ARKIB

KATEGORI

Buletin

Rakan kongsi dari China untuk Proton?

Views

Artikel oleh : Shamsul Yunos

Bila berbicara hal rakan kongsi Proton, hampir semua orang akan memetik nama lazim industri automotif dari Eropah, Amerika, Jepun dan Korea tapi kita semua lupa bahawa pasaran automotif terbesar dunia ialah China. China bukan saja menjadi ekonomi terbesar di dunia tetapi ia juga mempunyai penduduk yang paling ramai, kombinasi padu yang dijangka menjanjikan dominasi negara tersebut ke atas ekonomi dan politik dunia dalam dekad-dekad mendatang.

China sudah menghantar manusia ke angkasa lepas dan bakal mendaratkan kita ke bulan dan membina stesen angkasa dalam jangkamasa 10 tahun. Kita jangan pandang sebelah mata keupayaan teknologi China. Setelah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed memberikan syarat-syarat kerajaan sebelum memberi pinjamaan mudah, ramai yang mempersoalkan apakah yang akan berlaku kepada rakan kongsi sedia ada Proton, iaitu Suzuki?

Mungkin ada sedikit pergeseran pendapat antara rakan kongsi tersebut sekarang…. kerana kalau saya Suzuki pun saya akan terasa, kita dah bertunang tiba-tiba ada orang suruh dia cari jodoh. Keadaan ini mungkin boleh diselesaikan sekiranya Proton mampu mencari rakan kongsi tiga-cara yang boleh membantu ketiga-tiga syarikat untuk lebih membangun. Untuk ini, syarikat daripada China mungkin menjadi satu alternatif menarik dalam percaturan korporat ini.

Proton sudahpun mempunyai rakan di China dan mereka juga sudah beberapa kali cuba memasuki pasaran tersebut, yang paling kita ketahui ialah bersama Europestar Youngman yang memasang model Gen.2 dan Persona. Proton bukanlah asing dengan China dan antara jenama automotif China yang menarik ialah Geely yang kini merupakan pemilik jenama Volvo yang berasal dari Sweden. Geely merupakan jenama ke 10 terbesear di pasaran automotif China yang kini dikuasai oleh perkongsian antara Volkswagen dan PSA Peugeot-Citroen dengan syarikat tempatan.

Geely baru melancarkan SUV baru mereka dan jelas bahawa studio rekabentuk syarikat tersebut sudah banyak mendapat manfaat dari usaha syarikat memperbaiki kedudukan mereka di mata dunia tetapi mereka masih belum berjaya memikat hati pembeli global. Dengan kewangan yang kukuh dan kepakaran kejuruteraan dan rekabentuk hasil gabungan dengan Volvo mungkin boleh menjadi permulaan untuk membentuk kerjasama dengan Proton dan Suzuki.

Proton ada kepakaran menghasilkan kenderaan kos rendah untuk pasaran membangun dan ini terbukti dengan kejayaan Saga BLM dan juga Persona di pasaran Malaysia manakala Suzuki pula terkenal dengan pengalaman dalam penjimatan kos dan penghasilan model kompak yang lasak dan buktinya ialah 1.4 juta kenderaan Maruti Suzuki yang dijual tahun lalu. Sebenarnya syarikat automotif China sedang merancang perkembangan global selari dengan impian kerajaan China untuk mengambil tempat sebagai kuasa ekonomi dan politik dunia.

Setelah berjaya menjadi kilang untuk sebahagian besar keperluan dunia, China kini mahu menjejak kaki ke alam jenama. China mahu menghasilkan barangan dan peralatan bernilai tinggi atas jenama sendiri dan ini sudah tentu menjadikan mereka sebagai persaingan utama jenama dari Jepun, Korea, Amerika dan Eropah.

Kalau Proton mahukan rakan kongsi yang agresif, mungkin ada baiknya jika mereka mencari di China. Kita boleh bayangkan bahawa syarikat automotif China mungkin berada di tahap yang serupa dengan Proton dari segi teknologi dan masing-masing mempunyai kelebihan sementara Suzuki pula boleh kita klasifikasikan sebagai syarikat automotif antarabangsa yang paling kerap dilepas pandang walaupun ia mempunyai pelbagai pencapaian dan kelebihan.

Secara ringkasnya gabungan Proton, Suzuki dan rakan kongsi dari China mungkin menjadi satu gabungan ‘underdog ‘ yang boleh menguatkan antara satu sama lain. Dengan rakan kongsi dari China membawa wang, Suzuki mencurahkan kepakaran kos dan teknikal bersama Proton sebagai pangkalan R&D kos sederhana dan pembuka pasaran Asia Tenggara.

rakan kongsi china untuk proton

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

7 Comments

Leave a Reply