ARKIB

KATEGORI

Info

Proton Saga facelift bakal dapat transmisi automatik baharu?

Info

Views

Nampaknya Saga bakal menjadi model ketiga dalam barisan model semasa Proton yang akan dinaik taraf selepas Iriz dan Persona dalam tahun ini. Kelibat Saga facelift telah mula dikesan sejak semalam, namun kami masih lagi belum memperolehi foto intipan model tersebut hinggalah ke saat artikel ini ditulis.

Walaupun tanpa sebarang foto intipan buat masa ini, kami telah memperolehi beberapa info menarik mengenai model tersebut. Paling mengujakan kami adalah Saga facelift bakal mendapat transmisi automatik serba baharu bagi menggantikan transmisi CVT dari Punch. Difahamkan transmisi automatik empat-kelajuan ini akan dibekalkan oleh Hyundai PowerTech dari Korea.

Syarikat tersebut juga merupakan salah satu pembekal komponen kepada Geely. Ada kemungkinan transmisi yang bakal digunakan oleh Saga facelift ini turut digunakan oleh model KIA, Rio dan Pegas serta Hyundai i20 dan Reina. Syarikat tersebut juga mempunyai satu lagi transmisi automatik automatik empat-kelajuan ultra-kompak yang digunakan oleh model KIA Morning dan Ray, selain Hyundai Grand i10.

JOM BACA >> Proton Persona facelift – Sedan keluarga segmen-B pertama di Malaysia dengan fungsi Arahan Suara

Sebelum ini memang ada desas-desus model Saga bakal menerima transmisi automatik baharu, namun pada mulanya kami hanya menganggapnya sekadar khabar angin. Selain mendapat transmisi automatik baharu, Saga facelift turut menerima perubahan kosmetik terutama sekali pada bahagian jeriji serta bampar depan dan belakang baharu.

Kami jangka ia akan menampilkan jeriji dengan unsur rekaan keluarga baharu Proton yang diinspirasikan dari busur (Ethereal Bow), manakala di dalamnya dihiasi dengan corak yang bermotifkan anyaman infiniti (Infinite Weave). Saga facelift juga akan medapat rim aloi rekaan serba baharu dan antenanya yang ketika ini berada di depan akan beralih ke belakang dan menggunakan jenis ‘sengat lebah’ (bee sting).

Satu lagi perubahan yang menarik perhatian kami adalah kehadiran unit infohiburan dengan skrin sentuh pada bahagian tengah papan pemuka yang dikatakan seakan timbul dan terkeluar sedikit dari tengah konsol papan pemuka. Namun unit infohiburan ini tidak dilengkapi dengan fungsi arahan suara.

Panel meternya juga berubah dan akan turut mempunyai satu skrin kecil berwarna di tengah-tengah, mungkin sama seperti Iriz dan Persona. Grafik meternya juga dikatakan nampak lebih menarik dan moden. Kami dimaklumkan lebih banyak prototaip unit ujian Saga facelift bakal menjalani ujian jalan raya tidak lama lagi.

Jadi, siap sedialah dengan kamera anda, jangan lupa hantarkan gambar kepada kami nanti. Boleh la kita membawang!

JOM BACA >> INTIP: Proton X50 dikesan sekitar Ampang dan Jalan Kuching

KLIK UNTUK BESARKAN

Foto hiasan hasil karya Chin Swee Hoe.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

2 Comments


  • Jika diteliti range kereta Geely semasa, rata2nya adalah dari segmen C & D. ini mungkin disebabkan pengaruh tech transfer dari Volvo. Emgrand dan Boyoue antaranya.
    Sebagai mana result penjualan terkini Proton, best seller mereka adalah dari segmen A dan B iaitu Saga dan Persona. Saya rasa bagi jamin kejayaan Proton yang tinggi Geely perlu mempergunakan Proton bagi segemen A & B manakala segmen C & D serah sahaja kepada Geely. Dengan cara ini ia lebih efisien dan fokus kepada pasaran.
    Bagi demografik orang Malaysia pula, mereka tidak sesekali akan keluarkan lebih daripada RM70k untuk kereta tempatan, kerana bagi mereka dengan julat harga begitu mereka boleh dapatkan kereta badge T & H walaupun spek lebih rendah. Satu perkara yang perlu diambilkira oleh pengurusan Proton & Geely.


  • Kereta bawah RM70k sudah ada Perodua, Proton usah pergi merebut pasaran tu. Naikkan taraf sama dgn T & H dan jual ke pasaran global lebih bermakna.

Leave a Reply