ARKIB

KATEGORI

Buletin

Kenali Saharudin Busri – Pencetus ilham rekabentuk Suprima-X

Views
Suprima X Showcase 2017

Bagi mereka yang mengikuti laman web kami, sudah pasti anda telah mengenali saudara Saharudin Busri yang sebelum ini telah terkenal dengan rekaan Suprima-R (facelift). Untuk artikel kali ini, kami mahu anda mengenali beliau dengan lebih dekat lagi. Anak jati Muar, Johor yang lebih mesra dengan panggilan Wak ini bukan calang calang orangnya. Beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Rekabentuk Industri di Pusat Rekabentuk MIMOS, pernah menabur bakti bersama Proton selama 13 tahun. Untuk pengetahuan anda, Pusat Rekabentuk MIMOS merupakan unit di bawah MIMOS Berhad yang merupakan agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI).

Beliau juga merupakan pemegang Ijazah dalam Rekabentuk Industri dari UiTM Shah Alam dan pernah mendapat biasiswa tajaan dari Proton untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam pengkhususan Rekabentuk Automotif di Universiti Coventry, UK. Kalau anda semua nak tahu, semasa di UK beliau telah berjaya mengharumkan nama universiti dan negara kerana telah berjaya memenangi hadiah utama pertandingan 3D Global Design Competition yang dianjurkan oleh Alias Wavefront di USA pada tahun 2000. Karya yang menjulang namanya ketika itu merupakan generasi baharu Ford Focus yang dibangunkan bersama Pusat Rekabantuk Ford di Eropah.

BACA >> Proton Suprima facelift – Cetusan idea bekas pereka Proton

Semasa projek akhir Ijazah Sarjana, beberapa badan profesional seperti Corus UK, Jaguar Design, Bentley Design, Ford Design dan majalah rekabentuk Autocar telah memilih beliau sebagai Pelajar Terbaik dan Rekaan Kenderaan Terbaik. Ketika berkhidmat di MIMOS, beliau telah membawa rekabentuk Malaysia ke tahap tertinggi di peringkat global dengan memenangi Red Dot Design Award selama lima tahun dan MIMOS pernah disenaraikan di tempat ketiga bagi kategori Studio Rekabentuk Paling Innovatif Di Dunia oleh Red Dot Germany.

Dengan kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang rekabentuk inudstri, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Presiden untuk Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) yang merupakan sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk mempromosi dan memberi pendedahan tentang bidang rekabentuk perindustrian kepada umum. Mungkin ramai yang tidak tahu rekaan awal Proton Perdana baharu juga mendapat sentuhan daripada beliau.

BACA >> C-concept bakal dipamerkan 1 Mac ini!

Jom kita berbalik kepada projek baharu beliau yang dinamakan Suprima X. Tujuan asalnya adalah untuk mempertingkatkan latihan dan kemahiran beliau dalam pemodelan 3D selain untuk mempromosi Pusat Rekabentuk MIMOS yang mempunyai kepakaran dalam bidang rekabentuk automotif selain bidang rekabentuk produk pengguna dan kajian rekabentuk.

Suprima-X adalah kepelbagaian versi dari model Suprima-R (facelift) sebelum ini. Dengan mengambil kira komen dan cadangan daripada netizen, beliau telah membangunkan semula rekabentuk untuk barisan model masa hadapan Proton. SUV kompak atau crossover adalah model yang paling sesuai untuk dibangunkan menggunakan pelantar Suprima, memandangkan perkadaran keseluruhannya yang dinamik dan permukaan badan yang padu.

BACA >> Satria Neo facelift versi Saharudin Busri

Hanya dengan menaikkan lega tanah (ground clearance) dan menggunakan tayar bersaiz lebih besar ia sudah cukup untuk memberi visual sebuah SUV kompak yang sangat menarik. Sekali imbas ia seakan model Subaru XV atau Mercedes GLA. Dengan melakukan pengubahsuaian pada tiga suku panel dan pintu belakang untuk menampakan gaya coupe, tiang C yang seakan bersambung dengan tingkap sisi belakang dan diwarnakan hitam berkilat sehingga menghasilkan kesan bumbung terapung (floating roof), SUV ini nampak lebih lebar dan sporty. Pemegang pintu belakang juga dinaikkan ke bahagian sisi tiang C yang dihitamkan sekaligus menyerlahkan profil coupenya.

Di bahagian hadapan, rekaan ini masih mengekalkan identiti sayap Proton yang memanjang ke sisi dan seterusnya bersambung dengan garisan krom di bahagian belakang. Rekaan jeriji serba baharu yang lebih berani jelas memperlihatkan wajah baharu yang lebih garang dan aggresif sesuai dengan imej SUV yang lasak. Ciri ciri rekaan lain yang unik pada model ini adalah garisan krom di bawah tingkap yang dibentuk dan bersambung dengan cermin sisi rekaan baharu dan corong udara sisi. Lampu hadapan dan belakangnya pula menggunakan elemen X sebagai karekter rekabentuk.

Untuk tatapan pembaca setia, kami turut meminta Wak membuat versi khas Funtasticko.net dan beliau telah menunaikan permintaan tersebut. Diharapkan model Suprima-X  ini mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan kami juga amat mengalu-alukan pihak atau syarikat yang berminat untuk membangunkan rekaan ini bersama-sama pasukan Pusat Rekabentuk MIMOS ke peringkat prototaip dan produksi supaya ia dapat direalisasikan, untuk bersama-sama turut serta dalam projek khas ini. Mana lah tahu suatu hari nanti impian ini bakal menjadi kenyataan, kan?

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply