ARKIB

KATEGORI

Buletin

PROTON PENGANJUR BERSAMA PERTANDINGAN KEMAHIRAN MALAYSIA 2013 – SEKTOR TEKNOLOGI AUTOMOBIL (PERINGKAT PRA-KELAYAKAN)

Views

PKM1

Lebih 230 belia yang mewakili pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan serta organisasi kerajaan dan swasta, hari ini menyertai Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) 2013 – Sektor Teknologi Automobil (peringkat pra-kelayakan) yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan PROTON Holdings Berhad  anak syarikat milik penuhnya DRB-HICOM Berhad, yang juga merupakan penaja utama pertandingan tersebut bagi Sektor Teknologi Automobil.

Upacara perasmian pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia dalam satu majlis yang turut dihadiri, YB Dato’ Ismail Taib, Exco Negeri Sembilan mewakili YAB Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan; Y.Bhg Dato’ Seri Zainal Rahim Bin Seman, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, En Abdul Khalid Bin Mat, Pegawai Daerah Port Dickson; Y.Bhg Dato’ Dr. Pang Chau Leong, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia serta wakil-wakil  Pengurusan Kanan PROTON terdiri daripada Encik Abdul Rashid Musa, Ketua Sektor Operasi Teknikal dan Encik Wan Roslan Wan Abbas Direktor Sumber Manusia Kumpulan.

Di peringkat pra-kelayakan sektor Teknologi Automobil, para peserta pertandingan ini akan diuji berdasarkan kemahiran dan prestasi mengendalikan enjin Campro IAFM+ . Mereka dikehendaki menggunakan Proton Advance Diagnostic Tools (PADT), mengenalpasti komponen-komponen yang perlu diganti serta melakukan rombak rawat (overhaul) ke atas enjin,  Di pusingan akhir pula, para peserta perlu menunjukkan kebolehan menala enjin petrol, memperbaiki sistem brek, transmisi automatik, dan mengendalikan sistem suspensi, elektrik dan stereng kenderaan.

Pemenang bagi enam tempat teratas di peringkat pra-kelayakan pertandingan ini akan menempah tempat ke pertandingan peringkat akhir yang akan diadakan di Shah Alam pada bulan September 2013 nanti. Johan di peringkat kebangsaan pula akan terpilih mewakili Negara ke Pertandingan Kemahiran Peringkat Asean  yang akan berlangsung di  Hanoi, Vietnam pada tahun 2014. Sementara itu Johan PKM 2012 akan mewakili Negara ke Pertandingan Kemahiran Sedunia di Leigzip, Jermany pada bulan Jun dan juga ke Cabaran Kemahiran Global Australia di Perth, anjuran Kemahiran Sedunia Australia dalam bulan April ini.

Di samping kategori utama iaitu Pertandingan Kemahiran Malaysia – Sektor Teknologi Automobil, acara yang berlangsung selama empat hari ini turut mempertandingkan tiga pertandingan sampingan yang lain iaitu Pertandingan Kemahiran PROTON; Pertandingan Kemahiran Peringkat Terbuka dan Pertandingan Kemahiran Peringkat Sekolah disamping turut diadakan Pertandingan “MySkills” anjuran Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan untuk para jurulatih dan tenaga pengajar Institusi di bawah agensi kerajaan dan pusat latihan  swasta.

PKM2

Berbanding Pertandingan Kemahiran Malaysia yang dibuka kepada para belia berumur 22 tahun ke bawah, penyertaan bagi Pertandingan Kemahiran Proton (peringkat pra-kelayakan) dibuka hanya kepada juruteknik dan mekanik dari Pusat Servis Proton Edar serta Pusat Servis PROTON di seluruh Negara sahaja. Pemenang-pemenang di peringkat ini akan melayakkan diri ke peringkat Kebangsaan di mana mereka akan turut disertai juruteknik dan mekanik dari Pusat Pengedaran dan Servis PROTON dari luar Negara.

Bagi kategori Pertandingan Kemahiran Terbuka pula, penyertaan adalah terbuka kepada jurulatih, tenaga pengajar, juruteknik dan mekanik  termasuk dari institut-institut vokasional dan teknikal serta bengkel-bengkel di seluruh Negara yang tidak layak menyertai dalam kategori utama, tanpa sebarang had umur, manakala Pertandingan Kemahiran Peringkat Sekolah Menengah dihadkan khusus untuk para pelajar dari sekolah vokasional dan teknikal sahaja.

Hasil cetusan idea mantan Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan Penasihat PROTON, Pertandingan Kemahiran Malaysia yang diperkenalkan 22 tahun lalu adalah satu inisiatif kerajaan yang diilhamkan bagi mengasah dan mengenengahkan bakat generasi muda dan belia dalam pelbagai bidang kemahiran industri, serta membina modal insan Negara yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta bertaraf dunia. Pertandingan yang dikendalikan di bawah Kementerian Sumber Manusia tertumpu kepada 17 daripada 31 bidang kemahiran seperti Teknologi Automobil; Perindustrian Elektronik; Perkhidmatan Restoran; Rekaan Laman Web; Teknologi Rekaan Grafik; IT/Aplikasi Perisian dan pelbagai lagi bidang kemahiran lain.

Penglibatan PROTON dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia telah bermula sejak tahun 2003 apabila kategori Teknologi Automobil mula diperkenalkan. Sebagai salah satu sumbangannya sosial serentak dengan pertandingan ini, PROTON akan menganjurkan satu pameran istimewa bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan koleksi kereta-kereta inovasinya hasil rekaan kakitanganya dimasa lapang yang menggunakan bahan buangan dan terpakai, iaitu kereta-kereta yang telah direka cipta  secara kreatif oleh kakitangan PROTON sendiri dimasa lapang mereka  dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi PROTON yang telah bermula sejak 2009 lagi.

Kementerian Sumber Manusia melalui JPK telah menyusun semula aktiviti-aktiviti pembangunan kemahiran Negara di bawah jenama ‘SkillsMalaysia’ dalam usaha untuk merealisasikan agenda nasional untuk meningkatkan taraf kemahiran kebangsaan supaya setaraf dengan standard global. Pertandingan Kemahiran Malaysia adalah salah satu aktiviti utama yang dijalankan oleh JPK sejak ia mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada Kementerian Kerja Raya pada tahun 2010.

Pertandingan Kemahiran Malaysia – Sektor Teknologi Automobil Peringkat Pra-Kelayakan berlangsung dari 11 hingga 14 April, di Dataran Seri Kemang, Batu 8, Port Dickson bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang dan terbuka kepada orang ramai. Bagi para pengunjung acara ini yang berminat untuk membeli kereta, mereka turut dipelawa untuk mengunjungi ruang pameran Proton Edar Sdn. Bhd. yang mempamerkan model-model kereta Proton termasuklah Proton Prevé, kereta global pertama syarikat serta sebuah model LOTUS yang dipamerkan iaitu Lotus Evora.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply