ARKIB

KATEGORI

Buletin

Volkswagen GOLF dinobat sebagai ‘Autocar ASEAN Car of the Year Award 2013’

Views

Golf - Autocar Asean COTY 2013 (1)

Golf  generasi ketujuh baru-baru ini menerima dua pengiktirafan daripada salah satu anugerah paling berprestij iaitu ‘Autocar ASEAN Car of the Year Awards 2013’.Penghormatan yang diberi berdasarkan kepada pilihan para pembaca itu menyaksikan Golf muncul sebagai pemenang kategori Sedan/Hatchback Saiz Sederhana dalam ‘Autocar ASEAN Car of the Year Award 2013’.

Bukan itu sahaja, Golf yang dilengkapi pelbagai teknologi inovatif dilihat meneruskan penguasaannya apabila turut menerima anugerah ‘Car of the Year 2013’ daripada pasukan editorial Autocar ASEAN di Malaysia. Majlis penyampaian anugerah tersebut diadakan pada acara Kuala Lumpur International Motor Show 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena penyertaan Volkswagen dalam pameran auto terbesar negara itu.

PengarahUrusanVolkswagen Group Malaysia, Dr. Zeno Kerschbaumer berkata “Golf merupakan antara kereta paling popular di seluruh dunia serta dikenali menerusi gabungan kualiti dan gaya yang mendahului kelasnya. Ia mewarisi falsafah Volkswagen dari segi teknologi termaju, kualiti binaan terbaik dan prestasi pemanduan kejuruteraan Jerman yang mengagumkan.

“Kami amat berbesar hati untuk menerima anugerah ini daripada Autocar ASEAN. Ini adalah pengiktirafan terbaik buat kami kerana anugerah ini terus membuktikan kemampuan Golf, di samping tarikannya yang meluas di seluruh dunia dan menjangkau segenap lapisan masyarakat,” tambah Dr Kerschbaumer.

Golf yang kini merupakan penerima anugerah ‘European Car of the Year 2013’dan ‘World Car of the Year 2013’ pada tahun ini terpaksa bersaing dengan lebih 30 buah kenderaan lain untuk merangkul pengiktirafan tersebut. Juri ‘World Car of the Year’ terdiri daripada 66 orang wartawan pemotoran dari 23 buah negara. Mereka menilai kereta-kereta yang ditawarkan di pasaran dunia bukan sekadar untuk anugerah ini, malah membuat penilaian ke atas sesebuah kereta dalam tugas harian masing-masing demi jutaan pemandu dan peminat kereta.

Golf baru-baru ini turut memenangi anugerah Kereta Terbaik Tahun 2013-2014 di Jepun (2013-2014 Japan Car of the Year Award) yang disampaikan oleh Jawatankuasa COTY Jepun. Ia menjadi kereta Eropah pertama dalam sejarah COTY Jepun yang memenangi anugerah tersebut sejak diperkenalkan pada tahun 1980. Golf memperoleh sebanyak 504 mata, markah paling tinggi yang pernah diterima oleh sebuah model import.

Dibina di atas platform MQB, pengendalian tepat dan adaptasi teknologi-teknologi baharu yang meningkatkan tahap keselamatan dan alam sekitar nyata  menyumbang kepada pengukuhan posisinya sebagai penanda aras untuk segmennya. Sehingga kini, Volkswagen telah menjual lebih 30 juta unit Golf sejak diperkenalkan pada tahun 1974 – bukti terhadap populariti Golf dalam kalangan pengguna.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply