Setelah Wira menjadi model terakhir yang dijual ke negara Chile pada tahun 1998, kini Proton memasuki semula pasaran negara tersebut dengan mengeksport 50 unit Prevé dengan pemanduan di sebelah kiri (Left Hand Drive, LHD). Ia dijangka tiba di San Antonio, Chile sebagai penghantaran kumpulan kereta Proton pertama daripada sejumlah 1,000 unit kereta yang dihantar secara berperingkat pada tahun ini.
Andes Motor, anak syarikat kepada Kumpulan Kaufmann, telah dilantik sebagai wakil pengedar di Chile. Perjanjian pengedaran bersama Proton itu telah ditandatangani pada 1 Julai 2015 yang lalu. Andes Motor juga merupakan sebuah pengedar utama bagi pelbagai kenderaan seperti bas, lori dan kereta mewah dengan rangkaian pasaran dan jualan yang luas selain perkhidmatan selepas jualan.
“Kami merancang untuk memasuki semula pasaran Chile selepas Perjanjian Bebas Perdagangan (Free Trade Agreement, FTA) Malaysia-Chile ditandatangani pada 25 Februari 2012. Proton ditawarkan pengecualian 6% duti import dan kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia bagi inisiatif perdagangan ini.” kata Dato Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Exora dan Saga juga merupakan antara model-model yang akan dipasarkan di sekitar bandar-bandar utama seperti di Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno. Proton kini berpeluang untuk merebut pasaran industri keseluruhan berjumlah kira-kira 330,000 unit kereta di negara yang mempunyai sebanyak 17.6 juta.
“Dengan adanya program enjin Proton terbaharu, kami kini bersedia dan akan terus membangunkan produk berkualiti dan akan sentiasa melakukan penambahbaikan supaya model keluaran kami diterima di peringkat antarabangsa. Ini juga merupakan permulaan bagi kami untuk memasuki pasaran global.” tambah Abdul Harith lagi.
Prevé dan Exora akan diperkenalkan di Chile pada bulan Mei dan diikuti oleh dan Saga pada bulan November. Untuk pasaran Chile, Proton menawarkan tiga varian Prevé (1.6 Standard, Executive dengan transmisi Manual dan Premium dengan transmisi CVT), dua varian Exora (1.6 Standard dan Premium dengan transmisi CVT) dan Saga (FLX 1.6 Standard dan Premium dengan transmisi Manual).
KOMEN TERKINI