusi, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Pengedar digalakkan untuk memberi tumpuan kepada jualan runcit kerana jumlah jualan flit korporat sangat kecil, kurang daripada 5 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan kereta Proton pada tahun 2017.
  • Proton telah mewujudkan pelan perniagaan selama 10 tahun yang memberi tumpuan kepada elemen-elemen utama yang terdiri daripada produk, operasi dan pertumbuhan jualan selepas memeterai perjanjian perkongsian strategik. Kajian terperinci telah dijalankan ke arah strategi produk yang komprehensif untuk memperkenalkan model baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.
  • SUV baharu (Boyue), yang akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini bakal menjadi tanda aras teknologi kepada Proton. Model ini akan diposisikan sebagai model premium Proton dan secara tidak langsung pengalaman jualan dan servis akan diuruskan dengan teliti demi kepuasan pelanggan. Oleh sebab itu, cawangan 3S/4S Proton akan menjual SUV tersebut secara eksklusif. Sungguh pun begitu, cawangan 1S masih akan dibenarkan untuk menjual SUV menerusi cawangan 3S/4S yang berhampiran.

Kesimpulannya, Proton berharap dan berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dengan para pengedarnya, mewujudkan keyakinan terhadap orang ramai dan meningkatkan persepsi jenama dengan pengalaman pelanggan yang diperbaharui. Melangkah ke hadapan, model perniagaan Proton harus memberi tumpuan kepada keperluan pasaran yang mampan dan untuk jangka yang panjang.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply