Honda Malaysia menambah satu lagi model keluarannya yang dilengkapi dengan teknologi Honda SENSING menerusi pelancaran model generasi baharu Odyssey. Ia menjadi model pertama Honda Malaysia bagi tahun 2018 dan model ketiga selepas CR-V dan Accord Baharu yang turut dilengkapi dengan teknologi Honda SENSING. Honda SENSING pada Odyssey Baharu terdiri daripada enam ciri yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Keselamatan dan Kemudahan & Keselesaan:
Ciri-ciri untuk Keselamatan:
- Forward Collision Warning (FCW) memberi amaran secara visual dan bunyi kepada pemandu apabila kamera monokular dan radar gelombang millimeter mengesan wujud risiko perlanggaran dengan kenderaan di hadapan.
- Collision Mitigation Braking System (CMBS) membantu menekan brek secara progresif apabila ia mengesan risiko berlakunya perlanggaran.
- Lane Departure Warning (LDW) memantau posisi kenderaan menggunakan kamera dan memberi amaran kepada pemandu jika ia keluar melepasi garisan jalan.
- Road Departure Mitigation (RDM) memberi amaran, menekan brek dan membantu mengekalkan stereng agar pemandu tidak terbabas keluar dari jalan raya.
Ciri-ciri untuk Kemudahan dan Keselesaan:
- Adaptive Cruise Control (ACC) menetapkan kelajuan dan selang jarak dengan kenderaan di hadapan.
- Lane Keep Assist System (LKAS) menggunakan kamera untuk mengenal pasti garis jalan dan membantu pemandu agar kenderaan sentiasa berada di bahagian tengah laluannya.
Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Encik Akkbar Danial berkata, dengan adanya Honda SENSING, Odyssey Baharu dijangka dapat meningkatkan penanda aras keselamatan segmen MPV di Malaysia menerusi ciri keselamatan premium yang tiada tandingannya. Odyssey Baharu turut dilengkapi Sistem Kamera Pelbagai-Pandangan, Sistem Bantuan Parkir Pintar, Informasi Titik Buta, Cross Traffic Monitoring dan enam beg udara.
Ciri-ciri menarik yang lain pada Honda Odyssey baharu:
- Penampilan luaran yang mewah dan diserlahkan dengan bampar hadapan baharu, gril hadapan baharu dan rekaan lampu belakang LED yang baharu.
- Lampu kabus LED, rim aloi dua tona dengan rekaan baharu bersaiz 17”, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik dan cermin pandangan belakang auto malap (dim).
- Ruang kabin Odyssey Baharu kini lebih praktikal dengan perehat tangan yang lebih besar dibahagian pemandu, tempat duduk penumpang kuasa 4-cara, ruang penyimpanan barang tambahan dengan utiliti yang dipertingkatkan.
- Tempat duduk Premium Captain lengkap dengan Ottoman yang dipasang pada baris kedua kini dengan perehat kepala lebih besar untuk meningkatkan lagi keselesaan dan keseronokan penumpang semasa perjalanan yang jauh.
- Pelantar Lantai Ultra Rendah Odyssey Baharu membuatkannya seolah-seolah mempunyai kabin yang luas sama seperti sebuah MPV dari kelas yang lebih besar.
Odyssey Baharu dikuasakan oleh enjin 2.4L DOHC i-VTEC dengan Earth Dreams Technology yang dipadankan dengan transmisi CVT. Ia menawarkan pecutan yang dinamik dan terbaik dalam kelasnya dari segi penjimatan bahan api, sama ada dipandu di bandar mahupun lebuh raya. Hanya satu varian, 2.4L EXV dengan Honda SENSING ditawarkan pada harga RM254,800 tidak termasuk insurans (termasuk GST). Honda Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menjual sebanyak 130 unit Odyssey Baharu setahun.
Ia akan didatangkan dalam tiga pilihan warna dengan dua warna baharu itu ialah Platinum Putih Mutiara (Platinum White Pearl) dan Premium Hitam Mutiara (Premium Twinkle Black Pearl) serta warna yang popular, Perak Metalik (Super Platinum Metallic). Tempahan Odyssey Baharu dengan Honda SENSING kini sudah dibuka di semua 93 pengedar Honda di seluruh negara.
Ia hadir bersama jaminan selama 5 tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000km. Untuk maklumat lanjut mengenai Odyssey Baharu dengan Honda SENSING atau menempah sesi pandu uji, kunjungi mana-mana pengedar sah Honda atau hubungi Tol Percuma Honda di talian 1-800-88-2020 atau layari laman sesawang www.honda.com.my.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI