ARKIB

KATEGORI

Buletin

Honda Malaysia sasar jualan 109,000 unit pada tahun 2018, beri tumpuan pada kepuasan pelanggan

Views

Honda Malaysia telah mengumumkan hala tuju strategik perniagaannya untuk tahun 2018 dengan sasaran jualan sebanyak 109,000 unit. Sasaran tersebut mewakili perkongsian pasaran 18 peratus daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 600,000 unit yang dijangkakan pada tahun 2018.

Dua model baharu bakal dilancarkan pada tahun 2018 dan salah satu daripadanya ialah Odyssey baharu dengan Honda SENSING. Aspek selepas jualan turut dikenal pasti dan akan menjadi fokus utama, demi meningkatkan Keseronokan Membeli (Joy of Buying), sekali gus membawa pengalaman pemilikan ke tahap yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Toichi Ishiyama berkata, berdasarkan kepada kaji selidik dalaman Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) syarikat telah meningkat sebanyak 23 mata berbanding tahun sebelumnya. Untuk tahun ini Honda Malaysia akan memberi fokus kepada tiga aspek penting iaitu pengembangan pengedar dan pengalaman pelanggan, menempatkan tenaga kerja terlatih di semua pengedar dan titik sentuhan maya pelanggan.

Jumlah pelaburan untuk penambahbaikan dari segi selepas jualan dan operasi Honda Malaysia dianggarkan sebanyak RM31 juta. Tujuh lagi pengedar yang terdiri daripada Pusat 3S dan 2S, sehinggalah Pusat Badan dan Cat akan dibuka menjelang akhir tahun 2018. Selain pengedar baharu, pengedar sedia ada juga akan dinaik taraf bagi menambah baik perkhidmatan dan memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.

Honda Malaysia juga meningkatkan sokongan selepas jualan dengan membuka Express Dealers, di mana pelanggan boleh menikmati servis pantas dalam tempoh satu jam tiga puluh minit berbanding dua jam yang diperlukan untuk servis biasa. Express Dealer pertama ialah Pusat 2S HZN Express yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Sselain itu, Honda Malaysia juga sedang giat mengimplementasikan Identiti Korporat (C.I) terbaharunya ke atas para pengedar untuk memberikan pelanggan imej yang lebih segar, berdasarkan kepada konsep Inovatif dan elemen Berorientasikan kepada Manusia. C.I. baharu yang bakal meningkatkan pengalaman pelanggan dengan pelbagai kemudahan terkini serta hospitaliti terbaik.

Pada tahun 2017, Honda Malaysia telah membuka dan menaik taraf enam pengedar dan jumlah keseluruhan pengambilan servis naik sebanyak 13 peratus berbanding tahun 2016, paling tinggi pernah direkodkan oleh Honda Malaysia. Honda Malaysia juga telah bekerjasama dengan sebuah kolej vokasional awam dan kolej automotif swasta tempatan untuk melahirkan lebih ramai juruteknik terlatih. Para pelajar terpilih dan graduan akan menerima latihan selama enam bulan sebelum menjadi juruteknik terlatih untuk Honda Malaysia.

Latihan tersebut akan membantu melengkapkan graduan dengan standard Fixed Right First Time (FRFT), yang merupakan salah satu satu komponen penting kepuasan pelanggan dalam industri automotif. Portal Selepas Jualan turut dibangunkan bagi membolehkan pelanggan membuat temu janji servis, mengetahui status kenderaan, rekod servis dan maklumat produk yang terkini. Ia bakal dilancarkan pada tahun ini dan boleh dioptimumkan dengan penggunaan komputer dan peranti mudah alih.

Pusat panggilan Tol Percuma Honda pula kini dibuka 365 hari, 13 jam sehari bermula dari 9:00 pagi hingga 10:00 malam termasuklah pada cuti umum. Baru-baru ini, syarikat mengumumkan rekod jualan sebanyak 109,511 unit, jumlah jualan keseluruhan paling tinggi dalam sejarahnya, sekaligus menjadi angka jualan tertinggi pernah dicatatkan oleh jenama kereta Bukan Nasional di Malaysia. Honda turut mengekalkan posisi No.1 dalam segmen Bukan Nasional selama tiga tahun berturut-turut dan No.2 dalam TIV selama dua tahun berturut-turut.

Jika dinilai dari segi model, semua model CKD Honda menjadi peneraju dalam segmennya. Bagi keseluruhan operasi Honda Automobile di peringkat global, perkongsian pasaran sebanyak 19 peratus ini telah meletakkan Honda Malaysia di posisi ke-2, kurang 0.1 peratus di belakang Honda Atlas Cars (Pakistan) Ltd.

Dari segi pasaran tempatan, rantau tengah mencatatkan penerimaan paling tinggi dengan jualan keseluruhan sebanyak 47.3 peratus pada tahun 2017. Dengan terus menumpukan pelan pengembangannya di Sabah dan Sarawak, syarikat telah mencatat pertumbuhan 0.8 mata dari segi sumbangan dari rantau ini kepada jualan keseluruhannya, iaitu daripada 6.1 peratus pada tahun 2016 kepada 6.9 peratus pada tahun 2017.

Honda Malaysia yakin dapat mencapai sasaran jualan dan jangkaan pasarannya pada tahun 2018, selain meningkatkan aspek kepuasan pelanggan. Syarikat juga percaya dengan jenama Honda yang kukuh serta barisan produk menarik yang menawarkan teknologi termaju dan penekanan terhadap aspek selepas jualan, dapat membantu dalam mencapai sasaran-sasaran tersebut.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply