ARKIB

KATEGORI

Buletin

Berkat membantu penduduk orang asli, pesara muncul pemenang ‘Proton Search 2016’

Views

Akhirnya terjawab sudah siapa pemenang Hadiah Utama Peraduan Proton Search 2016 apabila Mohd Isa bin Ibrahim Shah, 85, seorang pesara RISDA, telah diumumkan sebagai pemilik sebuah Proton Saga baharu. Beliau dipilih berdasarkan kenangan yang menyentuh hati mengenai Proton Saga manual yang dimilikinya sejak 1985 yang memberikan kegembiraan dan sangat bermakna kepada keluarganya. Proton Saga itu banyak berjasa bukan hanya kepada keluarganya, malah banyak membantunya dalam kerja-kerja amal bersama penduduk orang asli sehingga ke hari ini.

10 hadiah sagu hati yang lain telah dimenangi; Abdul Razak bin Ahmad, Azizah binti Junid, Ishrat Banu binti Hassan, Mohd Jamil Chew bin Abdullah, Mustapa bin Kassim dan Wong Sok Kim @ Wong Sok Kum (pemilik kereta tahun 1985); Govindarajoo a/l Periasamy, Mohd Tajuddin bin Idris, Samian bin Sawiyo dan Thangaras a/l Doraisamy (pemilik kereta tahun 1986).

Proton Search buat pertama kalinya diadakan tahun ini telah berlangsung selama 13 minggu, dari 8 Mac hingga 8 Jun 2016, dan menerima sebanyak 866 penyertaan dari semua kaum di seluruh negara. Peraduan ini membuka peluang kepada pemilik kereta Proton dari tahun 1985 hingga 2012, dari generasi pertama iaitu Saga sehinggalah Exora untuk mencari pemilik tunggal kereta Proton paling lama di Malaysia, dengan keadaan kereta yang baik serta masih digunakan sehingga kini. Para peserta juga dikehendaki berkongsi kenangan manis mengenai kereta mereka dalam bentuk karangan atau video ringkas.

Peraduan ini dianjurkan bersempena pelancaran kempen “The New PROTON” pada Februari tahun ini, sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Pelanggan Diutamakan‟ dalam menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada pemilik Proton. Ia juga dilihat sebagai satu cara untuk Proton menunjukkan komitmennya bagi membina dan mengekalkan hubungan dengan pelanggannya serta memberi ganjaran kepada pelanggan yang setia.

group-photo-with-all-winners

“Kami amat terharu dengan penyertaan yang sangat menggalakkan dari para pelanggan setia kami. Ianya bukan sekadar menggembirakan kami apabila mendapati banyak lagi Proton Saga tahun 1985 yang masih dipandu di atas jalan raya, tetapi secara tidak langsung membuktikan kereta keluaran Proton benar-benar kukuh dan telah banyak membantu kehidupan seharian pemilik-pemiliknya. Sudah pastinya pelbagai kenangan dan detik-detik yang tidak boleh dilupakan oleh pemilik bersama dengan kereta-kereta mereka ini,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Para pemenang telah dipilih oleh panel juri profesional yang menilai penyertaan mereka berdasarkan kedua-dua bahagian teknikal dan juga cerita atau video ringkas yang dikirim. Para juri terdiri daripada Ketua-ketua di pelbagai jabatan di Proton, dan diketuai En. Azhari Che Hassan, Pengurus Besar Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Kenderaan Proton serta juri-juri jemputan, Hezeri Samsuri dan Salihin Rahim dari rakan media permotoran dalam talian, Careta.my.

Pusingan pertama penghakiman melibatkan proses saringan berdasarkan borang penyertaan yang lengkap mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam borang penyertaan. Kemudian, ia setiap penyertaan dibahagikan mengikut tahun kereta dikeluarkan dan jumlah tahun pemilikan kereta. Setelah selesai tapisan awal, juri-juri telah menyemak cerita atau video ringkas yang menyentuh perasaan dan kemudiannya menyenarai pendekkan peserta.

Selepas itu, para juri membuat kunjungan dari rumah ke rumah pemilik yang telah disenarai pendek untuk mengesahkan keadaan kereta mereka bagi memastikan kereta tersebut masih dalam keadaan baik. Untuk tujuan ketelusan dan kesahihan, proses pemilihan telah diaudit oleh Jabatan Audit Dalaman Proton.

Para pemenang turut diberi peluang untuk melawat ke kilang dan melihat kemudahan yang ada di Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan Proton yang terdiri daripada Studio Reka Bentuk serta makmal ujian dan akhirnya mereka cuba memandu uji serta menaiki kereta-kereta Proton di trek pandu uji Proton.

KLIK UNTUK BESARKAN

dato-radzaif-mohamed-dceo-of-proton-with-grand-prize-winner group-photo-with-all-winners mohd-isa-bin-ibrahim-shah-and-his-wife-grand-prize-winner-with-his-new-saga mohd-isa-bin-ibrahim-shah-and-his-wife-grand-prize-winner-with-his-proton-saga-1985

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply