ARKIB

KATEGORI

Buletin

Inovasi GTRS hasil penjimatan jutaan Ringgit untuk Prasarana

Views

Enam kakitangan teknikal Rapid Rail Sdn Bhd telah menghasilkan satu inovasi hebat untuk membantu mengurangkan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selain dapat menghasilkan penjimatan berjuta ringgit kepada syarikat induk, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana). Mereka dikenali dengan Kumpulan GTRS yang merupakan singkatan kepada ‘Group Technical Rolling Stock’ dan terdiri daripada staf Jabatan Tren (Rolling Stock) LRT Laluan Kelana Jaya termasuk seorang jurutera, dianggotai oleh Muhammad Firdauss Ab Jalil, Muizzuddin Mohamad, Mohd Nazri Ismail, Ahmad Mahazam Mat Zaid, Muhammad Nor Ahmad Shupi dan Fahkri Noor Ramli.

Dengan hanya bermodalkan pelaburan kurang daripada RM5,000 dan dibangunkan sepenuhnya menggunakan penyelidikan dan kepakaran ahli kumpulan, mereka menghasilkan Alat Pengujian Sistem Penyejukan ‘Linear Induction Motor’ (LIM), yang merupakan komponen penting dalam pergerakan sesebuah tren LRT. Ia mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan dan telah bermula sejak awal tahun. Kini alat penguji berkenaan kini telahpun digunakan dalam operasi seharian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya untuk tren-tren empat gerabak yang dikeluarkan oleh Bombardier.

Berdasarkan analisis dan perkiraan Rapid Rail, sekiranya dikontrakkan kepada pihak luar untuk menghasilkan alat penguji ini, ia akan menelan belanja tidak kurang daripada RM1 juta kerana banyak melibatkan aspek penyelidikan dan pembangunan dan hanya akan dilakukan oleh pembekal tren. Inovasi berkenaan turut diperakui oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), yang menobatkan GTRS sebagai juara keseluruhan dalam saingan Team Excellence peringkat kebangsaan pada majlis National Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition 2016, yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

Pasukan GTRS telah menewaskan 257 pasukan daripada 143 organisasi lain dari seluruh negara yang menyertai pertandingan kecemerlangan inovasi tersebut. Mereka juga bakal mewakili negara pada Persidangan Antarabangsa QCC Asia Pasifik, yang akan diadakan di Manila, Filipina tahun depan.

Projek ‘4-car LIM Fan Improvement’ (Pembaikan Sistem Penyejukan LIM untuk tren 4-gerabak) dipilih untuk pertandingan inovasi Team Excellence ini selepas mengkaji analisa Data Aduan Pelanggan dalam konteks kekerapan jumlah kegagalan sistem dan penilaian terhadap keutamaan yang sejajar dengan misi Syarikat untuk menyediakan perkhidmatan berkelas dunia untuk para pelanggan kami.

“Ia salah satu sistem penting dalam tren LRT Laluan Kelana Jaya. Sekiranya LIM tidak dapat berfungsi, maka tren tidak dapat beroperasi sekali gus akan menyebabkan gangguan perkhidmatan tren. Ini menunjukkan bahawa prestasi LIM memberi impak secara langsung terhadap operasi Laluan Kelana Jaya. Itu menjadi asas kepada projek inovasi kami,” kata Firdauss, yang menjadi Fasilitator kepada pasukan GTRS ini.

gcd_8404

Tambahnya lagi, Sistem Penyejukan LIM (LIM Fan) pula berfungsi untuk mengurangkan suhu operasi LIM, yang merupakan motor untuk menggerakkan tren. Sekiranya sistem penyejukan ini mengalami kegagalan fungsi, sistem keseluruhan LIM akan turut gagal beroperasi sekali gus menyebabkan menyekat pergerakan tren dan mengakibatkan gangguan dalam perkhidmatan.

Hasil kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan, kos penyelengaraan bagi Sistem Penyejukan LIM telah dapat dijimatkan berbanding pembelian unit baharu dari luar negara. Di samping itu, ia juga dapat membangunkan kepakaran tempatan dalam industri rel di Malaysia dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat luar negara. Jumlah penjimatan yang dihasilkan daripada inovasi ini adalah sebanyak RM1.3 juta.

Pada majlis National Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition 2016 itu juga, tiga penyertaaan lain dari Rapid Rail telah memenangi anugerah penghargaan Anugerah Emas Tiga Bintang atas kejayaan inovasi masing-masing – Pasukan SWS untuk inovasi pengesanan amaran brek; pasukan HMIT untuk inovasi memantapkan prestasi pintu tren, dan pasukan ELECTRON untuk suis ‘bypass’ tren empat gerabak Laluan Kelana Jaya.

Dengan pengalaman antara lima hingga 18 tahun dalam industri rel, inovasi alat penguji kipas LIM ini adalah penyertaan kedua daripada pasukan GTRS. Tahun lepas, mereka sekadar memenangi anugerah penghargaan Emas Tiga Bintang dengan inovasi mengenai sistem penapis untuk unit kuasa sokongan atau Auxiliary Power Unit.

Mengulas kejayaan pasukan GTRS, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman berkata beliau akan terus menggalakkan tradisi berinovasi, yang telah sekian lama diamalkan dalam Syarikat berkenaan untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi. Katanya, inovasi adalah penting untuk Rapid Rail terus berkembang maju selaras dengan aspirasinya untuk menjadi pemimpin dalam industri rel ini.

KLIK UNTUK BESARKAN

gcd_8314 gcd_8404

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

2 Comments


  • Rakyat Malaysia sepatutnya ke arah inovasi seperti ini untuk menjadi negara maju selain integiriti yang tinngi. Syabas team ni. Semoga orang lain pun ada inovasi sendiri.
    P/S:- Memandangkan penemuan ni jimatkan Prasarana, apa imbuhan kepada diorang ni? Mesti bagi.

Leave a Reply