ARKIB

KATEGORI

Buletin

Adakah Suzuki akan kekal sebagai rakan teknikal Proton?

Views

Artikel oleh : Shamsul Yunos

Kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi bayangan bahawa pihak Kerajaan ingin Proton dikahwinkan segera dan diharap rakan kongsi baharu Proton dapat menyuntik pelbagai perubahan dan menjadikannya sebuah syarikat automotif yang mampan dan mampu bersaing di persada tempatan dan antarabangsa.

Yang kita tahu, Suzuki sudahpun dilamar sebagai rakan teknikal dan khabar dari sumber yang boleh dipercayai memberi gambaran bahawa projek usahasama pertama antara dua syarikat tersebut dijangka bakal dilancarkan tahun ini.

Pertalian antara Proton dan Suzuki pada mulanya tidak melibatkan sebarang penjualan saham kepada Suzuki ataupun pertukaran ekuiti antara dua syarikat tersebut dan ada yang mengatakan bahawa pihak kerajaan mahukan perkongsian yang lebih kukuh dan melibatkan pembelian ekuiti dalam Proton.

Pihak kerajaan juga dikatakan ingin melihat Proton berkongsi dengan sebuah syarikat yang mempunyai kewangan kukuh, teknologi mantap dan mampu membantu jenama Malaysia tersebut melakar satu pelan perniagaan yang mampan serta membolehkannya berdikari walaupun diasak oleh ramai pesaing global.

Kata kuncinya, Kerajaan mahukan Proton mencari rakan kongsi Global.

Adakah Suzuki cukup global dan mampu membentuk halatuju baharu untuk Proton yang membolehkannya bersaing di pasaran tempatan dan serantau?

Suzuki ialah syarikat automotif ketiga terbesar di Jepun dan sebagai Maruti Suzuki ianya syarikat automotif terbesar di India, mencatat jualan lebih 1.4 juta unit pada tahun 2015, berbanding dengan pesaing terdekat Hyndai yang mencatat jualan sekitar setengah juta unit.

India merupakan antara pasaran yang paling sukar di dunia kerana pembeli di sana mahukan kenderaan yang mampu dimiliki dan tahan lasak kerana infrastruktur jalanraya di India masih berada ditahap yang agak teruk.

Suzuki telah membuktikan bahawa ia mampu membaca keperluan pasaran yang sukar dengan tepat dan menghasilkan kenderaan yang dikehendaki pasaran, di India empat tempat teratas diduduki oleh model yang dihasilkan Maruti Suzuki Alto, Dzire, Swift, dan Wagon R manakala dalam senarai 20 kenderaan paling popular di India, 10 model adalah milik mereka.

Seperti Daihatsu, Suzuki terkenal sebagai penghasil kereta kompak dari Jepun dan faktor ini boleh ditafsirkan sebagai kelebihan atapun kelemahan.

Bagi mereka yang mengatakan ini ialah kelemahan, hujahnya berkisar pada paksi walaupun menjadi jenama utama dalam segmen kompak maka Proton tidak perlu menjadi pesaing kepada mereka, lebih elok kiranya Proton menduduki pasaran bagi kereta keluarga yang lebih besar.

Nilai hujah ini agak terhad kerana hakikatnya pasaran Malaysia masih dikuasai oleh kenderaan yang berharga kurang dari RM50,000 dan percubaan Proton dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu untuk menceburi segmen yang lebih berprestij dan mewah terbukti tidak mendapat sokongan pasaran.

Ada yang mengatakan kegagalan tersebut bukan hanya disebabkan harga tetapi juga atas faktor kualiti dan tahap perkhidmatan lepas jualan yang dikatakan tidak setimpal dengan harga yang dituntut.

Pada pendapat kami, Proton perlu kembali fokus kepada pasaran teras mereka yang sememangnya berada dalam lingkungan segmen harga RM30,000 hingga RM50,000.

Proton tidak mempunyai masalah bersaing dalam segmen ini kerana kepakaran utama mereka ialah menghasilkan sedan kompak yang sesuai dengan keperluan pasaran Malaysia pada harga ‘mampu milik’ oleh pembeli di sini.

Model Saga terus mendapat tempat dipasaran dan ianya akan terus menjadi tunjang kejayaan Proton. Dalam keadaan ekonomi dunia yang kurang menentu dan kesannya ke atas ekonomi Malaysia, pembeli semakin sensitif dengan nilai yang mereka dapati dari setiap ringgit yang dibelanjakan dan ini membuatkan mereka tertarik kepada bayaran bulanan yang rendah.

Suzuki boleh memberikan Proton keupayaan untuk menghasilkan kenderaan kompak bukan sedan, seperti SUV, MPV dan juga kenderaan komersil sementara Proton pula boleh menumpukan usaha mereka kepada model teras seperti Saga dan Persona.

Persoalannya sekarang, apakah yang diharapkan oleh Proton dan juga Suzuki dari perkongsian mereka?

Yang pastinya Suzuki sudahpun menarik diri dari pasaran Malaysia dan semua pengedar mereka telahpun diserap ke dalam rangkaian jualan Proton. Sudah tentu Suzuki mahu menjual lebih banyak kenderaan dari hasil kerjasama dengan syarikat tempatan.

Sekiranya Suzuki tidak berminat untuk meningkatkan kerjasama dengan Proton, syarikat manakah yang mungkin berminat?

Proton mempunyai dua rakan kongsi teknikal yang lain iaitu Honda yang berkongsi platform kereta segmen D ataupun model Accord yang menjadi asas kepada Perdana dan Mitsubishi yang membenarkan Proton menjual Lancer sebagai Inspira.

Dalam pengamatan industri, kedua-dua syarikat ini mungkin tidak begitu berminat untuk membentuk satu perkongsian yang lebih erat kerana Mitsubishi sedang menghadapi krisis kewangan sendiri dan Honda pula dilihat lebih gemar berdiri sendiri dipasaran Malaysia memandangkan ia sedang berjaya meningkatkan angka jualan sehingga sekitar 100,000 unit setahun. Honda juga sudah memiliki kilang sendiri di Pegoh, Melaka.

Pada pendapat saya, kita tak patut menidakkan kemungkinan Honda melangkah masuk kerana ini ialah peluang untuk Honda menambahkan bilangan jenama di bawah payungnya. Kali terakhir Honda menjalinkan perkongsian mendalam dengan syarikat kereta lain ialah MG-Rover di UK.

Namun hubungan tersebut hanya bertahan sekitar 12 tahun sebelum jenama British tersebut merosot teruk walaupun berkongsi teknologi dengan Honda, yang terus menjadi popular.

Pengajaran yang boleh kita ambil dari episod Honda dan MG-Rover sangat penting; teknologi yang baik dan model yang bagus tidak dapat menyelamatkan syarikat sekiranya ia gagal menawarkan perkhidmatan lepas jualan yang baik dan tidak mampu menguruskan syarikat dengan elok.

Proton juga sedang membentuk satu usahasama dengan syarikat automotif Youngman dari China dan ini merupakan satu perkongsian yang mungkin mendatangkan keuntungan besar kepada Proton sekiranya ia berlaku seperti yang dirancangkan.

Sekiranya ia berjaya mendapatkan lesen pengilangan automotif di China, Youngman boleh membuka pintu yang luas bagi Proton memasuki pasaran automotif terbesar di dunia. Walaubagaimanapun, janganlah terlalu teruja kerana proses mendapatkan lesen pengilangan baru di China amatlah sukar dan Youngman sudah mencuba selama lebih lima tahun untuk mendapatkan lesen baharu untuk usahasama mereka dengan Proton.

Jenama Geely mungkin menyebabkan kita ketawa tetapi ianya ialah pemain besar dalam pasaran automotif di China dan sebagai pemilik jenama Volvo, syarikat ini jelas mempunyai cita-cita global dan buat masa ini jenama dari China belum berjaya bertapak secara besar di Asia Tenggara dan Proton boleh dijadikan pangkalan utama mereka di pasaran serantau. Adakah Proton berminat untuk berkongsi dengan Geely? Sama-sama kita nantikan.

Hyundai-Kia ialah syarikat kereta keempat terbesar di dunia di belakang Toyota, Volkswagen dan General Motors dan mereka bercita-cita menjadi nombor satu tetapi gergasi Korea ini juga belum dapat bertapak secara signifikan di Asia Tenggara.

Perkongsian dengan Proton mampu menjadikan mereka pemain utama dipasaran serantau kerana ia memberikan kebebasan pasaran kepada semua produk yang dihasilkan bersama. Hyundai juga mempunyai barisan produk yang lengkap dari kenderan segmen A hinggalah ke kenderaan berat.

Bagaimanapun, sebarang perbincangan dengan mereka untuk berkongsi dengan Proton perlu mengambil kira kepentingan Sime Darby dan Naza Group yang kini menjadi pengedar jenama tersebut di Malaysia.

Apa pun proses pemilihan rakan kongsi untuk Proton harus dilakukan pada kadar segera sekiranya pihak kerajaan kurang berminat untuk melakukan suntikan dana melalui pinjaman ataupun pembayaran tuntutan geran R&D.

Yang lebih penting sekali, semua pihak yang berkepentingan termasuk, DRB-Hicom dan juga Kerajaan Malaysia perlu membentuk satu idea tentang apakah peranan Proton dalam menjana industri dan kepakaran tempatan sebelum menjerumus ke arah sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak yang berminat.

Ini amat penting kerana jika kita memulakan perbincangan semata mata untuk menyelamatkan Proton tanpa memikirkan apakah impian kita sebagai sebuah negara, sebagai satu bangsa sudah tentu pandangan kita akan terhad kepada faktor kewangan dan perniagaan, padahal impian asal ialah untuk menjadikan industri automotif sebagai enjin utama pembangunan negara dan magnet penarik kepada teknologi terkini kan keupayaan tinggi dalam industri.

Siapa pun yang akhirnya terpilih, perkongsian ini sudah tentu akan melibatkan suntikan dana kepada operasi di Malaysia dan melakarkan pelan jangka panjang yang mampan kerana pelaburan yang diperlukan untuk bergerak ke depan bukanlah kecil.

Pada pendapat ramai pemerhati industri, Proton perlu melakukan beberapa perkara penting untuk menjadi sebuah syarikat yang berdaya saing;

  1. Memulihkan jenama Proton dan mengembalikan kepercayaan pembeli kepada syarikat tersebut. Hakisan kepercayaan terhadap jenama Proton bukan berlaku sekelip mata, proses ini telah bermula di akhir 1990an apabila banyak rungutan tentang sistem tingkap berkuasa dan beberapa perkara kecil yang lain. Masalah ini menjadi lebih kronik apabila bahagian perkhidmatan lepas jualan pula tidak berjaya mengekang perasaan tidak puas hati pembeli. Hanya rakan kongsi yang berwibawa dan tegas mampu mengubah persepsi pembeli dalam jangka masa yang agak singkat, iaitu antara satu hingga dua tahun. Bagi menjayakan usaha memperbaiki imej jenama, Proton juga perlu mempunyai bahagian pemasaran yang dinamik dan mampu menyampaikan mesej penting ini kepada pasaran.
  2. Mencapai tahap kos yang kompetitif dari segi pembelian komponen dan juga kecekapan tenaga kerja serta tahap kualiti. Tiga kos besar syarikat kereta ialah pembelian komponen, gaji dan tuntutan jaminan (warranty). Sekiranya Proton mahu berdaya saing ia perlu mencari ruang untuk mengurangkan tiga kos tersebut. Ini bukanlah tugas yang mudah kerana terdapat pelbagai rintangan dalam usaha memastikan ianya berjaya – Pengeluar komponen sudahpun mengatakan bahawa mereka menghadapi tekanan akibat kemerosotan Proton dan mereka juga kurang yakin bahawa Proton mampu mencapai sasaran jualan mereka dan ini membuatkan pembekal gusar untuk memberikan harga yang lebih kompetitif kepada Proton. Proton juga perlu menghentikan ketirisan yang berlaku dalam proses pembelian komponen kerana ini perkara yang sudah berlaku sejak sekian lama dan perlu dibendung segera. Dengan jumlah jualan yang kian menghampiri 100,000 unit setahun, adalah sukar untuk mewajarkan operasi dua kilang besar yang mempunyai jumlah kapasiti hampir 300,000 unit. Sudah tiba masanya Proton serius memindahkan semua operasi pengilangan ke Tanjung Malim dan memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk menjayakan proses ini. Akhir sekali Proton perlu mengurangkan kos tuntutan jaminan (warranty) dengan memperbaiki tahap kualiti produk mereka dan ini perlu dilakukan dengan memperketatkan proses pemeriksaan kualiti komponen dan juga memperhalusi proses pemasangan.
  3. Rasioanalisasi barisan model. Proton kini menawarkan tujuh model yang dihasilkan darpada lima platform dan ini adalah satu keputusan yang membebankan Proton dari segi sumber kewangan, kejuruteraan dan pengilangan. Sebagai sebuah syarikat yang bersaiz kecil, Proton perlu mencari jalan untuk menyelaraskan platform dan model yang dihasilkan. Perkongsian komponen juga adalah penting bagi memastikan kos dapat dikurangkan dengan meningkatkan jumlah pembelian dari pembekal. Proses pemindahan ke Tanjung Malim juga akan mengekang jumlah model yang boleh dihasilkan oleh Proton dan Proton perlu mengambil positif terhadap kekangan ini. Sekiranya Proton hanya boleh menghasilkan tiga model mereka perlu memikirkan secara mendalam apakah model yang menjadi teras kepada syarikat dan boleh mendapat tempat di pasaran?

Jelas bahawa permasalahan yang dihadapi oleh Proton sudahpun lama berakar dan ini bukanlah masa untuk menuding jadi, tetapi ini adalah masa untuk mencuci rumah dengan cara menyeluruh.

Keadaan memaksa Proton mengambil tindakan drastik dan pihak pengurusan wajib mengambil kelebihan ini untuk menidakkan sebarang kepentingan peribadi dan sebarang kepentingan terlindung yang telah melemahkan Proton selama ini.

Rakan saya Hezeri Samsuri dalam posting Facebooknya berkata, “Kalau nak menolong, tolonglah jangan pula kita merumitkan keadaan dan menjadikan Proton lebih lemah” dan inilah antara nasihat terbaik yang saya dengar dalam hal ini.

Walaupun kita mungkin teruja untuk mencari rakan kongsi baharu untuk Proton, jangan lupa Presiden Suzuki, Osamu Suzuki sendiri sudahpun bersetuju untuk bekerjasama dengan Proton, apa kata kita galakkan mereka mencari ruang untuk mengeratkan usaha tersebut. Walaupun Suzuki pakar kenderaan kecil, namun kita tidak boleh berubah angin sesuka hati kerana ini diperhatikan oleh seluruh industri dan Proton tidak memerlukan reputasi sebagai organisasi yang tidak tetap pendirian apabila berunding.

Masa sudah suntuk tetapi ini tidak bermakna kita boleh mengambil langkah seterusnya dengan tergopoh-gapah. Walaupun ruang masa dan kewangan amat terhad kita perlu memberikan Proton semua pertolongan dan bantuan dari segi apa sahaja yang boleh untuk memperbaiki keadaan dan ada kalanya bantuan terbaik ialah dengan menutup mulut sahaja sekiranya kita tidak mampu memperbaiki keadaan.

adakah suzuki kekal rakan teknikal proton

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

14 Comments


  • Mmm… panggil jer balik DSZ masuk proton sebagai pengarah urusan:). Beliau ada karisma utk mengembalikan reputasi proton. Proton perlu leader yg bleh memberi visi, inspirasi n motivasi juga kepada line pekerja2nya. DSZ ada aura nie. Juga leader yg bleh menjadi juru cakap produk n responsif terhadap rungutan pengguna. DSZ ada ciri2 nie. Karaktor leader, pengenalan produk baru dan pembaikan servis mampu memberi keyakinan kpd pengguna walaupun ia tidaklah bleh berlaku sekelip mata.

    Proton juga perlu lakukan penstrukturan semula operasi syarikat. Fokus model baru yg populis utk pasaran domestik dan berpotensi utk market luar. 2 in 1. Kadang2 tertanya2 mana peginya pinjaman prootn dari bank2 malaysia bernilai RM6 bilion utk program pemulihan 5 tahun anak syarikatnya lotus setelah rancangan pemulihan itu tidak diteruskan dan diubah suai bila prootn diambil alih oleh DRB drp khazanah. Cukup2lah unsur politik yg berakar umbi dlm prootn sebelum nie. Kini tiba masa prootn fight back dan bangkit susun langkah mencari penyelesaian terbaik. Rakan kongsi bersama suzuki patut diberi peluang utk dilaksanakan tanpa sebarang gangguan. Harus ingat sebarang JV perlu ada win2 situation. Kita bukan nk selesaikan satu masalah tapi timbul masalah baru. Bukan korek lubang gali, tutup lubang gali lubang:P Say no kalau ada kecenderungan gov utk memujuk prootn memikirkan kembali syarat JV proton dgn VW. Pasal isu dieselgate pun depa bleh tipu, nie nk buat JV dgn depa? Sorry… don’t:P Apa2 pun. all the best prootn.

    Cheers!


    • Bukan semuanya baik-baik ketika proton di bawah dsz.. cth utama, preve.. sasaran asal adalah 4k unit sebulan.. tapi realitinya.. mungkin hanya ratusan atau sekitar 1k jualan sebulan..

      Mitsubishi sendiri tidak berani nak keluarkan replacement model untuk lancer..


      • Mmm… isu prootn adalah kerugian silam n kekurangan dana pembangunan model baru, jadi model2 keretanya perlu dibuat satu persatu. Setiap model baharu tempoh penghasilan sekurang2nya 2 tahun. Xde salahnya model preve dihasilkan cuma model nie bukan segment populis bagi pasaran domestik jika mengikut range harga majoriti mampu beli. Namun objektif preve dihasilkan ketika itu adalah sebagai perintis utk memenuhi global standard cat bagi model2 proton seterusnya. Target preve ketika itu tidak realistik : 4k. Sedangkn reality jualan domestik segment preve ketika itu dlm lingkungan 1k-2k jer. Namun preve adalah antara model jualan tertinggi dlm segment C sedan mendahului altis, even civic. Mitsu lancer dlm segment C-D berprestasi tinggi. Harga pun bleh tahan. Sbb tu jualan agak rendah di ‘Msia. Lagi pun Mitsu gak punyai masalah operasi syarikatnya juga sbb tu depa bersetuju JV dgn proton n proton terima model rebadge lancer tu menjadi Inspira C-D sedan versi famili. Mitsu dpt untung drp guna lesen n royalti. Proton pula dpt ilmu n blajar teknologi pembuatan lancer dan praktis awalnya adalah preve. Mitsu sekarang nie banyak memberi model2nya utk tujuan rebadge kat company2 seperti renault, citroen dll. Depa pun ada masalah operasinya juga utk survive. Mitsu dh tamatkan keluaran lancer dan memberi tumpuan kat model2 tumpuan n mudah terjual maka model eco car seperti attrage n mirrage diberi tumpuan selain model2 pasaran hangatnya; segment pickup seperti triton:)

        Cheers!


    • kenapa perlu tulis PROTON tu PROOTN ?
      kalau ia nak cepat taip pon, kenapa ejaan PROTON je yg mcm tu….. tak kan silap smpi lebih 5 kali ejaan PROTON tu…. haha… sekadar bertanya….

      GO PROTON !!!


  • saya tidak pasti kenapa proton memilih suzuki…tapi dari pengalaman suzuki d india,saya merasakan dapat meneka kenapa proton bawah tun mahukan suzuki…lebih dari pembuatan kereta…

    tapi macam mana sebuah syarikat jepun boleh berjaya d sebuah negara yang memiliki industri kereta sendiri dan faktor harga sangat sensitif….masakan tidak kereta nano mendapat sambutan wp mungkin tidak lulus d jalan raya malaysia…tapi d india suzuki dapat menjadi no 1…

    pada pendapat saya itu yang proton mahu belajar dari suzuki….pasaran besar dan luas tpai harga kompetitf tapi masih berjaya….apa resepinya…

    kenapa orang duk gusar sangat dengan masa depan proton..bukan ke ramai yang suh proton tutup kilang…apa kata kalau proton pindah kilang ke negara2 kos murah..kerajaan pun bukan sokong lagi…kenyataan PM dalam program brotherhood “proton bukan lagi kereta nasional”…

    tapi betapa sayangnya kita semua tak kiralah kita benci sangat atau sayang sangat atau stakat memberikan pendapat,proton dekat dengan kita…kita boleh kata kita pengeluar kereta…anak2 muda kita belajar automotif dan boleh bekerja sampai peringkat tertinnggi d sbuah syarikat yang ktia tidak ketinggalan mana pun…

    volkswagon..baru nak fikir nak buat enjin untuk lepas euro 6…proton dah buat….cuma proton kurang dana…yup..syed mokhtar memang kaya…agak2nya kalau tun buka mulut syed mokhtar past tolong..tapi proton mahu berjayua dengan sendiri


  • 1-2-3 tu sedang dilakukan
    dan sudah bermula sejak Preve
    kenapa perlu reset lagi

    dah kalau tiap tiap kali reset, bila 1-2-3 tu nak jadi

    and lagi satu, bila jadi benda benda macam ni baru kita tau yang government memang senantiasa tidak boleh asing bisnes dan kerajaan.

    tengok elok elok tu semua orang.


    • Belum lagi yg nombor 3 tu kalau Proton masih terus jual model2 lama atas alasan masih ada permintaan. Saya amat setuju kalau Proton tumpukan semua proses pembuatan di satu kilang sahaja, sama ada di Shah Alam atau Tanjung Malim. Tak boleh ada dua kilang kalau skala ekonomi tak besar.


  • Perodua berjaya menjual modelnya terlarisnya Axia hampir 100k tahun 2015.. manakala Proton memerlukan 5-6 model untuk mencapai jumlah jualan yg sama dengan Axia..

    Suzuki Celerio adalah model yg paling sesuai untuk diproduksikan di bawah badge Proton..

    usah risau dengan jualan Iriz (mungkin yg akan terjejas adalah model 1.3cc) yg akan tergangu dengan model celerio ini… sbb proton perlu lebih risau dengan penguasaan pasaranya yg semakin menyusut tahun demi tahun..


  • Strategi proton sumbang bermula dengan preve..patut dh betul dh sebelum tu,preve ganti persona.tp disebabkan cite2 nak ambik pelanggan vios dan city,pelanggan preve yang lari.

    Saga,persona,exora dah cukup untuk lineup proton.

    Model lain boleh kembang dr 3 model ni.iriz,suprima s & perdana

    Tp bile preve x jadi ganti persona,lineup jd kelam kabut.last2 saga jd segmen a.kereta lain berkembang dr kecik ke besar.yg proton terbalik.

    Teman respek tun m,tp teman syak sbb dia la proton merudum sekarang.patut bagi dato syed setel dulu pelan dia.mungkin dgn pelan dia preve mmg mampu jual 4k?wallahua’lam

    Sekian

Leave a Reply