Walaupun Volkswagen Polo 2017 belum diperkenalkan secara rasmi, beberapa foto terbaharu yang berlegar di internet mula menunjukkan rupanya yang sebenar. Generasi keenam Polo masih lagi mengekalkan rupa asas generasi sebelumnya, namun kini ia lebih sado dan sporty. Polo 2017 dibangunkan dari pelantar generasi baharu MQB yang turut dikongsi bersama dengan Seat Ibiza generasi baharu.
Dikatakan Polo 2017 akan ditawarkan dengan beberapa pilihan penjana kuasa – enjin petrol 1.0-liter pengecasturbo tiga-silinder yang dirombak semula talaannya dengan output bermula dari 65PS hingga ke 115PS, enjin petrol 1.5-liter turbo empat-silinder dari model Golf berkuasa 130PS dan 150PS enjin diesel 1.6-liter empat-silinder berkuasa 80-110PS dan enjin petrol 2.0-liter TSI dari model Golf GTI generasi kelima yang berkuasa 200PS (untuk varian Polo GTI).
Pengenalan awal Polo 2017 bakal dibuat di Berlin, Jerman pagi esok dan ia akan turut dipertontonkan semasa pameran motor Frankfurt pada bulan September nanti sebelum mula masuk ke pasaran Eropah dan seluruh dunia. Untuk pasaran Malaysia pula, kami jangka model Polo 2017 akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
KLIK UNTUK BESARKAN
Volkswagen nanti bawa masuk tak versi Polo GTi?