TheStar melaporkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, Akta Pengangkutan Jalan perlu dipinda bagi memastikan pemandu yang menyebabkan kematian digantung lesen memandu seumur hidup. Beliau merujuk kepada Seksyen 41 Akta tersebut yang menyatakan pemandu yang bersalah menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai tidak boleh memiliki atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya tiga tahun.
Tambah beliau lagi, ini bermakna selepas tiga tahun, berkemungkinan pemandu itu akan memandu semula dan merasakan hukuman tersebut tidak setimpal. Jika mereka menyebabkan kematian orang lain di jalan raya, mereka perlu diharamkan dari memandu seumur hidup. Beliau berkata demikian sambil mengulas mengenai kejadian kemalangan maut pada Sabtu lepas yang berlaku berhampiran Terowong Menora di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam satu sidang media semalam.
Permit syarikat pemilik treler tersebut, Usaha Maju Trading Sdn Bhd juga telah digantung selama dua minggu dan kesemua 28 kenderaan yang berdaftar dengan syarikat tersebut akan disita dan diaudit oleh kementerian. Mereka tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memastikan kenderaan terbabit berada di dalam depot.
JOM BACA >> Sultan Johor pandu uji Proton X70
Selepas audit dilakukan, syarikat tersebut perlu menghantar surat tunjuk sebab kepada kementerian dan syarikat harus dipertanggungjawabkan jika pemandu mereka memandu secara melulu. Seorang pemandu yang berusia 41-tahun kini ditahan pihak polis kerana didapati positif dadah methamphetamine dan memiliki 28 saman trafik.
Untuk meminda Akta, ia perlu mengambil masa kerana kajian perlu dibuat terlebih dahulu dan dibawa ke Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu sebelum dibentangkan ke Parlimen. Akta Pengangkutan Jalan juga memperuntukkan pesalah untuk dipenjarakan selama dua hingga 10 tahun, dan didenda antara RM5,000 dan RM20,000.
Kementerian Pengangkutan juga perlu mendapat maklum balas daripada agensi seperti Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Pengerusi MIROS Tan Sri Lee Lam Thye turut menyokong cadangan ini dan berkata tindakan drastik perlu diambil segera dan menyeru majikan untuk lebih melibatkan diri dengan kempen keselamatan jalan raya.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI