Vios Challenge meneruskan cabarannya ke Johor bagi separuh kedua musim perlumbaannya pada 19 dan 20 Januari ini di litar dalam bandar yang disediakan oleh Medini City, Iskandar Puteri. Perlumbaan jalanan dengan jentera Vios dengan aksi-aksi yang mendebarkan itu sebelum ini telah terbukti berjaya seperti pada dua perlumbaan sebelum ini, di Batu Kawan, Pulau Pinang dan MAEPS Serdang.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, sejak perlumbaan pertama kehangatan acara ini begitu dirasai, baik bagi pengunjung, mahupun untuk semua pelumba dalam ketiga-tiga kelas yang mempamerkan aksi pemanduan yang berkualiti. Ia patut menjadi acara yang
wajib dialami sendiri oleh semua peminat sukan perlumbaan.
Dalam perlumbaan terakhir di MAEPS Serdang, Shukri Yahaya telah memanfaatkan kesilapan Shawn Lee untuk muncul juara bagi kategori Promotional. Shukri kini lima mata di belakang Shawn dan diekori oleh Danny Koo yang ketinggalan 14 mata di tempat ketiga. Bagi kategori Sporting, pendatang baru, Brendan Anthony telah berjaya membantu jentera pasukan Dream Team mencapai kemenangan sulung.
Pada pusingan kedua, Patrick Tam dari Team Nanoplus berjaya merampas kedudukan pertama yang juga kemenangan pertamanya dalam siri perlumbaan ini. Brandon Lim dari pasukan Tedco Racing kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 57 mata dengan kelebihan 10 mata mengatasi Ken Foo dan Patrick. Kenneth Koh, Brendan Anthony dan Jackson Tan pula mengekori mereka rapat di belakang.
Dalam kategori Super Sporting pula, saingannya lebih sengit antara tujuh pemandu profesional yang terpisah hanya dengan perbezaan 20 mata. Tengku Djan masih kekal mengungguli persaingan, sementara Mitchell Cheah, William Ho, Mark Darwin, Shafiq Ali, Boy Wong dan Ser Ming Hui tetap mempunyai peluang untuk merampas kedudukan Raja Drift Malaysia itu nanti.
Dengan hujan sekali lagi dijangka akan turun, perlumbaan di Johor nanti bakal menyaksikan aksi-aksi yang mencabar. Sama seperti
sebelumnya, masuk adalah percuma ke Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival dan aktiviti akan bermula pada 9 pagi hingga 6.30 petang, pada 19 dan 20 Januari ini. Untuk maklumat lanjut mengenai Vios Challenge, layari laman rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia, akaun Instagram dan juga Facebook.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI