ARKIB

KATEGORI

Buletin

ANIH edar pek juadah berbuka kepada pengguna LPT

Views

Mengambil kesempatan beramal sempena Ramadhan, ANIH Berhad menganjurkan program ‘Berkongsi Barakah Ramadhan’ dengan mengedarkan 3,000 pek juadah berbuka percuma kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT), bermula 2 Jun 2017. Pek juadah tersebut mengandungi nasi dan lauk pauk, minuman dan kurma itu akan dilaksanakan tiga kali iaitu dua di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Genting Sempah (2 Jun dan 16 Jun 2017) dan satu di R&R Temerloh (9 Jun 2017).

Untuk setiap lokasi, sebanyak 1,000 pek juadah berbuka akan diperuntukkan dan diedarkan menerusi satu kaunter pandu lalu khas yang bermula dari jam 6.30 petang hingga 7.45 petang. Pengedaran pek juadah berbuka disempurnakan oleh warga kerja ANIH Berhad dengan kerjasama penggerai-penggerai R&R Genting Sempah. Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussin berkata, program ‘Berkongsi Barakah Ramadhan’ itu adalah inisiatif tanggungjawab korporat dari ANIH Berhad dan berharap dapat menganjurkan lebih banyak lagi aktiviti bermanfaat kepada pengguna LPT.

Di samping mengedarkan pek juadah berbuka, pengguna LPT turut dikongsi beberapa tip keselamatan semasa memandu di lebuh raya seperti yang digambarkan menerusi lukisan doodle di susur masuk ke R&R Genting Sempah. Antara tip keselamatan yang dikongsi termasuklah berehat seketika di R&R terdekat sekiranya keletihan, jangan memandu melebihi had laju, merancang perjalanan dengan mengikuti cadangan waktu perjalanan (TTA), beri isyarat semasa menukar lorong, elakkan daripada mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat, jangan menyalahgunakan lorong kecemasan dan sentiasa mengamalkan pemanduan secara berhemah untuk sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.

Selain itu, pengguna LPT turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat platform media sosial utama ANIH Berhad yang merangkumi Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter @LPTTrafik yang membolehkan pengguna membuat persediaan awal untuk merancang perjalanan mereka. Sebelum ini, ANIH Berhad telah memulakan program pengedaran 20,000 pek buah kurma secara percuma kepada pengguna LPT semasa waktu berbuka puasa. Pek buah kurma ini telah diedarkan setiap hari selama sebulan bermula hari pertama Ramadhan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply