ARKIB

KATEGORI

Buletin

Bank ‘pedajal’ Proton?

Views

Nak buat pinjaman sewa beli Proton Saga tapi tak lulus? Tapi yang ajaibnya, buat pinjaman sewa beli kereta jenama lain yang lebih mahal boleh lepas pulak! Macam siri telivisyen “Ripley’s Believe It Or Not” pula kan? Tapi itu yang kerap kali berlaku dan merupakan salah satu faktor yang buat kereta Proton jadi tak berapa nak laku. Bukan itu sahaja, ada beberapa faktor lagi yang men’dajal’kan Proton sehingga berada dalam situasi seperti ketika ini.

Kami merujuk kepada artikel bertajuk DISKRIMINASI bank terhadap Proton yang ditulis oleh Johardy Ibrahim, Editor Berita Ekonomi di Utusan Malaysia yang juga merupakan Kolumnis ‘Merrepak’​ di Mingguan Malaysia dan berikut adalah beberapa faktor lagi yang membantu merudumkan lagi jualan Proton.

Komisyen ciput – Jurujual Proton jadi musuh dalam selimut?

Kenapa penulis artikel tersebut berkata begitu? Tergamak jurujual Proton sendiri yang menjadi musuh dalam selimut dengan memperlekeh produk Proton dan beliau sendiri pernah mengalaminya. Namun kes tersebut telah dilaporkan kepada Proton Edar. Mengapa sampai macam tu sekali? Jawapannya adalah KOMISYEN.

Komisyen jual kereta Proton sikit sangat sampai jurujual Proton pun cari duit lebih jual jenama lain yang bagi komisyen lebih kepada mereka. Itu sebenarnya bukan masalah sebab masing-masing nak mencari rezeki, tapi dari segi etika ia ibarat membunuh majikan demi kepentingan diri sendiri, sepatutnya perkenal produk Proton tapi pujuk pelanggan beli jenama lain, “masyuk” lebih sikit lah kan.

Pegawai Proton sememangnya cakna mengenai isu tersebut dan perkara ini turut dibincangkan dengan Persatuan Pengedar Proton Edar (PEDA). Langkah positif telah diambil dengan menaikkan kadar komisen yang setaraf dengan nilai pasaran, malah lebih tinggi daripada pesaing terdekat.

BACA >> INFO : Tujuh sebab mengapa bank susah nak lulus pinjaman kereta anda

Kadar faedah pinjaman sewa beli daripada bank tinggi berbanding jenama lain

Ini merupakan satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh Proton, iaitu bank mengenakan kadar faedah tinggi terhadap pinjaman sewa beli kereta Proton berbanding jenama lain. Kenapa bank buat begitu? Bank kata kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) dalam kalangan pembeli Proton adalah tinggi berbanding jenama kereta lain.

Bila bank letak kadar faedah tinggi, pembeli akan bertukar fikiran dan memilih jenama lain. Macam pelik je kalau seseorang yang bergaji RM3,000 kena tunggu berminggu-minggu untuk kelulusan bank. Bank tak berminat nak tambah pelanggan ke sampai lengahkan permohonan yang layak?

Di sini wujud persoalan adakah bank mendis­kri­minasikan atau dalam bahasa lebih kasar ‘pedajal’ kereta Proton? Anda boleh tanya PEDA dah berapa ramai pelanggan mere­ka yang terkena. Jurujual Proton sendiri pun mengaku tempoh memproses permohonan pinja­man begitu lama, ibarat macam tak penting pun.

Apa yang perlu dibuat Proton untuk meneruskan kelangsungan hidup?

Di era kewujudan Bank EON isu tersebut tidak timbul. Perkara ini tidak boleh dibiar berlarutan dan pemilik Proton, DRB-Hicom perlu bersemuka dengan persatuan bank untuk berbincang. Ini bukan lagi disebabkan faktor ‘kuasa pasaran’ tetapi ‘kuasa bank’. Kita sudah mengetahui penjualan 49.9 peratus ekuiti di dalam Proton kepada Zhejiang Geely Holding Group dan tahun lalu sahaja Proton ada empat model dalam segmen yang berbeza, Perdana, Persona, Saga dan Ertiga.

Dua faktor di atas boleh dikatakan penyebab jualan Saga dan Persona sedikit terjejas. Nak kata jenama Proton sebagai kereta murah dan berkualiti rendah tak juga sebab sejak Preve sehingga kini teknologi yang ditawarkan oleh Proton terutama dari aspek keselamatan adalah setanding, malah lebih baik berbanding model pesaingnya.

Mana dapat kereta yang pakai struktur guna teknologi Besi Tempa Panas (HPF) dengan enam beg udara pada harga di bawah RM60 ribu? Tapi Proton boleh bagi semua ini pada model Iriz dan Persona versi Premium lagi, dengan pelbagai lagi spesifikasi menarik dan kemasan dalaman macam kereta mahal. Isu tingkap kuasa pun dah tinggal sejarah.

Kekalkan tawaran waranti dan perkasa nilai tambah

Tawaran waranti selama lima tahun atau 100,000 servis percuma juga merupakan antara yang mendorong peningkatan jualan dan berdasarkan tinjauan rambang pembeli baharu, mereka amat menghargai waranti sebegini. Proton Edar wajar meneruskan penawaran ini untuk tempoh berterusan dan bukan ditawarkan untuk masa tertentu sahaja.

Kita tahu, bila sebut nama Proton mesti bab harga memang isu paling sensitif. Penawaran diskaun adalah penting tetapi tidak mem­bantu kelangsungan hidup syarikat. Sebaiknya harga dikekalkan dan pada masa yang sama perkasakan nilai tambah. Pengguna sekarang dah semakin bijak untuk berjimat terutama sekali dari aspek kos penyelenggaraan.

Susun semula model

Proton juga perlu menyusun semula model keluaran mereka kerana ia penting dalam mengurus nilai jualan semula (trade in). Dalam industri kereta terpakai, kereta enjin 1.3 liter dan 1.5 liter diletakkan pada kategori harga sama, sedangkan asasnya harga baharu 1.5 liter lebih tinggi berbanding 1.3 liter. Ini tentunya merugikan pemilik 1.5 liter daripada segi tempoh pinjaman. Mungkin Proton boleh susun semua model mereka mengikut segment dan kapasiti enjin seperti ini:

  • Segmen A : 1.0 liter – 1.2 liter
  • Segmen B : 1.3 liter – 1.6 liter
  • Segmen C : 1.8 liter – 2.0 liter
  • Segmen D : 2.0 liter ke atas

Selain itu Proton perlu mempelbagaikan model dalam setiap segmen. Sebagai contoh untuk setiap segmen perlu ada model sedan, hatchback, MPV dan SUV yang dibangunkan dari pelantar yang sama. Boleh ikut contoh Honda yang pelbagaikan model dengan hanya satu pelantar, contohnya : Jazz hatchback, City sedan, HR-V dan Jazz/Fit Shuttle (MPV). Walaupun hanya Jazz, City dan HR-V yang di bawa masuk ke pasaran Malaysia tetapi ini sudah cukup untuk jadikan Honda sebagai jenama nombor satu bukan-nasional dan jumlah jualannya jauh mengatasi Proton.

Dengan tempoh pinjaman antara tujuh hingga sembilan tahun, seorang pengguna perlu membayar balik pinjaman paling minimum ke tahun terakhir untuk mendapatkan sedikit baki bagi modal membeli kereta baharu. Proton telah kehilangan nisbah pembeli iaitu mereka hanya membeli satu kereta antara tujuh hingga sembilan tahun, mengikut tempoh pinjaman. Bandingkan dengan jenama lain bertukar kereta setiap lima tahun.

Sebenarnya, aspek nilai jualan semula rendah ini adalah antara penyebab paling besar Proton kehilangan pelanggan setia. Dengan kemasukan Rakan Strategik Asing terbaharu Geely ia mungkin dapat membantu Proton dan SUV terla­risnya, Boyue bakal diperkenalkan dengan jenama Proton. Namun Proton perlu memperkemaskan apa yang patut dahulu untuk lebih gagah di pasaran!

Artikel ini diolah semula dari artikel yang bertajuk DISKRIMINASI bank terhadap Proton yang ditulis oleh Johardy Ibrahim.

Jom tonton ENGEAR – Episod 9 : BMW 330e M Sport!

BMW 330e M SPORT 2017 / BABY DRIVER Review - ENGEAR EP8

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply