Peminat sukan permotoran tempatan akan berpeluang melihat aksi jentera lumba Vios di Toyota Vios Challenge, pada Festival Perlumbaan TOYOTA GAZOO Racing (TGR) yang bakal bermula pada Ogos nanti. Perlumaan ini bakal menyaksikan penglibatan seramai 30 pemandu yang akan memandu jentera lumba Vios yang sama spesifikasinya bagi merebut ganjaran serta gelaran juara. Sebanyak empat siri perlumbaan akan berlangsung di litar jalan raya yang direka khas di empat lokasi; di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor yang bermula Ogos nanti dan tamat pada suku pertama 2018. Lapan orang selebriti ternama tempatan juga akan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan tersebut.
Pelancaran Toyota Vios Challenge ini juga menandakan tibanya TOYOTA GAZOO Racing di Malaysia. Ia merupakan sebuah jenama dan imej yang tidak asing lagi, setelah mengukir pencapaian meyakinkan dalam dunia sukan permotoran, seperti Kejuaraan Rali Dunia (WRC) di mana ia mencipta kejayaan pertamanya dan mengekalkan momentum sepanjang musim berkenaan. Toyota Vios Challenge di Malaysia akan digarap dengan pendekatan yang sama seperti perlumbaan Toyota One Make Race yang dianjurkan di Thailand dan Filipina.
Bercakap ketika pelancaran Festival Perlumbaan TGR06, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy berkata bahawa perlumbaan Vios ini menyediakan platfrom terbaik untuk melonjakkan imej sporty model berkenaan serta untuk memupuk minat baru bagi sukan lumba. Toyota Vios Challenge akan menjadi acara utama pada hujung minggu ketika berlangsungnya Festival Perlumbaan TGR. Ia turut akan melibatkan acara dan aktiviti karnival yang penuh dengan hiburan, permainan, makanan, sesi pandu uji model Toyota dan aktiviti lain yang menyeronokkan.
Antara penaja yang terlibat dalam acara ini, termasuklah Toyo Tyres, Denso Malaysia, TRD Japan, Enkei Malaysia, Moty’s Hyper Lubricant Technology , minuman tenaga Drive M7 dan Toyota Capital Services yang membantu menjayakan acara ini. Peminat sukan permotoran dan pasukan-pasukan yang membeli jentera lumba Toyota Vios Challenge akan turut menerima pakej perlumbaan yang terdiri daripada komponen TRD, kelengkapan keselamatan, tayar dan banyak lagi, semuanya untuk kegunaan ketika perlumbaan.
Pengurusan perlumbaan serta modifikasi untuk perlumbaan ini akan dilakukan oleh Wing Hin Motorsports di bawah seliaan TRD Jepun. Peraturan, pemandu dan pengurusan perlumbaan semuanya tertakluk di bawah peraturan ketat FIA dan dilakukan dengan penilaian AAM. Semua pelumba baharu, termasuk selebriti yang terlibat, perlu lulus dari sesi pembelajaran yang akan berlangsung pada bulan Mei, dengan kehadiran pelatih serta jurutera perlumbaan dari TRD Jepun.
KLIK UNTUK BESARKAN
Sungguh menarik, yang lebih menarik lagi semua jentera lumba Vios yang sama spesifikasinya.. Persaingan akan jadi lebih sengit dan kelebihan hanya kepada yang mempunyai kemahiran yang tinggi..