ARKIB

KATEGORI

Buletin

Perodua sasar jualan 209,000 unit kenderaan pada tahun 2018

Views

Untuk tahun 2018 Perodua menetapkan sasaran jualan 209,000 unit kenderaan pada tahun ini dengan peningkatan 2 peratus berbanding 204,900 unit yang didaftarkan pada 2017. Ini disebabkan oleh permintaan yang berterusan pada barisan model semasa. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata momentum ini dibawa oleh Bezza pada awal tahun 2017 dan permintaan berterusan pada model yang lain membantu syarikat menjadi pengeluar kenderaan terlaris di Malaysia untuk 12 tahun berturut-turut.

Perodua menjangkakan jualan keseluruhan industri akan meningkat kepada 590,000 unit pada 2018 dan menyaksikan jualan syarikat akan kekal berada pada paras melebihi 35 peratus. Untuk prestasi semasa, angka 204,900 adalah lebih daripada sasaran awal 202,000. Walaubagaimanapun prestasi 2017 sedikit menurun berbanding 207,100 yang direkodkan pada 2016, ia berikutan keadaan pasaran yang mencabar, persaingan yang sengit dan garis panduan pembelian yang lebih ketat.

Model terbaharu Perodua, Myvi generasi ketiga kini sudah menerima lebih 36,000 unit tempahan sejak tempahannya mula dibuka pada bulan November 2017 dan lebih 11,000 unit telah diserahkan kepada pemiliknya. Perodua menjangkakan lebih banyak pendaftaran akan dibuat pada masa akan datang kerana kebanyakan pelanggan yang menempah tahun lalu mahu kereta mereka diserahkan pada tahun ini.

Varian 1.5 merupakan yang paling banyak mendapat permintaan dan kilang pengeluaran Perodua Manufacturing Sdn Bhd sedang bekerja lebih masa untuk memastikan penghantaran dibuat mengikut masa yang ditetapkan. Aminar menambah, peningkatan permintaan tahun ini akan memberi impak positif pada pengeluaran kenderaan dengan anggaran 215,334 unit bakal dikeluarkan dari kedua-dua kilang pada tahun ini berbanding 200,146 unit pada 2017.

Perodua kini memeliki dua syarikat pengeluaran kenderaan, Perodua Manufacturing Sdn Bhd yang mengeluarkan Myvi baharu dan Alza, manakala Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd mengeluarkan model Axia dan Bezza. Perniagaan selepas jualan Perodua juga memperlihatkan peningkatan positif tahun lalu. Untuk tahun ini, syarikat mensasarkan peningkatan pengambilan sebanyak 1.9 peratus dari 2.1 juta pengambilan pada 2017 kepada 2.14 juta pada 2018.

Sasaran ini dapat direalisasikan dnegan menaik taraf fasiliti sedia ada untuk menambah lebih ruang servis dan mempertingkatkan tahap kecekapan kakitangannya. Ini bakal mengurangkan masa menunggu pelanggan dan pada masa yang sama meningkatkan pengambilan. Dari sudut tanggungjawab korporat, Perodua akan mengadakan projek jangka panjang yang boleh membentuk lanskap belia dan sukan.

Ia akan dimulakan dengan Perodua Malaysia Masters, kejohanan badminton antarabangsa yang sedang berlangsung minggu ini di Axiata Arena, Bukit Jalil di mana perlawanan akhir akan berlangsung Ahad ini. Kejohanan yang ditaja oleh rakan teknikal Daihatsu Motor Company dari Jepun ini bakal menyaksikan pemain badminton terbaik dan bakal pemain badminton Malaysia bersaing dengan pemain antarabangsa yang lain untuk memburu kejuaraan.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply