Honda Malaysia sekali lagi melakukan kejutan dengan berjaya mencatat tempahan sebanyak 1,400 unit Honda CR-V baharu hanya seminggu selepas diperkenalkan secara rasmi. Bukan itu sahaja, jumlah tersebut telah berjaya menyamai angka sasaran jualan untuk dua bulan! Berikut adalah pecahan peratusan tempahan mengikut varian:
- CR-V 1.5L Turbocharged Premium 2WD – 40 peratus
- CR-V 1.5L Turbocharged 2WD – 31 peratus
- CR-V 2.0L i-VTEC (2WD) – 20 peratus
- CR-V 1.5L Turbocharged 4WD – 9 peratus
Secara keseluruhan, tempahan bagi varian turbo menguasai hampir 80 peratus diikuti oleh varian non-turbo dengan 20 peratus. Nisbah ini menunjukkan rakyat Malaysia lebih meminati enjin turbo, sama seperti model Civic sekaligus menujukkan kematangan pasaran Malaysia yang boleh menerima teknologi yang lebih maju dan terkini. Warna CR-V yang paling diminati adalah Lunar Silver Metallic (30 peratus) dan White Orchid Pearl (27 peratus).
Penerimaan terhadap varian 1.5L Turbocharged Premium 2WD di Malaysia Timur juga memberangsangkan dengan tempahan sebanyak 38 peratus dari jumlah keseluruhan. Ketika ini jualan di Sabah dan Sarawak telah melepasi angka 3,500 unit, yang merupakan 6.6 peratus dari jumlah keseluruhan jualan Honda Malaysia pada separuh pertama 2017. Pertumbuhan dari tahun ke tahun pula kini 48 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Disebabkan oleh permintaan yang tinggi untuk CR-V baharu, Honda Malaysia kini berusaha keras untuk memastikan tempoh menunggu dikekalkan antara 1-2 bulan, tanpa berkompromi dengan kualiti. Honda Malaysia juga menyasarkan untuk menyerahkan kereta yang telah ditempah kepada pemiliknya menjelang September ini. Untuk maklumat lanjut atau menempah sesi pandu uji, kunjungi mana-mana dari 91 pengedar sah Honda yang berhampiran di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020, atau layari laman sesawang www.honda.com.my.
BACA >> INFO : Tujuh sebab mengapa bank susah nak lulus pinjaman kereta anda
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI