ARKIB

KATEGORI

Buletin

Fullerton Concours d’Elegance bakal gegar Singapura selama tiga hari

Views

Sempena meraikan ulang tahun ke-90 bangunan ikonik Fullerton yang kini dijadikan Hotel Fullerton Singapura, acara Fullerton Concours d’Elegance yang julung kalinya akan diadakan selama tiga hari bermula dari 29 Jun sehingga 1 Julai 2018. Acara ini bakal menyaksikan presint Fullerton Heritage berubah menjadi tapak acara yang menghimpunkan lebih dari 90 buah kereta vintaj dan klasik, selain supercar dari seluruh pelusuk dunia.

Antara acara yang turut menjadi tumpuan nanti adalah majlis makan malam gala, persembahan muzik secara langsung, pameran seni dan budaya, bengkel, aktiviti riang ria untuk seisi keluarga, pameran kapal layar mewah dan konvoy kereta amal. Pengarah Urusan Fullerton Heritage, Cavaliere Giovanni Viterale berkata, sebagai salah satu daripada bangunan paling ikonik di Singapura, Bangunan Fullerton masih lagi dikekalkan dalam bentuk asal dan Fullerton Concours d’Elegance adalah acara yang paling sesuai bukan sekadar memberi penghormatan kepada warisan Grand Dame malah menghimpunkan komuniti serta mencipta kenangan bersama.

Bangunan Fullerton telah diwartakan sebagai Monumen Kebangsaan pada 7 Disember 2015 sebagai penghormatan kepada peranan pentingnya dalam sejarah Singapura. Sebelum ini ia menempatkan Pejabat Pos Besar yang pernah “digelar sebagai pejabat pos paling penting di Timur”. Hari ini bagunan tersebut berubah menjadi presint Fullerton Heritage yang berteraskan tujuh kunci utama iaitu: Hotel Fullerton Singapura, Hotel Fullerton Bay Singapura, Rumah Bot Fullerton, One Fullerton, Fullerton Pavilion, Clifford Pier dan Rumah Kastam.

Antara aktiviti menarik yang bakal diadakan adalah:

  • Pameran Concours d’Elegance yang akan mempamerkan koleksi kenderaan sebelum dan selepas perang, kereta vintaj dari tahun 1920an, kereta antik dari zaman 1930an, kereta klasik dari era 1970an dan kereta moden yang akan dipamerkan sepanjang Clifford Square dan Clifford Pier.
  • Antara kereta yang menjadi tumpuan adalah, Austin Seven Ulster Special 1934 yang badannya diperbuat dari aluminium dan tanpa pintu, Rolls-Royce Silver Cloud II1961, Lamborghini Miura yang dimiliki oleh Don Miura serta Rolls-Royce Dawn Black Badge 2018 dan Ferrari Portofino 2018.
  • Selain itu beberapa buah prototaip kereta elektrik yang dihasilkan oleh pelajar Singapore University of Technology and Design serta koleksi peribadi Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor turut dipamerkan.
  • Kereta-kereta yang dipamerkan ini akan turut dinilai oleh juri dari segi ketulenan dan keasliannya, kualiti pemulihan, rekabentuk dan penggayaan serta elegan.
  • Kelab-kelab kereta seperti Malaysia and Singapore Vintage Car Register (MSVCR), Ferrari Owners’ Club Singapore dan Lamborghini Club Singapore akan mengadakan konvoy amal.
  • Aktiviti seni, muzik dan budaya yang bakal menampilkan kumpulan muzik tempatan TENG Ensemble semasa acara pembukaan.
  • Pameran koleksi jam dan kamera klasik serta bengkel fotografi.
  • Fullerton Concours Cocktail dengan ramuan khas menggunakan bahan tempatan campuran buah-buahan dan citrus.

Tiket untuk menyaksikan acara Fullerton Concours d’Elegance bermula dari S$9.90 (RM30) untuk Pas Sehari. Pas Emas juga turut ditawarkan untuk kemasukan ke kawasan VIP dan parti di Lantern, The Fullerton Bay Hotel. Kanak-kanak di bawah usia lima tahun tidak dikenakan sebarang bayaran. Untuk maklumat lanjut mengenai senarai kereta yang bakal dipamerkan, mengundi kereta kegemaran dan pembelian tiket, layari http://www.fullertonconcours.com/.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply