Pada hujung minggu lalu berlangsungnya Festival Perlumbaan Toyota GAZOO Racing di litar khas sementara MAEPS. Tiga kategori perlumbaan yang dipertandingkan berjaya memukau para penonton yang hadir. Perlumbaan pertama kategori Super Sporting memulakan aksi dengan Mark Darwin yang bermula dengan baik mendahului namun berlaku sedikit perlanggaran dengan Tengku Djan memaksa Darwin menamatkan saingan lebih awal.
Perlumbaan dimulakan semula tanpa kehadiran Darwin dan memberi kelebihan kepada Tengku Djan yang berada di barisan depan meninggalkan beberapa pelumba lain seperti William Ho, Mitchell Cheah dan Ser Ming Hui. Malang menimpa Djan apabila bampar yang telah mengalami kerosakan akibat perlanggaran sebelum itu memaksanya masuk ke pit pada pusingan ke-4 dan menyebabkannya jatuh ke tempat ke-8.
William Ho yang bersaing sengit dengan Mitchell Cheah hingga mereka mengalami kemalangan dan menyebabkan skirt sisi kereta Ho mengalami kerosakan hingga memaksanya masuk ke pit. Ser Ming Hui mengambil kesempatan tersebut untuk mendahului saingan hingga ke garisan penamat. Mitchell pula dikenakan penalti 15 saat kerana melakukan jump start sekaligus memberikan posisi kedua dan ketiga kepada Syafiq Ali dan Boy Wong.
Dalam saingan kategori Promotional Class, Shawn Lee yang dijangka mengekalkan kejuaraan dalam Race 2 melakukan kesilapan yang jarang dilakukan pada Selekoh 6 di pusingan pertama. Keretanya berpusing sehingga menghala ke arah bertentagan dan terpaksa melepaskan pesaingnya terlebih dahulu sebelum kembali dalam saingan.
Ini memberi laluan kepada Shukri Yahaya untuk menamatkan saingan di tempat pertama dan diekori rapat oleh Danny Koo di tempat kedua. Diana Danielle membuat kejutan dengan mengungguli tempat ketiga sekaligus menjadikannya wanita pertama yang berada di podium perlumbaan Vios Challenge. Namun begitu beberapa pelumba selebriti tidak berjaya menamatkan perlumbaan, antaranya Janna Nick, Venice Min dan Geraldine Gan.
Kategori Sporting pula menyaksikan Brendan Paul yang disebut-sebut untuk mendapat kemenangan kedua, terpaksa akur kepada Brandon Lim dan Patrick Tam yang berjaya memintasnya di laluan lurus hingga ke selekoh pertama dan terus membuat breakaway. Patrick terus memberi tekanan kepada Lim dan pada pusingan ke-4, beliau melakukan satu gerakan berani untuk menyelinap semasa Selekoh 16 dan berjaya mendahului saingan. Mereka terus berada jauh di hadapan dan bersaing rapat sepanjang perlumbaan.
Tempo perlumbaan mulai menurun akibat perlanggaran Geraldine Read berlanggar dengan Adzeem Eqwan, Tan Seng Lock dan Tan Su Teik hingga menyebabkan Read terpaksa keluar dari saingan dan dua peserta yang mendahului berjaya memintasnya. Patrick berjaya memintas Read pada pusingan terakhir, namun begitu kereta Read telah menghalang laluan Brandon Lim hingga menyebabkannya terpaksa melupakan hasrat untuk memenangi perlumbaan.
Perlumbaan terakhir pada hari tersebut, pusingan kedua kategori Super Sporting Class terpaksa ditunda akibat hujan, namun itu semua tidak membuatkan penonton bergajak dari litar. Enam pelumba teratas perlumba pusingan pertama berada di petak hadapan dan Djan yang berada di tempat kelima dalam Perlumbaan 1, berada di sebelah Mitchell Cheah yang berada di tempat ke-6.
Tengku Djan bersaing hebat dengan Mitchell dari pasukan Dream Chaser Team dan pada pusingan ke-9, Djan berjaya memintas namun Mitchell kembali bangkit untuk mengejar. Mereka terus berentap, namun William Ho yang berada di tempat ke-7 mula mengekori rapat. William Ho berjaya memintas Djan di Selekoh 16 pada pusingan 12, namun Djan tidak mengalah sehingga kereta kedua-duanya bergesel.
Sejurus selepas itu, tayar kereta yang dipandu Djan pula pancit dan beliau terpaksa keluar dari perlumbaan. William turut mengalami nasib yang sama tetapi beliau dikenakan penalti 15 saat akibat kesalahan yang dilakukan pada Djan. Boy Wong yang tidak dicabar sepanjang perlumbaan berjaya menduduki tempat kedua manakala William di tempat ketiga walaupun dikenakan penalti dan tayar keretanya pancit.
Pusingan Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival yang seterusnya bakal menggegar Johor Bahru pada 19 dan 20 January 2018. Untuk maklumat terkini mengenai perlumbaan, layari laman sesawang, Facebook dan Instagram Toyota Gazoo Racing Malaysia.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI