ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

INFO : Bolehkah anda menyaman syarikat parkir jika berlaku sesuatu?

Views

Kita mesti dah biasa lihat papan tanda seperti di atas terutama sekali di kawasan parkir di mana-mana bangunan atau kawasan lapang kan? Dalam undang-undang ia dipanggil sebagai klausa pengecualian (exclusion clause) dan klausa ini bertujuan untuk menghadkan liabiliti pemilik syarikat parkir tersebut.

Pihak syarikat parkir perlu menaikkan notis dan memastikan bahawa amaran seperti di atas adalah sempurna untuk dilihat oleh pemandu atau pengguna petak parkir, jika ia tidak dapat dilihat notis tersebut dianggap tidak sempurna dan tidak boleh digunapakai. Dalam kes ‘Thornton lawan Shoe Lane Parking’, mahkamah telah mendapati bahawa tanda notis amaran parkir atas risiko sendiri hanya dipaparkan selepas pemandu telah mengambil tiket dari mesin tiket.

Ini bermakna, pemandu hanya mendapati tanda notis tersebut selepas mengambil tiket dan bukannya sebelum mengambil tiket. Dalam kes itu, mahkamah berpendapat pihak syarikat dan pemandu telah berkontrak di saat pemandu mengambil tiket dan tanda amaran yang hanya muncul kemudian selepas kontrak terbentuk adalah tidak terpakai dan tidak mengikat pemandu. Dalam kes tersebut mahkamah memutuskan syarikat parkir tetap bertanggungjawab ke atas kemalangan yang dialami oleh pemandu.

Bagaimana jika berlaku kecuaian oleh pihak syarikat parkir ke atas pemandu? Adakah mereka boleh disaman?

Ya, anda masih boleh menyaman syarikat parkir tersebut jika terdapat kecuaian oleh syarikat parkir semasa anda menggunakan perkhidmatan mereka walaupun terdapat notis klausa pengecualian ini. Ini kerana undang-undang tidak melepaskan syarikat parkir dengan sewenang-wenangnya hanya kerana terdapat notis klausa pengecualian jika kecuaian berlaku.

Adakah undang-undang ini terhad kepada syarikat parkir sahaja, bagaimana dengan syarikat yang lain?

Undang-undang ini tidak terhad kepada syarikat parkir sahaja tetapi terpakai kepada semua syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan. Dalam kes ‘Chin Hooi Nan lawan Comprehensive Restoration Sdn Bhd’, Mr. Chin telah menghantar kenderaannya untuk dibasuh dan telah menerima tiket yang tertera di belakangnya ‘pihak syarikat tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kerosakan dan kecacatan pada kereta’. Malangnya kereta Mr. Chin telah rosak akibat kecuaian pihak syarikat.

Mahkamah telah memutuskan bahawa walaupun terdapat notis amaran diberikan, pihak syarikat masih bertanggungjawab jika berlaku kecuaian dalam memberikan perkhidmatannya. Ini juga boleh didapati di dalam seksyen 21A Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan bahawa mana-mana syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna hendaklah memastikan keselamatan yang munasabah kepada pengguna, jika tidak pihak tersebut boleh didenda dan terdedah kepada tindakan saman sivil oleh pengguna.

Kami harap info yang berguna seperti ini dapat membantu kita mengenai hak sebagai pengguna. Untuk pelbagai maklumat mengenai perundangan, boleh LIKE laman Facebook – Jumpa Kat Mahkamah.

Sumber : Jumpa Kat Mahkamah

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply