Undian dalam talian yang dilancarkan untuk nama memilih SUV pertama Proton menerusi laman Facebook rasminya telah berjaya menarik lebih daripada 69,000 pengguna hanya dalam tempoh 9 hari pertama. Selain itu video yang dikongsikan bersama undian itu telah mendapat lebih daripada 165,000 tontonan. Seramai lebih 1,000 pengguna turut berkongsi mengenai undian tersebut melalui halaman Facebook masing-masing, sekaligus mendorong kepada peningkatan jumlah undian.
Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Proton berkata, SUV baharu ini merupakan titik tolak yang bermakna bagi Proton dan perlu dikongsi bersama dengan rakyat Malaysia kerana ia juga merupakan simbol pencapaian untuk negara. Proton tidak menjangkakan jumlah penyertaan sebanyak ini dalam jangka masa yang singkat dan amat terharu dengan perhatian yang ditunjukkan kepada SUV segmen premium pertama keluaran jenama automotif Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan, baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada para peserta. Lima pemenang juga akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang mereka undi. Pemenang bakal menerima undangan eksklusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi serta ciri-ciri terkini pada model tersebut di litar ujian Proton di Shah Alam.
Selain itu, orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV tersebut. Sekiranya nama tersebut terpilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai bagi 2 orang termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.
Oleh kerana tarikh pelancaran rasmi SUV ini semakin hampir, Proton akan menjalankan lebih banyak aktiviti pengenalan produk untuk membina kesedaran dan keterujaan di kalangan rakyat Malaysia. Seperti yang telah dikongsikan sedikit pada video promosi pertandingan, SUV ini akan dilengkapi ciri-ciri canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera 3D 360 darjah selain ciri keselamatan canggih seperti kawalan pelayaran adaptif, brek bantuan kecemasan automatik dan banyak lagi.
Produk pertama yang dibangunkan bersama Geely ini akan menjadi titik permulaan bagi barisan model baharu untuk Proton, orang ramai diseru untuk menilai sendiri apa yang mereka boleh lihat tentang masa hadapan Proton. Tarikh tutup undian adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran model tersebut.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI