Panas! Dalam kita menanti dengan penuh keterujaan kelahiran model SUV pertama Proton hasil usahasama dengan Rakan Strategik Asing terbaharu mereka Geely, tiba-tiba pula muncul kelibat sebuah Suzuki Grand Vitara baharu dengan plet perdagangan yang biasa digunakan Proton. Unit ujian Grand Vitara dengan dua tona warna tersebut yang hanya menutup bahagian emblemnya sahaja berjaya dikesan oleh rakan kami Hazizy Sahar di sekitar Hulu Bernam menghala ke Sungai Besar, Selangor.
Jika sebelum kemasukan Geely, Proton memang ada perjanjian usahasama dengan Suzuki untuk mengeluarkan model MPV kompak Ertiga, namun perancangan untuk mengeluarkan SUV yang menggunakan pelantar Grand Vitara hanyalah cadangan pada peringkat awal. Ejen perisik kami Mat Bond telah melakukan kerja-kerja perisikan dan akhirnya merungkai persoalan tersebut.
Menurutnya Grand Vitara tersebut kini sedang diuji oleh pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton untuk tujuan kajian perbandingan. Ada logiknya maklumat tersebut, kerana Grand Vitara merupakan model yang berada dalam segmen Geely Boyue yang bakal menjadi SUV pertama Proton.
Jadi Grand Vitara bukanlah model yang kedua yang lahir dari usahasama dengan Suzuki, kerana kami dimaklumkan berkemungkinan besar hanya Ertiga sahaja yang dikeluarkan, tiada lagi model lain dengan Suzuki selepas ini. Model prototaip awal Geely Boyue juga telah siap dan buat permulaan model ini akan dibawa secara CBU dari China dan setelah kilang baharu siap, barulah ia akan dikeluarkan secara CKD di Tanjung Malim dengan perubahan yang lebih ketara dari model asalnya.
BACA >> INTIP : Prototaip awal Geely Boyue pemanduan sebelah kanan sudah siap!
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI