Semalam Mitsubishi telah memperkenalkan model MPV bersaiz kompak generasi baharu yang bakal membuat kemunculan rasmi di Pameran Kenderaan Antarabangsa GAIKINDO (GIIAS 2017) yang akan berlangsung pada 10-20 Ogos 2017 di Jakarta, Indonesia. Nama rasmi MPV bakal diumumkan semasa pameran tersebut berlangsung dan buat sementara ia dikenali sebagai Expander. Digelar sebagai ‘MPV sejuta umat’ di Indonesia, model ini bakal berentap dengan Toyota Avanza, Suzuki Ertiga, Honda BR-V, Daihatsu Xenia dan beberapa model lagi apabila ia dilancarkan.
Fakta menarik mengenai Mitsubishi Expander
- Menampilkan rekaan luaran gaya SUV tetapi mempunyai praktikaliti dan keluasan kabin seperti sebuah MPV
- Mempunyai tiga barisan tempat duduk yang memuatkan tujuh penumpang
- Rekabentuknya hampir 80 peratus menyamai model konsep Mitsubishi XM
- Dijana oleh enjin 1.5 liter MIVEC yang digandingkan bersama pilihan transmisi manual atau automatik
- Akan dipasang di Bekasi, Wilayah Jawa Barat, Indonesia bermula dari Oktober 2017
- Harga jualan MPV di Indonesia adalah sekitar IDR 189 juta (RM 60,000) hingga IDR 246 juta (RM 79,000), jauh lebih rendah berbanding beberapa pesaing terdekatnya seperti Honda BR-V, Toyota Sienta dan Nissan Grand Livina.
Nampaknya Mitsubishi sudah mula memukul gendang perang dan ‘MPV sejuta umat’ ini bakal membuat satu lonjakan yang penting pada syarikat tersebut untuk kembali merebut pasaran ASEAN yang telah didominasi oleh Toyota, Honda dan Daihatsu. Adakah anda bersedia untuk memecahkan tabung jika Mitsubishi Motors Malaysia berani membawa model ia ke sini pada masa depan?
Berkemungkinan juga model ini akan memakai lencana Nissan dan bakal menjadi pengganti Grand Livina di Malaysia, sebab Mitsubishi adalah ahli keluarga terbaharu pakatan Renault-Nissan. Kalau kena dengan harga pasti model ini boleh laris di Malaysia nanti.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI