ARKIB

KATEGORI

Buletin

Honda Malaysia catat pengeluaran yang ke-600,000

Views

Honda Malaysia meraikan pencapaian bersejarah apabila kilangnya di Pegoh, Melaka mencatat pengeluaran yang ke-600,000 unit. Dalam majlis yang sama, mereka turut mengumumkan pencapaian jualan 100,000 unit untuk tahun kewangan semasa (1 April 2016 – 31 Mac 2017), biarpun di sebalik situasi pasaran yang cukup mencabar tahun lalu. Pengeluaran ke-600,000 unit dicapai dalam tempoh 14 tahun sejak Honda Malaysia memulakan operasi pemasangan tempatan di kilangnya di Pegoh, Melaka.

Buat masa sekarang, Honda Malaysia mempunyai dua saluran pengeluaran di kilang ini. Saluran pengeluaran No.1 memulakan operasi pada tahun 2003, manakala saluran pengeluaran No.2 pula memulakan operasi pada tahun 2014. Saluran pengeluaran No.1 dan No.2 menghasilkan tujuh model berbanding ketika ia bermula dengan hanya empat model iaitu CR-V, City, Civic dan Accord. Pada masa sekarang, model Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, HR-V dan BR-V dipasang di kilang Pegoh.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En. Katsuto Hayashi berkata, “Penambahan saluran pengeluaran No.2 pada tahun 2014 membolehkan Honda Malaysia berkembang pesat. Kami mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam masa hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran 300,000 unit yang pertama sebelum ini.”

Antara ciri canggih di kilang Pegoh termasuklah :

  • Ia dibina dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu-satu masa.
  • Saluran pengeluaran yang dibina khas dan perancangan strategik membolehkan Honda Malaysia memendekkan tempoh menunggu, sebagai contoh, tempoh menunggu untuk model BR-V kini cuma satu hingga dua bulan sahaja, walaupun tempahannya hampir 10,000 unit, iaitu 12 kali sasaran jualan bulanannya.
  • Mesin Kimpalan Pintar (Smart Welding Machine) automatik untuk menghasilkan kerangka badan bertegaran tinggi dengan menggunakan material berkualiti tinggi.
  • Kemudahan mengecat dengan standard antarabangsa yang merangkumi Robot-robot Penyembur (Spray Robots) dan Lapisan Bahagian Bawah Kenderaan (Under Body Coating) yang meningkatkan kualiti cat badan dan memastikan ketebalan lapisan cat yang tepat.
  • Trek Ujian sejauh 2.1km pula membolehkan setiap kenderaan yang dikeluarkan menjalani ujian yang teliti bagi memastikan ia memenuhi kualiti dan standard jalan raya Malaysia.

Honda Malaysia mengakui bahawa penerimaan positif pasaran terhadap produk dan pertumbuhan pantasnya adalah hasil sokongan serta kerjasama yang diterima daripada pelbagai pihak, terutamanya kerajaan, rakan-rakan media, Honda Assembly, para pengedar Honda, pembekal, rakan niaga serta sekutu Honda. Kebangkitan Honda Malaysia adalah kerana kesungguhan serta pemahaman falsafah, misi dan cara pemikiran Honda oleh kakitangan tempatan.

Honda Malaysia juga berjaya meraih kedudukan No.1 dalam segmen Bukan Nasional dan No.2 untuk TIV keseluruhan. Kejayaan BR-V serba baharu yang mengambil kedudukan No. 1 dalam segmen MPV dan utiliti pada Februari 2017, sekali gus merangkul jualan MPV Nasional mengatasi Perodua Alza. BR-V Serba Baharu, satu model yang dibangunkan khas di Asia eksklusif untuk negara-negara Asia dan sejak diperkenalkan pada Januari yang lalu, Honda Malaysia telah menerima hampir 10,000 unit tempahan dan lebih 5,200 pendaftaran.

Pelancaran City Baharu pada 2 Mac juga menerima maklum balas positif daripada pelanggan dengan hampir 3,000 unit ditempah dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan, iaitu 50% lebih banyak berbanding sasaran bulanan sebanyak 2,000 unit. Kenderaan ke-600,000 unit yang dikeluarkan di saluran pengeluaran No.2 di kilang Pegoh ialah sebuah City Baharu, satu model penting dan signifikan buat Honda Malaysia. City ialah model penyumbang jualan terbesar berikutan penerimaan luar biasa dan sambutan baik oleh rakyat Malaysia, sekali gus menjadikannya peneraju segmen B untuk dua tahun berturut-turut.

Syabas Honda Malaysia!

KLIK UNTUK BESARKAN

Pix 1 Pix 2 Pix 3 Pix 7

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply