ARKIB

KATEGORI

Buletin

Edisi Terhad Defender Works V8 diperkenalkan, hanya 150 unit sahaja di dunia

Views

Land Rover UK telah mengumumkan pengenalan model edisi-terhad berprestasi tinggi Defender yang dibina khusus untuk meraikan sambutan ulangtahun ke-70 Land Rover pada tahun ini. Defender Works V8 merupakan versi paling berkuasa dan terpantas pernah dicipta oleh Land Rover. Ia dikuasakan oleh enjin petrol 5.0 liter aspirasi-natural yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 405PS dan 515 Nm daya kilas (model standard Defender menjana 122PS dan 360 Nm tork). Model ini mampu memecut dari 0-60mph dengan hanya 5.6 saat dengan kelajuan tertinggi mencecah 106mph.

Enjin V8 ini bakal dipasang pada 150 unit Defender yang dipilih khas dan dilakukan kejuruteraan semula untuk Edisi ke-70, serta digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF dengan mod sport, sistem brek yang dipertingkatkan dan kit pengendalian (spring, peredam dan bar anti-roll), serta rim aloi bersaiz 18-inci Sawtooth dan tayar 265/65 R18.

Lapan pilihan warna ditawarkan, termasuklah dua warna dengan kemasan satin – bumbung, gerbang tayar dan jeriji hadapan dengan kemasan hitam Santorini, selain pemegang pintu, penutup minyak dan huruf pada bonet Defender dengan kemasan aluminium. Di ruang kabin pula, kemasan kulit Windsor penuh membaluti papan pemuka, panel pintu, pelapik kepala dan tempat duduk sport Recaro. Ia turut dilengkapi sistem infohiburan klasik dari Land Rover.

Defender Works V8 dengan jarak roda 90 dan 110 boleh dibeli secara terus dari Land Rover Classic, dengan harga bermula dari RM824,990 (£150,000) untuk versi 90 di UK. Beberapa kit naik taraf yang dinspirasikan dari Defender Works V8 akan turut dijual tidak lama lagi dari Land Rover Classic, ini termasuklah naik taraf kuasa enjin diesel TDCi, suspensi berprestasi-tinggi dan kit brek.

Sempena memperingati sambutan ulang tahun model ikonik Defender, Jaguar Land Rover Malaysia turut memperkenalkan unit terakhir Double Cab Defender dengan warna khas edisi peringatan terhad. Hanya 12 unit terakhir Defender di Malaysia akan menggunakan bumbung dan rim hitam untuk warna Kuning Sicilian dan Merah Montalcino, manakala bumbung dan rim warna perak pula digabungkan bersama warna Biru Baltic kab berkembar. Warna jahitan pada tombol gear, stereng dan tempat duduk adalah sepadan dengan warna cat luaran.

Pelapik kepala untuk edisi peringatan Defender di Malaysia juga dinaik taraf untuk memberikan rasa kemewahan pada keseluruhan kabin. Edisi peringatan ini dijual pada harga RM198,800.00 (termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Ia dikuasakan oleh enjin diesel 2.2l dan digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan manual.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply