ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

INFO : Penyaman udara kereta tak sejuk? Ini punca-puncanya.

Views

Alamak, penyaman udara kereta tak sejuk la pulak! Dah la cuaca panas tak ingat ni. Mandi sauna lah kejap lagi nampaknya. Pernah tak alami situasi macam ni? Kalau ada kawan yang menumpang mesti dia ingat kita Haji Bakhil, kedekut pahit tak nak pasang penyaman udara kan? Padahal dah tambah gas pun masih lagi tak sejuk, yang keluar angin panas je. Apa punca-puncanya? Kami senaraikan untuk anda.

Kebocoran paip

Ini adalah salah satu punca gas penyaman udara habis. Biasanya pomen akan periksa ini terlebih dahulu. Kebocoran boleh boleh berlaku di beberapa, yang selalu kena adalah di bahagian sambungan paip yang longgar dan paip yang bocor sebab ditebuk atau karat. Gas penyaman udara sebenarnya telah dicampur dengan sedikit pelincir bagi memelihara pemampat (compressor).

Sekiranya berlaku kebocoran, gas dan cecair pelincir ini yang akan keluar. Pelincir ini kena cukup kerana jika ia kurang pemampat boleh tersekat dan rosak. Gas penyaman udara pula berfungsi sebagai ‘pembawa haba’ dari dalam kereta ke luar. Jika gas ini tiada atau kurang, haba tidak dapat dipindahkan dan angin penyaman udara akan tetap menjadi panas.

Gegelung penyejuk (cooling coil) kotor atau rosak

Haba dari angin di dalam kabin kereta dipindahkan semasa angin itu menyentuh permukaan logam pada gegelung penyejuk. Jika gegelung penyejuk itu kotor dengan habuk yang melekat akibat kondensasi air di situ, perpindahan haba menjadi tidak efisien. Jadi, angin penyaman udara tidak sejuk. Kalau gegelung penyejuk ini rosak anda perlu menggantikannya dengan komponen yang baharu.

Kipas kondenser tidak berfungsi

Aapabila kipas ini tidak berfungsi, maka tiada bantuan angin untuk menyejukkan gas/cecair penyaman udara yang panas, kecuali  semasa kereta dipandu laju kerana ada angin masuk ke ruang enjin untuk membantu menyejukkannya. Jika gas/cecair penyaman udara tidak disejukkan (haba tidak dikeluarkan), sistem tidak dapat berfungsi dengan baik.

Pemampat (compressor) rosak

Paling ditakuti kerana harga komponen ini memang mahal. Ada beberapa faktor yang menyebabkannya rosak. Punca utama adalah disebabkan dari galas (bearing) dan omboh (jika ia jenis omboh) yang tersekat kerana pelincir telah habis kerana berlaku kebocoran. Pemampat berfungsi untuk memampatkan gas kepada bentuk cecair dan suhu gas itu akan bertambah melebihi daripada suhu di luar supaya angin di luar dapat menyahkan haba tersebut. Sekiranya gas itu tidak termampat dan suhunya tidak naik melebihi suhu angin di luar, haba di dalam gas itu tidak dapat dipindahkan.

Alat kawalan suhu pada papan pemuka rosak

Pada kebanyakan kereta alat kawalan ini berbentuk dial dan boleh dipusingkan untuk melaras suhu dan kelajuan peniup (blower). Biasanya pelaras jenis ini mudah patah dari dalam atau telah longgar sehingga menyebabkan tiada input untuk sistem bekerja. Ada beberapa kereta model terkini yang menggunakan jenis kawalan skrin sentuh dan berkemungkinan penyaman udara bermasalah disebabkan sensor pada skrin sentuh itu tidak berfungsi dengan baik.

Sensor suhu rosak

Sensor suhu berfungsi untuk mengetahui sama ada kesejukkan yang diingini telah dicapai ataupun tidak. Maklumat ini akan diberikan kepada sistem klac pemampat untuk dihidupkan atau dipadamkan.

Alat penapis telah kotor atau tersumbat

Jika penapis ini kotor atau tersumbat, ia akan mengganggu aliran pelincir penyaman udara dan seterusnya menganggu tugas sistem. Penapis perlu dibersihkan supaya sistem berfungsi dengan lancar.

Injap pengembang (expansion valve) rosak atau tersumbat

Ia boleh berlaku sekiranya ada bendasing dalam sistem paip. Injap ini mempunyai lubang yang kecil, seperti muncung penyembur aerosol. Jika tersumbat, cecair tidak disembur menjadi gas dengan sempurna dan akan mengganggu perpindahan haba.

Walaubagaimana pun, kerosakkan mungkin terdiri daripada gabungan beberapa punca di atas atau punca yang lain daripada di atas.

Sumber : Zaim Auto Servis

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply