ARKIB

KATEGORI

Buletin

IMBAS KEMBALI : 5 Model konsep Proton yang berpotensi namun masih belum direalisasikan

Views

Sepanjang penubuhan Proton, memang banyak model konsep yang telah dipamerkan bertujuan menunjukkan keupayaan rekabentuk dan kemajuan teknologi pengeluar kereta nasional tersebut. Artikel kali ini kami cuba mengimbas kembali dan telah memilih 5 model konsep Proton yang berpotensi untuk dikeluarkan, namun sehingga kini ia masih belum direalisasikan dan ada di antara model ini sebenarnya ‘bersedia’ untuk dikomersilkan. Namun atas beberapa faktor tertentu, kesemua model konsep yang kami pilih secara rawak ini hanya sekadar menjadi model pameran semata-mata.

1. Trak pikap konsep

Model konsep yang membuat kemunculan pertama di acara Alami Proton pada tahun 2015 ini adalah sebuah trak pikap yang dibangunkan dari pelantar Exora. Walaupun ia sudah berubah menjadi trak pikap, namun di beberapa bahagian luaran, masih lagi mengekalkan struktur asal model MPV tersebut. Paling ketara di bahagian dalam yang 100 peratus tidak berubah sama sekali.

Untuk merealisasikan pengeluaran model ini Proton terlebih dahulu perlu membina ‘kerangka dan pelantar’ yang lebih kukuh supaya ia mampu memikul tugas sebagai trak pikap yang sebenar. Pada pendapat kami model ‘ute’ seperti Arena masih lagi relevan, walaupun julat jualannya agak kecil, namun kini perniagaan ‘trak makanan’ semakin popular dan Proton boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkannya semula dengan konsep yang berbeza.

KLIK UNTUK BESARKAN

 

2. Iriz ACTIVE

Model yang digayakan sebagai sebuah crossover ini muncul setahun lebih awal dari model trak pikap konsep pada 2015. Ia telah diperkenalkan semasa acara Alami Proton 2014. Antara teknologi yang diadaptasikan pada model Iriz ACTIVE adalah ADAS (Autonomous Emergency Braking System)NexlideDigital Overhead ConsoleIntegrated Air Purifier, paparan meter dan konsol tengah LCD  dan pengecas tanpa wayar.

Kami masih menunggu Proton untuk mengeluarkan versi ini kerana ia mampu memberi satu pilihan kepada pembeli yang inginkan sebuah crossover kecil dengan harga yang berpatutan. Jika Proton berani mengeluarkan model ini dengan harga dalam lingkungan bawah RM65K, mungkin ia akan memberi pilihan tambahan dalam barisan model Proton.

KLIK UNTUK BESARKAN

   

3. Suprima S ACTIVE

Versi crossover Suprima S ACTIVE pula telah diperkenalkan semasa acara My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC). Boleh dikatakan model ini adalah satu lagi model dalam keluarga ACTIVE yang sepatutnya dikomersilkan, namun nasibnya juga sama seperti Iriz ACTIVE yang sekadar menjadi penyeri di pentas pameran reruai (booth) Proton semata-mata.

Sebenarnya, Proton boleh mengeluarkan crossover Suprima S ACTIVE dalam bentuk yang pernah dicadangkan oleh Saharudin Busri yang telah memberi bayangan rekabentuk 3D model Suprima-X. Setidak-tidaknya Proton sudah ada calon berpotensi untuk dijadikan sebagai SUV/crossover pertama mereka kan?

BACA >> Kenali Saharudin Busri – Pencetus ilham rekabentuk Suprima-X

KLIK UNTUK BESARKAN

    

4. MSX (Crossover aluminium)

Model yang diwar-warkan dahulu sebagai crossover dari kerangka aluminium sepenuhnya ini telah direka oleh Lotus Design. Model ini juga mempunyai versi Lotus yang dikenali sebagai APX dan telah membuat kemunculan di Geneva Motor Show 2006. MSX pernah dipamerkan sempena Hari Terbuka Proton pada 2009. Model ini juga sebenarnya boleh menggunakan keluli sebagai kerangka sebagai alternatif bagi mengurangkan kos.

Namun hingga setakat ini masih belum ada lagi versi pengeluaran dari Proton mahupun Lotus, tetapi rekabentuk model ini telah dibeli oleh Youngman dari China dan telah dirombak semula rekaannya. Hasilnya terciptalah SUV keluaran Youngman Europestar yang diberi nama T5. Sebenarnya, Proton pernah berhasrat untuk membeli semula rekabentuk SUV berkenaan, namun sampai sekarang ia hanya tinggal cadangan.

KLIK UNTUK BESARKAN

  

5. Lekir (Kereta sport)

Akhir sekali, model kereta sport pertama Proton pada tahun 2000 yang dikenali sebagai Proton Ultimate (bukan penyanyi lagu Amboi ye!) dan beberapa tahun selepas itu muncul pula cadangan “Projek Sepang” yang dibangunkan dari pelantar Lotus. Model kereta sport yang dicadangkan itu bakal dijual dengan harga di bawah RM150K yang akhirnya menjadi model Lotus Europa S.

Sempena Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010,  Proton membuat kejutan dengan memperkenalkan model konsep Lekir yang sebenarnya model Lotus Europa S dengan beberapa perubahan kosmetik. Walaupun ada sekelumit rasa kecewa di hati kami kerana masih kempunan untuk melihat kereta sport pertama Proton direalisasikan, kami sebenarnya amat bersetuju dengan penangguhannya kerana ia bukan model yang boleh menjana keuntungan pada Proton dalam masa terdekat.

KLIK UNTUK BESARKAN

 

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

3 Comments

Leave a Reply