Sementara menantikan maklumat terbaharu mengenai model gantian Myvi (D20N) yang bakal dilancarkan antara bulan November atau Disember 2017, kami membuat satu andaian mengenai bakal MPV/SUV baharu Perodua (D38L). Ingat lagi tak artikel kami sebelum ini mengenai Perodua bakal memperkenalkan sebuah MPV/SUV tujuh tempat duduk tahun 2018/19?
Model ini sedang dibangunkan secara bersama dengan Daihatsu Motor Indonesia, sama seperti Perodua Axia dan Daihatsu Ayla/Toyota Agya. Di Indonesia, ia dikenali dengan nama kod D14N. Pada bulan Ogos 2017, Daihatsu telah memperkenalkan sebuah model MPV dengan gaya crossover/SUV yang diberi nama DN Multisix Concept di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2017 (GIIAS 2017). DN Multisix Concept kini sedang berada di Jepun sempena Tokyo Motor Show 2017.
Secara visualnya, model ini mungkin memberi bayangan kepada bakal MPV/SUV Perodua. Daihatsu Motor Indonesia juga kini sedang diasak hebat pesaingnya kerana pasaran genre kenderaan seperti ini telah mula didominasi oleh Honda B-RV dan pendatang baharu, Mitsubishi Xpander. Oleh itu, mereka tidak boleh lagi melengahkan pembangunan model ini jika ingin merebut kembali pasaran.
BACA >> SPEKULASI : Perodua bakal keluar SUV?
Di Malaysia, Perodua pula lebih awal mempertontonkan sebuah model skala tanah liat dengan gaya rekaan yang hampir sama dengan DN Multisix Concept di karnival MYPerodua Nation awal tahun ini. Model tersebut dikenali sebagai Concept X, hanya bertujuan untuk menunjukkan keupayaan pereka di Perodua untuk merekabentuk model generasi baharu.
Jika diamati, memang banyak persamaan gaya rekabentuk yang agak ketara antara Daihatsu DN Multisix Concept dan Perodua Concept X, terutama sekali rekaan profil sisi. Rekabentuk hadapan Perodua Concept X juga mirip Daihatsu DN Multisix Concept, tetapi bentuk lampu hadapan Concept X lebih bersegi dengan bampar yang lebih sporty.
Di belakang juga hampir sama, Concept X menggunakan jalur pemantul cahaya yang bersambung dengan lampu belakang (seakan gaya Honda BR-V), manakala DN Multisix Concept menggunakan bar krom yang disambungkan dengan lampu belakang. Secara kasar, rekabentuk lampu belakang dan bampar kedua-duanya hampir sama, tetapi diolah dengan gaya yang berbeza.
Rekaan dalaman kedua-dua model ini juga menggunakan konsep yang sama, konfigurasi enam/tujuh tempat duduk, cuma berbeza dari segi rekanetuk papan pemuka. Persoalannya di sini, adakah Daihatsu DN Multisix Concept dan Perodua Concept X memberi petunjuk awal kepada model MPV/SUV Perodua (D38L) dan Daihatsu (D14N)? Kami tak berani nak mengesahkan andaian ini kerana tidak memperolehi maklumat lebih terperinci mengenainya, tetapi kebarangkaliannya tetap ada.
Anda pula bagaimana?
KLIK UNTUK BESARKAN
Perodua Concept X
Daihatsu DN Multisix Concept
KOMEN TERKINI