Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan MRT Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) di bawah Rapid KL, mengumumkan struktur penuh tambang, bermula dengan tambang nominal RM1 untuk perjalanan satu hentian. Tambang terendah untuk perjalanan satu hentian mengikut struktur tambang tunai pula adalah RM1.10, antara stesen Pasar Seni dan Merdeka.
Tambang maksima adalah RM6.40 berdasarkan kepada struktur tambang tunai, dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai, meliputi perjalanan penuh antara Sungai Buloh dan Kajang, sepanjang 51 kilometer dan melalui 31 stesen. Fasa 1 Laluan MRT SBK dijangka beroperasi dari 16 Disember 2016 meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan. Fasa 2 laluan tersebut, meliputi baki 19 stesen antara Semantan dan Kajang, dijadual mula beroperasi pada pertengahan Julai tahun depan.
“Struktur tambang sudah diluluskan oleh Kerajaan dan adalah berdasarkan kepada bayaran masuk nominal dengan kadar menurun untuk setiap empat hingga lima kilometer perjalanan – sama seperti struktur tambang untuk perkhidmatan LRT dan monorel. Diskaun 50 peratus untuk tambang tunai akan turut diberikan kepada warga emas, pelajar dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan MRT dan bas pengantara MRT. Kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun boleh naik percuma,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman.
Oleh kerana Fasa 1 Laluan MRT SBK beroperasi tanpa integrasi dengan rangkaian LRT dan monorel, para pengguna MRT akan melalui pintu masuk dengan menggunakan token tunai ataupun Kad Touch n Go sahaja. Warga emas, pelajar dan golongan OKU boleh membeli token konsesi berwarna merah daripada Pejabat Perkhidmatan Pelanggan di setiap stesen MRT. Mereka hanya perlu menunjukkan Kad Pengenalan, kad pelajar (sekiranya tidak memakai uniform), atau Kad OKU ketika menaiki bas-bas pengantara MRT untuk menikmati diskaun 50 peratus.
Tambang nominal untuk perkhidmatan bas pengantara MRT adalah RM1 untuk satu perjalanan dan sebanyak 120 bas pengantara MRT akan beroperasi untuk memberi perkhidmatan kepada 26 laluan bagi semua 12 stesen MRT yang dibuka di bawah Fasa 1. Kad-kad MyRapid, yang kini digunakan untuk perkhidmatan LRT, monorel dan bas Rapid KL, akan dinaik taraf secara berperingkat sebelum pembukaan Fasa 2 Laluan MRT SBK pada Julai depan.
Sistem pengangkutan awam semakin baik walaupun perkembangannya perlahan seperti yang dijangka tetapi positive..