ARKIB

KATEGORI

Buletin

Hampir 100 juta kenderaan yang dipasang beg udara Takata akan ditarik balik

Views

Pengawal selia automotif Amerika Syarikat kini sedang menilai kemungkinan tambahan 70 juta hingga 90 juta lagi kenderaan yang dilengkapi inflator beg udara Takata Corp. akan ditarik balik dalam masa terdekat. Jumlah itu hampir empat kali ganda dari 29 juta inflator yang ditarik balik setakat ini dan telah menyebabkan sembilan orang kehilangan nyawa.

Secara keseluruhan, sebanyak 120 juta inflator Takata dalam kenderaan di Amerika Syarikat mengandungi bahan kimia ammonium nitrat telah ditarik balik menurut dokumen syarikat yang dinilai oleh Reuters dan disahkan oleh dua bekas pengurus Takata. Namun jumlah sebenar belum lagi didedahkan.

Syarikat dari Jepun itu merupakan pembekal beg udara terbesar di dunia, mengatakan beberapa inflator boleh pecah dan meletup, hingga menyebabkan serpihan besi tersebar kepada penumpang kenderaan. Jumlah sebenar kenderaan yang terlibat masih belum jelas kerana kebanyakannya mempunyai lebih dari satu inflator, dan ia tidak semestinya dari pengeluar yang sama.

Sebelum 5.4 juta inflator ditarik balik, pengawal selia persekutuan berkata kira-kira 24 juta inflator Takata yang mengalami kerosakan itu telah digunakan pada kira-kira 19 juta kenderaan yang telah ditarik balik sejak tahun 2004.

Takata telah menafikan kemungkinan tambahan 70 juta hingga 90 juta inflator akan ditarik balik. Jika ini berlaku ia bakal mengakibatkan syarikat tersebut kerugian sehingga bilion Dolar dan proses penggantian akan memakan masa bertahun-tahun.

Takata juga telah menandatangani perjanjian dengan pengawal selia pada bulan November untuk membayar penalti berjumlah USD70 juta kepada NHTSA. Perjanjian tersebut terut merangkumi komitmen untuk menghentikan pengeluaran inflator yang menggunakan ammonium nitrat menjelang tahun 2018. Ia juga berjanji untuk mengisytiharkan baki semua inflator ammonium nitrat mengalami kerosakan menjelang 2019 melainkan jika ia terbukti selamat.

Kegagalan Pembuatan

Takata telah mengeluarkan antara 260 juta dan 285 juta inflator yang menggunakan ammonium nitrat di seluruh dunia antara 2000 dan 2015. Hampir separuh daripadanya telah dipasang pada kenderaan yang dijual di Amerika Syarikat kata bekas pengurus Takata kepada Reuters.

Inflator tersebut telah dibekalkan kepada beberapa pengeluar kereta dan pelanggan terbesarnya adalah Honda Motor Co., yang masih memiliki kepentingan minoriti dalam Takata dan telah memanggil semula lebih daripada 8 juta inflator buatan Takata yang rosak di Amerika Syarikat.

Kilang pengeluaran Takata di Monclova, Mexico, atau di Georgia dan Washington juga kini sedang disiasat. Bulan lalu, Takata memberitahu NHTSA “kepelbagaian pembuatan” mungkin menjadi penyumbang kepada inflator pecah.

Rekod menunjukkan masalah masih meluas dan berterusan dalam jangka masa yang panjang. Antara isu yang dibangkitkan ialah serpihan logam dalam sebahagian komponen, sarung inflator tidak dikimpal dengan betul, wafer dorongan tidak baik, dan bahagian-bahagian bengkok atau rosak. Masalah ini boleh menyebabkan lembapan mencemarkan dorongan ammonium nitrat, yang mungkin menyebabkan inflator pecah.

Pada tahun 2006, satu log dalaman berkaitan isu kualiti inflator yang telah dijual kepada Mazda Motor Corp, Ford Motor Co., BMW AG, Honda Motor Co., Daimler AG’s Mercedes-Benz dan Toyota Motor Corp telah dikeluarkan.  Dalam log tersebut ada menyebut masalah berpunca dari serpihan logam dan pencemaran, rosak atau kehilangan klip, dan bahagian-bahagian cacat atau tidak sejajar.

Penarikan balik

Skandal yang berlarutan ini juga menyebabkan pesaing Takata, Autoliv Inc., turut membuat penggantian untuk inflator Takata yang ditarik balik dan memberitahu pelabur ia mungkin meneruskan penggatian komponen tersebut sehingga 2017, setahun lebih lama daripada pelan asal. Lebih banyak panggilan balik akan menambahkan kelewatan.

Pengawal selia juga cuba untuk menggantikan inflator secara terus pada kenderaan lama yang beroperasi di negara yang panas dan lembap kerana ammonium nitrat menjadi tidak stabil jika dicemari dengan kelembapan dan ini akan mengakibatkan inflator pecah.

Inflator yang telah ditarik balik dikatakan antara yang berbahaya kerana ia tidak mengandungi agen pengering. Menurut rekod NHTSA, sembilan kematian dilaporkan di Amerika Syarikat akibat kegagalan beg udara  Takata. Ketua Pegawai Eksekutif Takata, Shigehisa Takada telah membuat permohonan maaf kepada mangsa dan akan bertanggungjawab atas kerosakan tersebut.

Terkini, Joel Knight, 52, yang memandu  pikap Ford Ranger 2006 telah terbunuh setelah serpihan tajam dari inflator beg udara menusuk lehernya semasa terlibat dengan kemalangan di Kershaw, S.C. Sejurus selepas kejadian tersebut berlaku, Takata mengumumkan 5.4 juta inflator buatannya mengalami kerosakan dan akan ditarik balik.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

2 Comments

Leave a Reply