ARKIB

KATEGORI

Buletin

Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh bersara, Datuk Zainal Abidin Ahmad dilantik Presiden dan CEO baharu Perodua

Views

Perodua hari ini menyaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang paling lama berkhidmat, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, bersara selepas sembilan tahun menerajui syarikat tersebut. Di bawah kepimpinan Datuk (Dr) Aminar, Perodua bukan sahaja dapat meningkatkan bahagian pasarannya daripada 31.2 peratus pada 2010 kepada lebih 37 peratus setakat tahun ini, malah berjaya melaksanakan inisiatif transformasi dalam Kumpulan Perodua.

Prestasi lepas jualan menyaksikan peningkatan yang cukup ketara, begitu juga dengan kecekapan kos, kualiti dan penghantaran. Perodua juga melaburkan RM1.3 bilion untuk membina Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, kilang Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di negara ini yang diperakui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, Ahli Lembaga Pengarah Perodua ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk (Dr) Aminar di atas sumbangan beliau khususnya kepada Perodua serta kepada industri automotif Malaysia secara keseluruhannya. Datuk (Dr) Aminar bakal digantikan dengan Datuk Zainal Abidin Ahmad yang sebelum ini merupakan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.

Beliau dijangka meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing dengan tujuan mengembangkan lagi perniagaan eksport Perodua. Ahli Lembaga Pengarah Perodua melihat Datuk Zainal adalah calon pemimpin sesuai kerana beliau berupaya menggerakkan Perodua serta para vendor, pembekal dan pengedarnya ke peringkat serantau. Oleh itu, Perodua memerlukan seseorang yang bukan sahaja boleh memimpin malah mampu mengukuhkan jalinan hubungan dengan kerajaan dan bersama-sama memandu arah industri automotif yang semakin mencabar.

JOM BACA >> SUV pertama Proton, X70 dilancarkan – Harga bermula dari RM99,800!

Datuk Zainal telah membuktikan bahawa beliau dapat bekerja dengan baik bersama semua pemegang saham, termasuklah Daihatsu Motor Company of Japan dalam membawa teknologi baharu ke Perodua dan menggalakkan pelaburan di dalam negara. Tan Sri Asmat berkata, masa hadapan Perodua bergantung kepada keupayaan merekai untuk bekerja lebih harmoni dengan Daihatsu kerana mereka sentiasa menyokong dan Datuk Zainal membuktikan bahawa beliau sesuai untuk menggalas tugas tersebut.

Dengan pengetahuan yang dikongsi Daihatsu dalam pembuatan, Perodua dapat terus berdaya saing di dalam negeri dan dengan bimbingan mereka, dan ingin mengembangkan perniagaan syarikat di luar Malaysia. Tempoh perkhidmatan Datuk (Dr) Aminar selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua akan tamat pada 31hb Disember 2018. Datuk Zainal akan mengambil alih jawatan tersebut mulai 1hb Januari 2019.

Datuk Zainal Abidin Ahmad, 52, memegang ijazah dalam Pengurusan Sistem Maklumat dan Perakaunan daripada Pacific Lutheran University, Washington, USA. Beliau memulakan kerjayanya di Perodua pada tahun 1995 di jabatan kawalan kos, dan terlibat secara langsung dalam mewujudkan struktur kos pengeluaran Perodua. Beliau akan menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang pertama dipilih dari keluarga Perodua.

Antara pencapaiannya termasuklah menyertai pembentukan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan bekerja secara dekat dengan kerajaan Malaysia menerusi pelbagai badan di bawah MITI dalam menambahbaik lagi dasar tersebut. Selain itu, beliau juga turut berperanan dalam penubuhan hab enjin (powertrain) di Sendayan, Negeri Sembilan yang terdiri daripada Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (beroperasi 2016) dan kilang pengeluaran transmisi Akashi Kikai Sdn Bhd (beroperasi 2015).

Selamat bersara kami ucapkan kepada Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh. Kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad, selamat memulakan tugas baharu dan selamat maju jaya! Kami jangka pelancaran SUV Perodua (D38L) akan dibuat pada Januari depan untuk menunggu bos baharu mereka masuk, nantikan!

JOM BACA >> Iklan acah kedua SUV Perodua (D38L) – Bentuk jeriji mula kelihatan

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply